Hudud perlu sokongan penuh Umno

SUBKY LATIF | .

HUKUM hudud mendapat sokongan penuh Umno di DUN Kelantan. Dapatkah usul persendirian PAS di Parlimen bergantung pula kepada sokongan penuh Umno, bukan sekadar undi MP-nya tetapi keupayaan mendapatkan sokongan daripada kerabatnya yang lain.
     
Sebagaimana payahnya PAS mendapat sokongan daripada sekutunya dalam Pakatan Rakyat. Maka tidak juga senang bagi Umno untuk mendapat persetujuan mudah kerabatnya walaupun ia bukan mustahil.
      
Itulah cabaran yang dihadapi oleh umat Islam apabila ia terlalu lambat membawa perkara itu ke Parlimen. Setelah dekat tiga suku abad selepas merdeka baru Umno mahu menyokongnya untuk dilaksanakan di Kelantan tetapi belum lagi memperjuangkannya.
     
Ia adalah usaha bersendirian PAS dari mula sebagai kumpulam minoriti kecil di Parlimen bagi mendaulatkan perintah Allah itu. PAS tahu akan payahnya tetapi setelah Umno ketika kuatnya tidak pernah mengira ia perjuangan wajibnya, maka PAS tampil mengambil tanggungjawab itu seperti saranan Islam, hendaklah ada dalam kalangan umat itu bergerak bagi mendaulatkan kebenaran dan kedaulatan  kalimah Allah.
      
Jika masa kuatnya Umno dulu ada kesedaran itu tiadalah ia suatu yang susah. Tetapi imannya terhadap hudud itu baru terserlah ketika ia sudah tidak begitu kuat.
    
Apapun PAS boleh bersyukur, berkat dakwahnya yang berpanjangan rata-rata orang Umno seperti bangkit, mahukan hudud dikuatkuasakan, kerana ia adalah undang-undang Allah, bahkan ia lebih lantang dari PAS.
     
Menjelang kemerdekaan dan selepas kemerdekaan, perjuangan Islam yang PAS bawa itu dilihat amat sumbang, sama seperti orang sekarang melihat Taliban, al-Qaeda dan IS yang baru muncul dan diburu oleh semua itu.
     
Lama sebelum  isu masyarakat majmuk yang dilihat sebagai penghalang, ia ditolak kerana kita bukan lagi berada pada zaman unta, perjuangan Islam itu bagi generasi padang pasir. Hingga berpakat ulama dalam Umno keluar menubuhkan PAS.
    
Mereka tolak perjuangan Islam itu atas alasan tidak ada politik dalam Islam. Bahasa orang Kelantan, politik suku agama suku, seolah-olah samalah semuanya tiga suku.
     
Dan apabila PAS meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu semuanya menempelak hudud itu adalah hudud PAS, bukan hudud yang Allah perintah. Bukan sekadar kerajaan PAS yang meluluskan hudud itu mereka tentang, kerajaan Umno yang membawa Islam Hadhari pun mereka gulingkan.
     
Tetapi sekarang Umno pula kata ia mahu hudud. Hudud yang ada itu tidak lagi dipanggil hudud PAS. Bahkan mereka mengaku sedia menyokong kira PAS mengemukakan usul persendirian di Parlimen.
    
Kita tidak wajar teka iman seseorang. Apabila seseorang mengaku beriman, kita terima saja, hatta Nabi SAW didatangi musuh minta dihantar pendakwah ke tempat mereka, baginda tunaikan walaupun pendakwah itu mereka bunuh. Pengkhianatan mereka hal yang lain. Baginda bertindak terhadapnya, tetapi baginda terima dulu yang mengakui beriman itu mesti dilayan.
     
Setakat ini Umno menunjukkan ia ada iman terhadap hudud. Tidak boleh sesiap menyoalnya. Atas dasar itu PAS memberi kepercayaannya. Ia pun membuktikannya di Dun Kelantan baru-baru ini.
     
Imannya ia mahu hudud. Tetapi belum ada imannya memperjuangkan hudud. Lebih PAS ia sudah berjuang. Adakah ia akan nekad mahukan hudud dalam suasana yang payah ini. Kita beri peluang hinggalah ia tiba ke Parlimen. Jika ditakdirkan undi itu tidak cukup, adakah Umno berpuas hati terhadap sumbangannya setakat itu? Atau hudud jadi agenda barunya?
     
Apapun digemari atau tidak digemari, PAS masih sukakan Pakatan Rakyat dan sekutunya. – HARAKAHDAILY 31/3/2015

Share on Myspace