POTA macam budak main cop

SUBKY LATIF | .

ADA satu kebiasaan bagi semua kanak-kanak bermain cop sesamanya. Apabila mereka buat sesuatu yang dirasakannya silap dan merugikannya, maka dia kata cop. Dia batal apa yang dia buat, atau tidak jadi beri apa yang sudah diberi – yakni ambil balik. Orang tak boleh buat apa-apa dia kata cop.
    
Mainan cop ini seolah-oleh satu sifat kepada pentadbiran Perdana Menteri Najib.
     
Apa yang dapat kita sifatkan kepada pembentangan RUU POTA – akta pencegahan keganasan - di Dewan Rakyat 6 April lalu yang dilihat sebagai menghidupkan semula puaka ISA yang dipusakai oleh bapanya tahun 1960 dulu.
     
ISA sudah dimansuhkan sebaik menjadi Perdana Menteri. Sekarang dia cop apa yang dimansuhkannya dulu. POTA yang diporah oleh semua pembangkang dan masyarakat pro hak asasi manusia seantero alam adalah seperti kanak-kanak main cop pada ISA.
    
Tidak mengaku dia ISA dijelmakan semula tetapi hakikatnya POTA itu satu ubah suai ISA di sana sini. Ia memberi ruang kepada polis untuk menahan sesiapa tanpa bicara ikut selera kerajaan.
     
Bukan main manis lagi bibir PM Najib baru jadi Perdana Menteri dulu. Akta Hasutan yang dibenci oleh yang tidak jadi menteri akan dibuang juga. Ternyata ia dicop juga – tak jadi buang bahkan lebih mengganas. Dalam masa sebulan setengah ini ada saja orang kena akta hasutan. Puluhan bahkan masuk ratus.
      
Kebimbangan semua ialah tidak mustahil sekalian pembangkang merasai ancaman dan dakwaan akta hasutan. Itulah bentuk pemerintahan transformasi yang Najib janji dan dapat lakukan dalam pentadbirannya setakat ini. Transformasi pendapatan tinggi, rakyat didahulukan, syurga GST tidak tahu bila akan jadi tetapi undang-undang ke arah negara polis adalah dalam pelaksanaan.
     
Mula-mula jadi Perdana Menteri, Najib hendak jadi orang baik, sedia rungkai segala peraturan yang dikira zalim dan kuno. Selepas lima tahun berkuasa, dia cop semua yang dihasratnya dulu.
     
Dia ulangi apa yang bapanya buat. Ketika ISA dirangka, pegawai British yang ditugaskan pernah menceritakan, diingatnya Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, bahawa rangka yang diarahkan dia menyediakannya amat mudah disalah guna. Ditaja untuk disasar kepada komunis dan subersifnya.
     
ISA dijanjikan untuk beberapa waktu saja sementara membersihkan saki dan daki komunis. Tetapi lama selepas komunis mati ISA terus mengganas. Ramai yang jadi mangsa termasuk pejuang-pejuang PAS. Pejuang kemerdekaan dan nasionalis tersohor seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Pak Sako, Ahmad Boestamam semuanya merasai puaka ISA.
     
Tunku adalah bulat di belakang penajaan ISA, tetapi sebelum matinya, dia kata ISA sudah disalah guna. ISA dan POTA disukai oleh yang berkuasa, tetapi dibenci oleh hamba yang tiada kuasa termasuk mereka yang hilang kuasa.
    
Dia (Najib) tunjuk berani memansuhkannya tetapi sekarang ia dicopnya. ISA digantikan dengan POTA adalah sama-sama porah.
     
POTA digubal dan diperundangkan ketika ada pelajar dan sekolah tahfiz disangsi sebagai tapak semaian keganasan. Ada antara belia yang cenderung agama dirasakan anasir paling mudah jadi orang IS atau Daulah Islamiyah. Mengapa pelajar agama ini dicurigai.
     
Ketika saya ke Baghdad bersama Almarhum Ustaz Fadzil Noor, kami diperkenalkan seorang kanak-kanak 10 tahun hafal Quran. Kata Ustaz Fadzil, ‘Kesian budak ini. Nanti depa (Saddam) bunuh dia.’ Saya tanya mengapa, ‘Depa mana suka orang tahu Quran.’
     
Saya keliru, tetapi apakah yang Ustaz Fadzil kata 15 tahun dulu adalah membayang kebimbangan dunia kepada generasi al-Quran hingga serata dunia mengadakan akta anti keganasan masing-masing? – HARAKAHDAILY 21/4/2015

Share on Myspace