Mahathir suruh Najib berhenti

SUBKY LATIF | .

DALAM tulisan terbaru dalam blognya, Tun Dr. Mahathir minta Perdana Menteri Najib memberi penjelasan terhadap banyak kepincangan pentadbiran dan pimpinannya jika mahu terus kekal dalam jawatan. Tanpa penjelasan yang memuaskan dinasihatkannya supaya berundur supaya BN/Umno tidak kalah dalam PRU akan datang.
      
Tidak sampai seminggu selepas tulisannya tersebar, Dr. Mahathir meningkatkan lagi tentangannya kepada Najib dengan menyuruhnya berhenti segera bagi memberi laluan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin.
       
Bagi Dr. Mahathir sekarang, Najib sudah tiada pilihan lain melainkan mesti berundur. Tidak berbangkit lagi memberi penjelasan. Baik dia memberi penjelasan atau tidak memberi penjelasan, pilihan Najib ialah berhenti.
      
Bagi Mahathir, ketika Najib dianjurkan menggantikan Tun Abdullah Badawi, dia dan Umno merasakan Pak Lah lemah dan Najib lebih baik. Tetapi selepas menjadi Perdana Menteri, didapatinya Najib jauh lebih buruk daripada Pak Lah.
      
Reaksi pemimpin Umno tiga macam. Shahidan Kassim tidak kata Mahathir betul atau Najib betul. Dia mahu Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan atur pertemuan antara Mahathir dan Najib, uruskan penyelesaian secara dalaman. Zahid Hamidi pula sekadar berkata, semasa Mahathir memimpin dia mahu semua orang taat setia. Ertinya, Mahathir anjurkan Umno jangan setia pada pimpinan Najib.
     
Yang tegas memihak pada Najib ialah Fuad Zarkasi bekas aktivis PAS yang jadi Ahli Majlis tertinggi Umno. Dia kini mengetuai satu badan dalam Umno, mahu menyusun gerakan membela Najib habis-habisan.
      
Tetapi reaksi yang terbaik ialah daripada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin. Najib mesti jelaskan semua isu yang dibangkitkan oleh Mahathir. Orang lain boleh bela Najib, tetap tidak sama dengan penjelasan Najib sendiri. Mungkin setengahnya sudah dijelaskan, tetapi orang belum cukup faham, maka Najib mesti jelaskan lagi.
       
Khairy telah bercakap betul. Pembelaan orang lain tidak berkesan. Najib saja yang terbaik boleh membela dirinya sendiri.
      
Tetapi dengan kenyataan terbaru Mahathir, penjelasan Najib tidak diperlukan lagi. Mahathir sudah menamakan calon ganti iaitu Muhyidin. Dia mahu Najib pergi sekarang juga. Jika Muhyidin setuju anjuran Mahathir, lebih teruk lagilah kedudukan Najib. Jika Muhyidin tidak menerima, tidak juga boleh memberi banyak pertolongan pada Najib.
     
Pada peringkat ini Mahathir dipercayai tidak boleh menghentikan serangannya. Dia mesti tingkatkan hingga Najib gugur. Mahathir tidak ada sebarang kerugian sama Najib berhenti atau melawan. Mahathir tetap macam dia sekarang.
     
Yang ada risiko Najib dan Muhyidin. Jika Najib lawan Mahathir, keadaannya adalah lebih payah. Tak jawab pun payah. Bagi Muhyidin, jika bela Najib, kedudukannya akan menerima sama apa yang Najib terima. Dia akan payah jika Mahahir menamakan calon lain, Tunku Razaleigh misalnya. Yang terbaik ialah Muhyidin berdiam sekalipun Najib terkilan.
     
Mahathir dulu pun banyak juga kelemahannya. Negara dan Umno huru hara juga dulu. Tetapi zaman Najib ini adalah paling teruk. Apa akan jadi pada Umno lantaknyalah. Bukanlah Umno saja yang boleh memerintah. Tetapi lebih lama Najib berkuasa, negara lebih teruk dan rakyat lebih tertekan.
     
Keadaan Mahathir sendiri tidak baik, tetapi dia adalah seperti daging  busuk.  Sebusuk-busuk daging dibasuh, dimasak boleh juga dimakan.
     
Mahathir adalah tidak betul pada masanya. Tetapi sekarang dia sudah jadi orang bawah. Dia nampak keburukan orang atas. Dulu dia di atas. Sama-sama di atas tiada yang dia nampak. Walaupun dia tidak betul dulu, tetapi sesudah jadi orang bawah dia jadi betul. Tidak patutlah bila dia betul dikata tidak betul juga. Yang tidak betul ialah Najib dan Umno itu memang bila-bila pun tak betul. – HARAKAHDAILY 14/4/2015

Share on Myspace