Melayu mana kawan DAP lepas PAS?

SUBKY LATIF | .

DAP tidak mungkin putus semua hubungan dengan TG Haji Hadi saja tanpa putus hubungan dengan PAS.
     
Sekalipun PAS dalam krisis dalaman yang parah, tiada ahli PAS yang bermaruah membiarkan DAP melanyak pemimpinnya. Akan ada yang suka dengan sikap DAP terhadap pimpinan PAS itu tetapi mereka sebaik manapun politiknya tidak dikira orang PAS yang bermaruah. Kiranya yang tidak bermaruah ini berjaya mengambil pimpinan PAS, maka PAS lambat laun PAS akan jadi parti yang tidak bermaruah lagi.
     
Habislah ia masa itu.
     
Apa yang DAP buat sekarang ialah beriya-iya sangat hendak mengeluarkan PAS daripada Pakatan Rakyat. Ia mungkin berjaya, tetapi apakah pilihan DAP untuk mendapatkan sekutu Melayu yang kuat dan berpengaruh.
     
Mungkin ia melihat pengaruh PAS sekarang jatuh, tetapi PAS boleh bangkit. Apabila PAS lumpuh setelah ditentang Umno daripada Barisan Nasional, ramai penyokong BN mengira PAS sudah habis. Tetapi Dr. Mahathir kata, ia akan bangkit semula. Ramalan Dr. Mahathir tepat, bangkitnya PAS lebih terserlah daripada sebelumnya.
      
Jika PAS tidak ada lagi bersama Pakatan, Melayu mana pula yang akan menjadi ganti rakan DAP? DAP jangan harap Melayu Umno akan mahukan DAP sekalipun MCA mati. Mungkin ia bergantung kepada Melayu dalam PKR. Tetapi Melayu dalam PKR tidak cukup kira PAS bersendirian dan apa lagilah apabila ia lepas daripada krisis yang dihadapinya itu.
      
Mungkin ada parti Melayu/Islam baru hendak menggantikan PAS. Maka disangsikan ia boleh menggantikan tempat PAS itu. Jika PAS ditendang seperti BN menendangnya dulu, ia tidak mungkin bersama Umno kerana perbezaan keduanya antara langit dengan bumi. Jika PAS serasi dengan Umno justeru hudud. Jika hudud itu selesai – baik jadi atau tak jadi – hubungan itu habis.
      
PAS akan bangun bersendirian dengan semangat kepimpinan ulama yang baru, muda, segar dan sounding.
      
Ia akan mengisi semula semua kawasan Melayu yan ditandingi oleh Umno seperti yang dilaluinya sebelum ada Semangat Melayu 46, KeADILan, Pakatan Rakyat dulu. Tidak ia muncul segera sebagai parti Melayu yang terkuat selepas Umno, tetapi proses kebangkitannya itu mesti melalui pengalaman jatuh bangun seperti yang dilaluinya sebelum ini.
     
Jika itu yang berlaku, tidak terikat lagi PAS berbagi kawasan dengan parti yang lain. Di mana ada Umno, PAS bertanding sekalipun PAS tinggal satu kerusi Pengkalan Chepa seperti PRU 1986. Tetapi parti-parti lain yang jadi sekutu DAP pun mengalami kecederaan juga.
     
Semuanya menjadi DAP hilang sekutu Melayu yang berpotensi. Mungkin DAP tidak terjejas di kawasan yang ditandinginya. Belum tentu ia berupaya menjadi sebahagian daripada kerajaan di luar Pulau Pinang. Ia akan hilang sokongan pengundi Melayu di semua tempat.
     
Jika PAS bersendirian, ia akan membuka jalan bagi DAP kembali bersendirian juga. Belum tentu sekutu sekular Melayu yang banyak bergantung kepada pengundi bukan Melayu tidak cukup untuk membantunya menang. Orang PAS yang ada di kawasan yang PAS bertanding sudah tentu akan memberi undi kepada PAS tidak kira menang atau kalah.
      
Berapa puluh tahun pula DAP terpaksa menuggu rakan Melayu yang berpotensi. Selagi PAS tidak mati, payahlah DAP hendak dapat ganti sekutu Melayu yang bermaruah. Ada orang Melayu sedia menjadai calon DAP seperti sebelum ini. Tetapi mereka timbul dan tenggelam. Bukan kehadiran mereka itu kerana politiknya tetapi mencari peluang untuk merasa jadi wakil rakyat.
     
Jangan biarkan Umno bersorak. – HARAKAHDAILY 2/4/2015

Share on Myspace