Yang menubuh Pakatan Rakyat Anwar

SUBKY ABDUL LATIF | .

PAKATAN Rakyat Sabah bertindak lebih laju daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
    
Guan Eng sekadar memutuskan hubungan DAP dengan Presiden PAS TG Haji Abdul Hadi Awang saja. Sekalipun tindakan Guan Eng itu seperti ditujukan kepada PAS juga tetapi ia secara teknikalnya boleh berhubung dengan lain-lain pemimpin PAS jika PAS berfikiran Presidennya boleh dipisahkan dengan partinya.
     
Tetapi Pakatan Rakyat Sabah dilihat lebih laju daripada Setiausaha Agung DAP dan PKR sendiri bertindak memutuskan hubungan dengan PAS. Datuk Seri Lajim Ukin sebagai pemimpin PKR Sabah yang mempengerusikan mesyuarat Pakatan Sabah bersetuju memutuskan hubungan dengan PAS dalam mesyuarat yang dihadiri oleh wakil PAS sendiri.
      
Keputusan itu tidak dilihat sebagai keputusan Pakatan Rakyat kerana PAS tidak ikut membuat keputusan itu. PAS hanya menerima keputusan DAP dan PKR.
     
PAS Sabah tidak diberi tunjuk sebab mengapa ia tidak patut disingkirkan. Ia hanya diberi keputusan bahawa ia putus hubungan dengan Pakatan Rakyat.
     
Keputusan yang ada itu adalah keputusan DAP dan keputusan PKR. Tidak dipastikan adakah DAP Sabah mendapat arahan daripada DAP pusat dan PKR negeri bebas buat keputusan sendiri. Tetapi PAS tidak memberi kuasa kepada PAS negeri untuk membuat keputusan seperti itu.
     
Keputusan kekal atau berpisah dengan regu tahaluf adalah kuasa Majlis Syura Ulama.
    
Dengan pengumuman yang Lajim Ukin buat seolah-oleh DAP negeri dan PKR negeri ada hak sendiri untuk membuat keputusan.
    
Yang PAS Sabah alami itu sama seperti yang Lee Kuan Yew dan Singapura terima daripada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra dalam isu menyingkirkan Singapura daripada Malaysia.
     
Tunku tidak tanya dan tidak bincang dengan Lee Kuan Yew tentang penyingkiran Singapura itu. Tunku hanya bentangkan usul di Parlimen kerana penyingkiran itu hanya boleh diputuskan oleh Parlimen. Jika penyingkiran itu tidak memerlukan persetujuan Parlimen mungkin Tunku tak perlu panggil sidang Parilimen, memadai dengan membuat kenyataan saja.
     
Begitulah Lajim menyingkirkan PAS Sabah daripada Pakatan Sabah.
     
Apapun penyingkiran itu dibuat oleh sebelah pihak. PAS dalam semua peringkat masih bertahan tidak akan keluar daripada Pakatan dan muafakat itu masih perlu diteruskan.
     
Sekalipun pembentukan Pakatan Rakyat itu dulu adalah dipersetujui oleh semua pihak, tetap ia adalah hasil fikiran dan cetusan politik DS Anwar Ibrahim. Semua orang tahu bahawa yang memungkin Pakatan menjadi kenyataan ialah hasil usaha dan peluh Anwar sendiri. Ia disokong kuat oleh PAS  dan DAP.
     
Dan Anwarlah sendiri yang mempengerusikan semua mesyuarat Pakatan dan dialah dikira sebagai jurucakap kepada parti gabungan itu.
    
Bagi semua orang termasuk Dr. Mahathir, Pakatan itu adalah parti Anwar. Orang lain adalah penumpang. Sekalipun partinya sendiri adalah PKR, tetapi Anwar telah dberi penghormatan oleh semua dan diterima sebagai pemimpin Pakatan.
    
Sekalipun semua pihak bertanggungjawab bagi memelihara muafakat, tetap penyokongnya dalam Pakatan mesilah mengambil langkah berani mempertahan sokongannya sebagai pemimpin Pakatan. Orang-orang yang setia kepada Anwar mesti memainkan peranan bagi menjayakan parti dan perjuangannya.
    
PKR Sabah mesti membantu Anwar yang sedang dipenjara itu bertahan sebagai tonggak Pakatan. Menyokong partinya dan meneruskan apa yang diperjuangkannya.
     
Tetapi PKR Sabah tidak nampak mempertahan kedudukan dan wibawa Anwar. Mereka secara teknikal cuba menolong musuh mengurangkan pengaruh Anwar. Apabila Sabah bubarkan Pakatan, bererti pengaruh Anwar akan merosot. Sepatutnya mereka tunggu apa pimpinan PKR patut buat bagi meredakan krisis, bukan memecahkan muafakat yang Anwar buat. Tidakkah yang Sabah buat itu melemahkan lagi semangat Anwar?
    
Macam ini matilah Anwar. – HARAKAHDAILY 11/4/2015

Share on Myspace