Dengar dulu kata mufti

SUBKY LATIF | .

MUFTI Wilayah Persektuan, Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad di samping menganjurkan agar kadar enam peratus atas GST diturunkan telah memberi pandangan yang bernas tentang sistem percukaian yang diadakan khusus oleh negara kita.
    
Ia dikira pandangan seorang yang berilmu oleh memberi nasihat kepada kerajaan sebelum kerajaan hendak mengenakan sebarang cukai baru serta mengkaji semua sistem cukai yang sedang berjalan sekarang supaya ia relevan dengan cukai dalam Islam.
    
Keseluruhan cukai yang berjalan sekarang dipercayai lanjutan cukai yang dimulai oleh penjajah British dulu yang rata-rata tidak pernah mempedulikan peraturan cukai Islam atau tidak pernah bercadang untuk mendengar pandangan Islam atas perkara itu. Itu dulu. Tetapi sekarang pun begitu juga.
     
Apabila Mufti Wilayah mengatakan kadar GST itu patut dikurangkan dengan hujahnya yang menarik, maka jelaslah Islam ada pandangan atas GST dan yang seumpamanya. Adakah Peerdana Menteri Najib telah mengambil kira pandangan Islam itu sebelum dia mengumumkan untuk melaksanakannya lebih setahun lalu.
    
Dan mengapa sekalian mufti tidak didengar memberikan pandangan atas perkara itu. Mungkin sekalian mufti telah termakan psiko bahawa mufti di bawah sekalian sultan wajar mengelak diri dalam perdebatan politik, maka GST sejak mula ditentang oleh pembangkang, maka sekalian sahibus samahah pun berdiam.
     
Berdiam diri dan tidak memberi pencerahan mungkin suatu yang amat disukai oleh pembuat cukai, tetapi meskipun mufti itu makan gaji, tidaklah tanggungjawabnya kepada sultan dan kerajaan saja, tetapi mereka ada tanggungjawab kepada Allah dan rakyat, maka ia tidak boleh berkecuali saja terutama apabila Islam ada pandangan mengenainya.
     
Sepatutnya majlis mufti wajar mengambil bahagian terhadap setiap dasar dan rancangan kerajaan. Tidak sekadar ia membuat fatwa setiap kali dikehendaki oleh pihak tertentu.
    
Institusi Islam itu telah banyak ditubuhkan kerajaan sejak merdeka. Telah ada Jakim dan Ikim, setiap universiti ada fakutli atau akademi Islamnya. Perdana Menteri bukan sekadar ada menteri hal ehwal Islamnya, malah sejak zaman Dr. Mahathir dulu telah ada penasihat agamanya.
    
Semua penerima gaji dari kerajaan ini patut menggerakkan majlis mufti peka dan sensitif atas apa jua kegiatan supaya semua dapat dibebaskan daripada terjebak dalam dosa dan kemaksiatan.
    
Kerajaan Najib telah banyak bercakap tentang wasatiyah dan maqasid syariyah. Semua ini adalah menyentuh bidang pentadbiran Islam yang boleh menambah baik pentadbiran negara.
   
Adakah Najib telah memanfaatkan Penasihat Agama Perdana Menteri tentang GST supaya ia selaras dengan tuntutan wasatiyah dan maqasid syariyah? Jika penasihat agama itu kurang maklumat, maka mintalah pihaknya mencari jawapan daripada semua institusi Islam yang ada.
   
Dengan pandangan yang diberi Mufti Wilayah itu nampaknya ada orang Islam yang tahu tentang bukan saja sistem percukian yang Islam benar, bahkan juga lain-lain perkara.
   
Sekalipun kita ramai mufti tradisi yang tuannya adalah Sultan, tetapi sekarang ada mufti yang mampu berhujah secara terbuka. Daripada terlalu banyak memerhatikan bab beribadat dengan hadis daif dan hadis sahih yang tidak habis-habis didebat sejak beratus tahun dulu, banyak isu dan perkembangan terkini yang amat memerlukan pandangan Islam.
    
Kahadiran mufti baru Wilayah Persekutuan ini, tidak mungkinkah ia membuka medan baru, ulama makan gaji terlepas daripada kongkongan psikologi dan tradisional. – HARAKAHDAILY 28/4/2015

Share on Myspace