Tun M tidak keseorangan

SUBKY LATIF | .

DI tengah apa yang dirasakan gelombang pro-Najib mencemuh Dr. Mahathir justeru cabarannya terhadap PM Najib, Dr. Mahathir yang terasa dia sendirian, terus mempertikai Najib lagi.
      
Najib sudah memecah kesunyian muncul di TV3 menjelaskan secara batuk di tangga atas apa yang bekas Perdana Menteri itu bangkitkan. Banyak soalan yang Dr. Mahathir kemukakan, tetapi yang dijawabnya panjang lebar, amat sedikit yang dijelaskannya. Soalan pokok tidak dijawab. Yang dijawab ranting dan daun kering.
      
Jika yang ditanya itu soalan dalam peperiksaan, dengan jawapan yang diberi, penjawab tidak dapat apa-apa markah.
      
Dalam ulasannya terhadap jawapan Najib di blognya, Dr. Mahathir menambah banyak pencerahan lagi tentang pimpinan Najib yang berjiwa kecil itu. Katanya kira-kira, sekalipun dia keseorangan, dia akan terus bangkitkan isu kepentingan dan negara itu.
     
Saya ditanya oleh seorang penyokong tegar Mahathir pada zamannya dulu tentang cabaran Mahathir pada Najib.
      
Saya jawab, Mahathir juga banyak kelemahan.
      
Tak sempas habis dia memotong, ‘.....dia juga banyak kebaikan....’
      
Benar, jawab saya, tapi campur tolak, negatifnya banyak. Akan apa yang dibuat Mahathir sekarang, dia positif. Saya tolak negatifnya dulu. Tetapi apabila dia positif, saya mesti bersamanya.
     
Yang dibangkitkannya sekarang ialah isu rakyat dan orang ramai. Dia prihatin kegelapan yang dihadapi rakyat sekarang gara-gara salah tadbir Najib dan boros keluarganya. Kegelapan itu akan bertambah gelap hari demi hari. Itu yang semua rakyat rasa termasuk majoriti ahli biasa Umno.
     
Rakyat tiada saluran bagi menyatakan gundah-gulananya. Mahathir tampil menyuarakan rintihan mereka. Maka tidak benar Mahathir keseorangan dalam isu kepentingan bersama rakyat dan negara itu.
     
Sekalipun ia dirasa sama oleh majoriti Umno yang tidak berkedudukan, Umno tidak mengira apa yang Najib itu isu Umno. Mereka syok juga dengannya kendatipun telah acap kali disuarakan oleh Dr. Mahathir.
      
Kerana ia bukan isu rasmi Umno dan Umno tidak perihatin dengan apa yang Dr. Mahathir bangkitkan itu, maka orang payah mahu bersama Dr. Mahathir juga dia membangkit kelemahan Najib itu bagi mengelakkan Umno kalah dalam pilihan raya nanti.
     
Pemegang jawatan Umno tidak kisah akan natijah pimpinan negatif Najib asal mereka dapat tumpang semangkuk tempias keborosan Najib. Tetapi semuanya akan bersama Dr. Mahathir dalam gerak membela nasib rakyat dan bagi mengembalikan masa depan yang cerah untuk semua.
      
Jika Najib terguling justeru pimpinannya yang teruk, dan dia diganti oleh Umno juga dan Umno itu menerus negatif Najib dan negatif lain-lain pimpinan Umno terdulu, maka nasib rakyat dan masa depan negara pi mai, pi mai, tang tu jugak.
      
Dengan apa yang Mahathir suarakan sekarang adalah benar-benar positif bagi membina masa depan yang terjamin dan Mahathir pun tahu masanya juga sudah tidak lama. Tiada apa yang  diinginkannya lagi selain daripada rakyat dan negara terlepas daripada pentadbiran dan pimpinan yang lemah dan merugikan.
     
Mari kita semua bersama Mahathir yang bercakap positif itu keluar daripada dunia gelap ini. Atas runtuhan Najib dan Umno, kita bangunkan bangsa berdaulat, bersatulah rakyat seluruh berkala, membela hak dan keadilan kita.
      
Ingat! Mahahir seorang tidak sampai ke mana, tetapi kezaliman tidak dapat dipatahkan oleh seorang, ia dapat digantikan oleh semua orang. – HARAKAHDAILY 23/4/2015

Share on Myspace