Mahathir dulu pun lemah juga...

SUBKY LATIF | .

RATA-rata orang Umno cuba menjawab soalan yang Dr. Mahathir tuju kepada Perdana Menteri Najib tetapi semua jawapan itu bukan jawapan.
     
Ertinya, soalan Dr. Mahathir itu belum dijawab. Dan orang lain tidak boleh jawab melainkan Najib sendiri. Dan Dr. Mahathir pun tidak mahu jawapan dari orang lain selain dari Najib sendiri.
     
Mahathir mahukan penjelasan tentang Altantuya, tentang dakwaan Sirul Azhar Umar dia bunuh Altantuya atas suruhan orang lain, tentang syarikat 1MDB, tentang pembelian jet eksklusif baru dan lain-lain kelemahan pimpinan Najib.
      
Jawapan Umno setakat ini ialah Mahahtir dulu pun lemah juga, Najib perlu diberi peluang bukan disuruh berundur, kedua-dua Mahathir dan Najib ada cara dan pimpinan sendiri.
      
Ada dua tokoh Umno saja yang memberi jawapan yang sesuai atas persoalan yang berlaku iaitu Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno dan Tan Sri Shahrir Samad, Ketua Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen. Mereka tidak menjawab soalan yang Mahathir kemuka pada Najib tetapi pandangan mereka semua soalan Mahathir perlu dijawab oleh Najib sendiri.
     
Mungkin Umno boleh jawab tetapi jawapan yang terbaik ialah dari Najib sendiri. Orang lain tidak boleh jawab tentang isu Altantuya, isu 1MDB dan pembelian kapalterbang jet baru. Jawapan masing-masing tidak lepas atau lebih banyak agak-agak bagi melepaskan beban Najib.
     
Adalah benar Mahathir sendiri semasanya jadi PM dulu penuh dengan kelemahan. Tetapi kelemahan Mahahir itu bukan visa bagi Najib membuat kesilapan pula. Jika Mahathir memandu kereta melangar isyarat lampu merah, maka tidak bererti Najib tidak salah melanggar lampu merah.
     
Kelemahan Mahahir mesti didakwa dan diadili terpisah daripada ketempangan Najib. Tidaklah boleh  Najib tidak diadili semata-mata kerana Mahathir belum diadili. Jika Mahathir tidak dikemukakan dengan soalan-solan seperti yang dibuatnya terhadap Najib, ialah adalah kelemahan dan kebodohan orang Umno dan lain-lain pada masa itu. Salah orang masa itu tidak melakukan semak dan imbang terhadapnya.
     
Tentang peluang perlu diberi kepada Najib tidak berbangkit. Mahahir telah memberi banyak peluang kepada Najib baik sebagai menteri kabinet dan memaksa PM Abdullah Badawi mengambil Najib saja sebagai timbalannya sedang Abdullah minta dia diberi peluang memilih timbalan dan penggantinya.
      
Najib sudah dibagi cukup peluang sebagai Perdana Menteri. Semua teguran Mahahtir dari mula terhadap kelemahan Najib tidak menyuruhnya berundur serta-merta. Ketika Mahahtir menaik sokongannya kepada Najib, dia tidak berhajat menyuruhnya berundur. Dia beri peluang lagi.
     
Apabila Umno minta Najib diberi peluang, ertinya dia mesti diberi peluang lagi sesudah sekian banyak peluang diberi tetapi tidak juga menunjukkan perubahan sikap, maka wajarkah peluang diberi lagi kepada orang yang dapat memanfaatkan peluang yang diberi selama ini.
     
Tiap-tiap pemimpin itu dibenarkan menggunakan caranya sendiri. Dan pemimpin itu tidak semestinya terikat dengan cara-cara pimpinan yang baik daripada orang sebelumnya. Tetapi semua perbezaan dan cara tersendiri sekalipun berbeza gaya, tetapi tidak membenarkan gaya itu mesti lemah dan membawa kebinasaan.
    
Gaya pimpinan yang berbeza mesti  terarah kepada  kebaikan.
     
Jika sekalian pro-Najib merasakan Najib perlu dipertahankan, berilah dia teguran seperti yang Dr. Mahathir tegur sekarang. Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan. – HARAKAHDAILY 17/4/2015

Share on Myspace