Semua gila kerana hudud

SUBKY LATIF | .

HUDUD itu telah lama dirong-rongkan oleh PAS sejak sebelum adanya DAP di dunia, apa lagilah PKR dan Pakatan Rakyat.

Sebelum DAP ada, Lee Kuan Yew sudah ada. Sudah ada kegilaannya bimbang hudud yang tidak jadi bahasa harian 50 tahun akan melanda politik Asia Tenggara. Maka sebelum DAP akrab dengan PAS acaplah Lee mengingatkan jangan fikir senang hendak diadakan peraturan Islam itu di daerah sekejiranannya selagi dia ada. Dan hudud jadi topik panas di ASEAN pada bulan-bulan diambang kematiannya.

Lima hari selepas Dun Kelantan meluluskan rang pindaan hudud, dia mati, hudud tidak juga mati.

Ramai yang berkongsi rasa dengan Lee Kuan Yew, sepakat berpolitik dengan PAS tanpa memikirkan sangat hudud mesti dilekangkan dari PAS. Jika Lee dengan PAP-nya bergerak atas garis non-komunis, maka DAP berkawan dengan PAS atas garis non-hudud.

Tak apalah. Jangan sekat PAS yang hendakkan hudud.

Hudud itu sudah jadi undang-undang Taurat yang jadi panduan syariat Nabi Musa a.s. atas agama yang diteruskan oleh penganut Yahudi/Israel, dan ia peraturan Injil yang diturun kpada Isa al-Masih, agama yang dilangsungkan oleh Kristian. Yahudi sudah mentiadakan hudud dalam kitabnya dan Kristian sudah mentiadakannya dalam kitabnya. Maka jika boleh Islam cabut juga ia dari kitab al-Qurannya.

Ada umat Islam yang sudah mencabutnya tetapi ada lagi orang Islam yang mahukan ia kekal dalam  kitabnya dan dilaksanakan.

Hudud adalah panduan keamanan untuk manusia yang diperjuangkan oleh Islam. TIdak patut ia boleh menggilakan orang. Tetapi memang manusia mengatakan pembawa hudud adalah orang gila, tukang sihir dan manusia pelampau agen keganasan. Semua nabi dan rasul dikata gila oleh umat masing-masing.

Memang kebanyakan Quraisy jahiliyah jadi gila dengan risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Hanya Quraisy yang bersama baginda yang terubat dengan hudud, bebas daripada gila.

Sekalipun hudud itu cuba dipadamkaan daripada al-Quran, tetapi Allah nyalakan apinya terus. Selepas 25 tahun terpendam undang-undang setelah diluluskan pertama kali oleh DUN Kelantan kini ia hidup semula. Semua orang politik di negara kita jadi gila kecuali orang yang berpegang kepada al-Quan dan Sunnah Rasul.

Gilanya tidak sampai melayakkan semua duduk di Tanjung Rambutan bahkan pakar pesakit otak tidak mengesan mereka gila. Untung mereka tidak diberi rawatan di Tanjung Rambutan. Jika mereka dirawat di situ, ia memberi mereka hak (lesen) boleh membunuh orang. Jangan kata menceburkan diri dalam Islam dan dunia ibadat terhindar daripada gila. Ramai orang mengaji Islam dan beribadat jadi gila isim.

Berpuluh tahun mereka jadi PAS. Kena ISA, kena buang kerja dan lain-lain ujian, ketika hudud hendak dilaksanakan sekarang mereka terketepi daripada arus perdana PAS. 25 tahun ketika hudud diluluskan di Kelantan dulu semua berpegang teguh. Kini ada yang rasa utamakan yang lain dulu. Tak gila namanya?

PAS arus perdana ditakwil lalu mengintai laluan lain. Tak gilakah? Dalam Pakatan seperti semuanya gila. Umno dan BN pun gila. Apaila semua orang politik gila, yang tidak berpolitik pun gila. Semuanya disebabkan hudud sudah tiba di bawah awan. Cuma belum sampai ke bumi. Allah yang tahu bila akan dihujankan.

Langit yang terang sudah dirasa gelap hendak ditimpa hudud. Inilah yang menjadikan masing-masing gila kecuali orang berpandu kepada al-Quran dan Sunnah. Bahasa saya gila, bahasa Ustaz Hadi Awang latah. Semua sudah latah. Hudud bukan penyebab gila dan latah, tetapi rawatan penyakit gila dan latah. – HARAKAHDAILY 6/4/2015

Share on Myspace