Kata hudud tak penting, tiba-tiba mati

SUBKY LATIF | .

ANTARA orang Islam berkata, tiada keperluan hudud di Malaysia. Yang lain berkata, terserah pada hati masing-masing mahu sokong hudud di Parlimen atau tidak?
     
Kesemuanya berkata bahawa mereka menerima hukum hudud kerana ia ada dalam al-Quran, tetapi berkata, tiada keperluan hudud hendak dilaksanakan di Malaysia!
    
Bagaimana kalau dia tiba-tiba mati selepas berkata begitu?
    
Mati apa yang begitu?
    
Biarkan mufti dan Majlis Fatwa memberi pencerahan. Tetapi ia telah menyebabkan saya tidak senang hati untuk menyolatkan jenazahnya.
     
Jika seorang Islam mati di kariah kita, fardu kifayahlah kita solat atas jenazahnya. Kiranya jauh dari tempat kita, berpahala besar kita solat ghaib atasnya.
     
Sekalipun mati itu satu kejadian yang menghibakan, tetapi kematian adalah peluang baik untuk menjana pahala. Untuk hari itu, kita dapat pahala tambahan atas kematian seseorang dengan melakukan keperluan selayaknya. Selalu orang mati, selalulah kita dapat pahala sehinggalah kita sendiri mati.
     
Kalau kita mati, orang lain pulalah yang berpeluang mengumpul pahala.
     
Tetapi dengan katanya begitu atas hudud, hati saya tidak senang. Macam mana saya mendapat pahala dengan kematiannya jika hati saya tidak tenang hinggalah saya mendapat pencerahan daripada ahli-ahli hukum yang muktabar.
     
Saya bertemu isu tentang sembahyang tunggang-tonggek siang malam, tiba-tiba apabila mati, syurga tidak ada dan neraka tidak ada? Tidakkah memenatkan badan dan buang masa? Lebih buat kerja yang sah untung dan faedahnya!
     
Memanglah pahala itu tidak nampak dan tidak dapat dirasa. Tidak macam upah angkut sampah. Sah kita dapat tengok dan guna belanja atas upah itu.
    
Saya tidak perlu menjawabnya dengan hujah hukum. Saya guna mantik saja. Jawapan saya senang. Jika mati nanti tiada syurga dan tiada neraka, saya tidak rugi apa-apa. Tapi apabila syurga itu ada, saya beruntung.
    
Kamu yang tidak solat, tak apa-apa kalau neraka tidak ada syurgapun tidak ada. Tapi kalau ada neraka dan ada syurga, tak mungkin kamu diberi syurga. Kekallah kamu di neraka.
     
Jika mufti tidak sedia memberi pencerahan, tiada keperluan di Malaysia, anda yang mati selepas itu tunggu beberapa saja selepas itu, Mungkar dan Nakir akan bagi tahu perlu atau tidak hudud diadakan sebelum mati. Orang di luar kubur tidak dapat penjelasan dari kamu apa yang Mungkar Nakir kata, kerana kamu tidak keluar lagi dari kubur.
    
Akan tetapi suasana di Madinah dulu mungkin lebih teruk dari Malaysia sekarang. Perang dan bunuh membunuh antara Aus dan Khuzraj berterusan sepanjang masa. Apabila hudud berkuat kuasa, perang berhenti, masalah sosial selesai. Warga majmuk Madinah – Yahudi, Kristian, Arab Islam berbagai kabilah – hidup rukun. Berbeza dengan zaman pra-hijrah.
     
Mungkin jenayah Malaysia tidak seteruk New York. Tetapi jenayah rasuah dan merompak harta kerajaan mungkin New York tak seteruk Malaysia. Polis dan undang-undang New York tak dapat bendung jenayah, SPRM tak terkawal amalan rasuah di Malaysia.
    
Maka hudud bukan sekadar diperlukan di Kelantan, bahkan di New York. Setakat ini Kelantan memerlukannya.
    
Bagi yang merasakan Malaysia tidak memerlukan hudud, biarlah Islam jenis itu bersoal jawab dengan Yadim yang memikul tanggungjawab dakwah. Bolehkah Allah bersetuju hudud sekadar hiasan al-Quran tetapi tidak diperlukan di mana-mana khususnya Malaysia? – HARAKAHDAILY 9/4/2015

Share on Myspace