Bergaduhlah hingga puas hati

SUBKY LATIF | .

PERBALAHAN yang terakhir antara DAP dengan PAS ialah DAP memutuskan semua hubungan dengan Presiden PAS TG Haji Abdul Hadi justeru notisnya kepada Dewan Rakyat untuk membentangkan usul persendirian bagi membenarkan Kelantan melaksanakan enakmen hudud.
     
Tetapi kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng itu tidak membuat apa-apa tentang hubungannya dan hubungan Pakatan Rakyat dengan PAS.
      
Hubungan PAS dengan DAP/PR di pelbagai pihak yang tidak melibatkan TG Haji Hadi adalah biasa sejak krisis MB Selangor hampir setahun lalu. Tegang tetapi tidak putus. Yang terbaru sehari sebelum DAP mahu putus hubungan dengan Presiden PAS itu, mesyuarat PR sekalipun membincang isu hudud Kelantan dan hudud secara umum, DAP dan PAS mencapai persetujuan sebagai abang-adik mahu bersama terus menghadapi PRU terkemudian sambil memutuskan isu hudud di negeri itu atau oleh kerajaan Pakatan Perak masa akan datang akan dibuat atas persetujuan bersama.
      
DAP menyatakan tidak minatnya dan PAS pula tidak menekan supaya DAP Perak menerimanya juga. Selangor dan negeri-negeri lain juga demikian.
     
Apapun percanggahan antara PAS dan DAP bukan saja atas isu hudud, bahkan atas perjuangan Islam PAS itu sendiri sebelum hudud menjadi isu, jauh panggang dari api.
    
Mendiang Patto, pemimpin kanan DAP sebelum PRU 1986 memberitahu saya tentang pandangan Lim Kit Siang tentang perjuangan PAS. DAP tidak menentang Islam tetapi ketika itu DAP adalah mewakili pengundi/msyarakat yang tidak mahu perjuangan Islam yang PAS mahu, dan ia mahu terus menjadi wakil kepada kumpulan itu, maka DAP mesti mendengar pandangan kumpulan itu.
     
Masa itu tiada siapa tahu selain Allah PAS akan bersekutu dengan DAP, dan tiada siapa yang nampak pakatan PAS dan DAP boleh menggegar Putrajaya.
     
Politik berkembang dan berubah. Yang mustahil 40 tahun lalu tidak mustahil sekarang. PAS dan DAP boleh duduk semeja menjelang PRU 1990. Keduanya ada hubungan longgar. Hubungan itu sekejap elok, sekejap tidak elok. Selepas PRU 2008 keduanya jadi elok dan mesra hingga terbentuk Pakatan Rakyat.
     
Hudud yang diluluskan DUN Kelantan sebelum pembentukan Pakatan Rakyat tidak menjadi perjuangan bersama mereka. Ia kekal sebagai keutamaan PAS. Sepanjang muafakat PR, acap ada perang mulut antara Karpal Singh dengan pimpinan PAS tentang hudud. Tetapi justeru DAP dan Umno sama saja menentang hudud sepanjang masa, maka desakan tentang hudud terhenti seperti terhentinya motokar di lampu merah. Enjin tak mati. Ia menunggu lampu hijau untuk bergerak.
     
PAS, DAP dan PKR mula tegang apabila timbul krisis MB Selangor dalam langkah Kajang. PKR mahu membuang TS Khalid Ibrahim. PAS mempertahankannya. DAP bersama PKR. PKR mahu Wan Azizah ganti Khalid. PAS tidak setuju. PKR dapat buang Khalid. Tetapi PAS dapat halang Wan Azizah ganti Khalid.
     
Lepas itu dakwah PAS tentang hudud diterima Umno. Dakwah itu tidak lut pada DAP dan PKR. Umno tidak kata lagi ia hudud PAS. Bahkan Umno seolah sudah macam PAS atas isu hudud.
     
Berlakulah perbalahan dingin antara PAS dan sekutunya terutama DAP. PAS juga berbalahan samanya. Perbalahan itu tidak dapat disekat. Tetapi semuanya sayangkan PR. Orang PAS ada yang serpih jadi NGO sayangkan PR. Tetapi pergaduhan tidak dapat disekat.
     
Semua orang dalam PR dan di luar PR, dalam PAS dan di luar PAS jadi keliru dan bingung dengan  perbalahan. Kerana perbalahan tidak dapat dibendung, biarlah semua berbalah semahu-mahunya, biar sampai semuanya puas hati. Lepas penat berbalah nanti, mungkin ia terhenti sendiri kerana penat. Abu jadi abu, arang jadi arang, tapi PR tetap disukai oleh semua. – HARAKAHDAILY 31/3/2015

Share on Myspace