Najib mengaku tidak kenal Altantuya

SUBKY LATIF | .

PERDANA Menteri Najib tidak membuat pengakuan di mahkamah yang dia tidak mengenali Altantuya. Ia pengakuan yang tiada kaitan dengan mahkamah. Orang boleh percaya dan orang boleh tidak percaya.
     
Adalah mustahil untuk mendapatkan kepercayaan semua orang. Tetapi jika ramai atau separuh orang tidak percaya, tidak juga boleh dikira perkara itu telah selesai.
     
Maka pengakuannya kepada umum itu belum dikira suatu yang telus. Apabila sesuatu itu tidak telus, maka ia sentiasa mengundang fitnah.
     
Sandaran Najib atas pengakuannya iaitu penglibatannya telah dibersihkan Perdana Menteri ketika kejadian itu iaitu Tun Abdullah Badawi, pengakuan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan tiada sebarang takwil mahkamah.
     
Apakah tidak puas hati lagi dengan sandaran itu?
     
Tetapi sejauh mana telusnya pengakuan orang-orang itu? Setelah keterangan Najib yang terbaru itu Tun Abdullah mengesahkannya. Dia mendapat pencerahan daripada KPN. Keterangan itu bergantung pada tepat atau tidaknya maklumat dari KPN. Tidak diketahui adanya penyiasatan yang telus ke atas Perdana Menteri selain dari pencerahan KPN itu.
     
Jika PM itu membuat keterangan di mahkamah, maka peguam bela dan pendakwa tentu boleh bertanya banyak atas keterangannya.
    
Dan KPN iu pula adalah seorang saksi penting dalam perbicaraan Anwar Ibrahim yang penerimaan masyarakat berbelah bagi dengan kesaksiannya. Reaksi orang awam di luar mahkamah tidak menjadi sebahagian daripada urusan mahkamah, tetapi keyakinan orang terhadap mahkamah adalah penting.
     
Maka isu telus itu terus dipolemik sekali pun ia sudah lama.
     
Dan wibawa mahkamah. Adalah rumit bagi masyarakat jika tidak mempercayai mahkamah. Pada umumnya semua orang di sepanjang zaman menerima dan menghormati mahkamah. Ia adil, mesti dilihat adil. Tetapi keadilan mahkamah itu tidaklah semutlak keadilan Allah dan Rasul-Nya.
     
Seperti ketaatan mutlak orang beriman hanya kepada Allah dan Rasul. Ada pun ketaatan kepada ulil amri – khalifah/raja/presiden – bergantung kepada ketaatannya kepada Allah dan Rasul-Nya.
     
Keadilan manusia biasa yang tidak dipertikai setakat ini ialah dari Khalifah ar-Rashyidin dan Khalifah Umar Abdul Aziz.
     
Nabi Daud a.s  adalah  maksum, pun ada penghakimannya kurang tepat. Dalam kes pekebun lawan penternak, Nabi Daud memutuskan, justeru ternakan telah memusnah tanaman pekebun, maka semua ternakan diserahkan kepada pekebun sebagai ganti rugi. Keputusan itu dikira adil.
     
Tetapi Nabi Sulaiman dalam ulang bicara mengira ia kurang tepat walau sudah adil. Ada lagi yang lebih adil iaitu ketika semua ternakan dan hasilnya diserahkan kepada pekebun, penternak dikehendaki membangunkan semua kebun. Setelah kebun dibangunkan, pekebun hendaklah menyerahkan kembali ternakan kepada penternak dan penternak pula mengembalikan kebun kepada pekebun.
     
Jika  Nabi Daud yang maksum boleh membuat keputusan kurang tepat, maka orang tidak maksum yang mentadbirkan mahkamah juga boleh membuat kesilapan. Seperti kata Dr. Mahathir kepada hakim-hakim yang pernah ditribunal atas kes Umno haram, hakim juga tidak terlepas daripada membuat kesilapan.
     
Maka ada juga mahkamah di dunia sepanjang zaman menghukum orang tidak bersalah dan membebaskan orang bersalah, dan Nabi Daud juga pernah membuat keputusan yang boleh diulang bicara, tidaklah ganjil jika kes Altantuya belum benar-benar dimahkamahkan.
     
Semua sandaran Najib atas isu membersihkan namanya daripada palitan pembunuhan Altantuya payah meyakinkan setengah orang. Sekalipun kita tidak dapat memuaskan hati semua orang, tetapi ditakuti yang tidak puas hati dan tidak percaya itu lebih daripada yang percaya dan puas hati.
     
Itulah yang dikatakan krisis keyakinan. – HARAKAHDAILY 22/4/2015

Share on Myspace