Najib sudah ditentang Dr. M

SUBKY LATIF | .

NAJIB sudah dirasakan tidak layak jadi Perdana Menteri oleh pembangkang lama sebelum dia jadi Perdana Menteri. Sejak terbongkarnya peletupan mayat Altantuya oleh orang-orang yang dipercayai ketika itu rapatnya, bertambah tidak seronok semuanya jika dia jadi Perdana Menteri.
    
Sekarang bukan sekadar pembangkang yang dulunya tidak yakin dia boleh jadi Perdana Menteri  yang baik, bahkan rata-rata telah hilang keyakinan kepadanya. Malah orang yang hendak sangat dia menjadi Perdana Menteri dulu, Tun Dr. Mahathir juga sudah hilang keyakinan kepadanya unuk memimpin Umno dan apa lagilah memimpin negara.
     
Setelah dia jadi Perdana Menteri, Mahathir mula-mulanya menyindirnya dulu. Sesudah sindir tak makan dia tegur terus terang. Kemudian dia tarik sokongannya kepada Najib tetapi tidak bercadang untuk menyuruhnya turun dari kuasa.
     
Tetapi sekarang sudah mnyuruhnya turun sebelum Umno/BN kalah dalam PRU 14 nanti. Dia sudah seru orang Umno jangan lagi beri kepercayaan kepada Najib untuk  memimpin Umno.
     
Sedangkan Mahathir mendapatinya Perdana Menteri hampas, maka apa lagilah sekalian pembangkang. Pembangkang sudah lama tidak yakin padanya. Ia baru sekarang disahkan oleh Dr. Mahathir.
     
Pembangkang tidak setuju dalam banyak perkara dengan Dr. Mahathir terutama tentang layanan menjolok matanya terhadap DS Anwar Ibrahim, tetapi sekarang dalam kes Najib ini pembangkang kira dia betul dan tidak ada sebab pembangkang tidak bersetuju dengannya.
     
Jika Mahathir dan pembangkang sudah hilang keyakinan kepadanya, kepada siapa lagi Najib hendak bergantung? Kepada Umno pak turut.
      
Sekalian Umno masih meletakkan pandangan tinggi kepada Mahathir. Dan orang yang diberi penghormatan tinggi itu sudah hilang keyakinan kepada Perdana Menteri dan dia sudah membayangkan Umno jadi parti pak turut jika tidak bertindak menurunkan Najib.
      
Jika Najib tidak juga diturunkan dalam waktu yang terdekat ini, maka Umno akan dikira oleh semua orang di luar Umno sebagai parti pak turut. Sebagai parti pak turut, ia hilang kelayakan memerintah. Bukan Najib saja lagi yang hilang kelayakan pemimpin, bahkan Umno hilang kelayakan dan keyakinan.
      
Tentangan terbuka Mahathir itu tidak dibuat sambil lewa seperti biasa. Semua rasa tidak puas hatinya sebelumnya disebutnya spontan apabila ditanya media. Selaran berterus terangnya yang terbaru itu dinyatakannya dalam laman webnya. Dia membuat tulisan panjang lebar tentang sebahagian daripada keburukan Najib.
      
Apapun selaran Mahathir itu banyak disebabkan dia lebih kasih pada Umno. Kasihnya kepada negara dan rakyat seolah-olah jadi perkara kedua atau sekunder.
     
Pimpinan Najib menjadikan Umno lemah, bukan sekadar tidak dapat menarik sokongan bukan Melayu bahkan Melayu juga mula getik pada Umno. Umno boleh binasa dan musnah. Ia pasti ditolak dalam PRU 14. PRU 13 sendiri isyarat kejatuhan itu.
     
Isu nasional yang utama ialah kebinasaan negara dan kemusnahan rakyat. Ia lebih penting daripada Umno kuat atau tidak kuat.
     
Yang membinasakan negara dan rakyat selama ini bukan kerana Umno tidak kuat dan tidak disokong oleh semua. Rasuah, perpecahan kaum, kegagalan dasar pelajaran, ekonomi, bahasa kebangsaan, kejatuhan nilai mata wang dan lain-lain bukan kerana Umno lemah. Kerana Umno kuat, diperkudanya demokrasi dan ia buat apa yang ia suka, dijadikan polis, SPRM, universiti dan jabatan kerajaan sebagai cawangan Umno, Justeru semua bekerja untuk Umno, negara di ambang papa kedana.
     
Umno kuat dan Umno lemah sama saja. Umno binasa boleh diganti parti lain, tetapi negara dan rakyat binasa oleh pimpinan Najib, apa gantinya? Maka lebih cepat Najib diganti lebih baik bagi agama, bangsa dan negara. – HARAKAHDAILY 12/4/2015

Share on Myspace