Najib tak lulus peperiksaan PM?

SUBKY LATIF | .

JIKA soalan-soalan yang Tun Dr. Mahathir kemukakan kepada Datuk Seri Najib boleh dikira sebagai soalan peperiksaan seperti PMR, SPM atau STPM, maka boleh diibaratkan Najib masuk peperiksaan PM iaitu Peperiksaan Perdana Menteri.
     
Jika pegawai-pegawai percubaan/sementara terpaksa melalui peperiksaan bagi pengesahan jawatan atau setengah pegawai awam menjalani peperiksaan tertentu bagi kenaikan pangkat, maka seolah-olah Najib dengan soalan dari Dr. Mahahir itu menghadapi ujian pengesahan jawatan Perdana Menteri.
      
Dengan peperiksaan itu Najib dikira Perdana Menteri percubaan. Dia sudah lama menjalani ujian amali, maka kali ini giliran peperiksaan lisan atau ulasan pula. Markah ujian amali dan peperiksaan lisan/tulisan akan menentukan jawatan itu disahkan atau tidak.
     
Sepatutnya memadai dengan ujian amali saja. Pemeriksa boleh mengesahkan jawatan jika jawapannya  memuaskan. Soalan-soalan yang Dr. Mahathir kemukakan itu boleh dikira ujian amali selama ini tidak memuaskan, maka dia terpaksa menjalani satu peperiksaan pula.
     
Maka PM Najib pun menjawab melalui TV3.
    
Soalan peperiksaan itu mesti dijawab semua. Dia tidak boleh memilih mana soalan yang dia suka saja. Markah dikira daripada tiap-tiap soalan. Jika ada soalan yang tidak dijawab, maka dia tidak dapat markah penuh, malah boleh tidak lulus.
     
Soalan itu tidak dijawab sepenuhnya. Dia pilih soalan tertentu saja. Jika dia dapat markah penuh atas tiap soalan yang dijawab belum tentu dia lulus kerana ada soalan yang tidak dijawab.
    
Soalan tentang pembelian jet peribadi tidak dijawab. Dia tidak jawab isu kelemahan pengurusan negara. Dan soal pokok tentang skandal 1MDB pun tidak dijawab. Banyak mana markah hilang kerana soalan yang tidak dijawabnya?
     
Soalan tentang Altantuya dipercayai tidak dapat penuh markah. Boleh pemeriksa kertas percaya dengan jawapan dia tidak kenal? Untuk dapat markah penuh tentang Altantuya, bukan sekadar jawab tidak kenal, banyak lagi hal mengenainya mesti dihuraikan termasuklah usahanya mendapatkan orang yang dikatakan mengarahkan Sirul Azhar Umar membunuhnya.
      
Dengan mengatakan dia tidak kenal nyonya itu, dia mungkin dapat sikit markah. Dia memerlukan jawapan lanjut bagi membolehkan jawapan atas soalan sekurang-kurangnya dapat 50 peratus. Kalau atas soalan ini dia tidak dapat markah 50 peratus, maka untuk lulus peperiksaan itu dia mesti dapat markah penuh dalam lain-lain soalan yang dijawabnya.
      
Peluang untuk dapat keputusan cemerlang – kepujian – dia mesti dapat sekurang-kurangnya 80 peratus atas semua jawapan. Tetapi dengan beberapa soalan tidak dijawab, dia jangan harap boleh dapat kepujian.
     
Ia tidak dapat markah penuh atas semua soalan yang dijawab. Paling baik dia mesti dapat 80 peratus tiap-tiap soalan yang dijawab. Adakah dia boleh dapat markah 80 peratus atas tiap-tiap soalan?
     
Dengan banyak soalan yang tidak dijawab, maka jika dia dapat markah antara 50 hingga 60 peratus atas keseluruhan jawapan sudah dikira cukup baik.
     
Yang dibimbangkan dia tidak dapat 50 peratus. Jika daripada peperiksaan itu dia tidak dapat markah 50 peratus, maka markah itu tidak dapat menolong markah ujian amali untuk lulus peperiksaan pengesahan jawatan.
     
Soalan yang Dr. Mahathir tanya itu adalah kerana ujian amalinya tidak memuaskan. Jika ia memuaskan tentulah dia  tidak dikehendaki melalui peperiksaan PM.
      
Maka kita tunggu saja keputusan peperiksaan PM-nya itu sama ada layak meneruskan perkhidmatan atau terpaksa menghadapi peperiksaan sekali lagi? Untunglah kiranya diberi peluang peperiksaan sekali lagi atau yang terakhir buatnya. – HARAKAHDAILY 27/4/2015

Share on Myspace