Susahnya PAS dalam PRK Permatang Pauh

SUBKY LATIF | .

SELAGI PAS dalam Pakatan Rakyat dan selagi PKR ada di Permatang Pauh, dalam keadaan yang normal, tidak berbangkit PAS mengabaikan komitmennya membantu PKR di Permatang Pauh.
     
Inilah semangat pimpinan PAS dalam semua proses menghadapi PRK Permatang Pauh itu sejak kedudukan Datuk Seri Anwar dilucutkan. Demikian juga dipercayai sikap PAS Kawasan Permatang Pauh. Mungkin dalam hati setiap warga PAS tidak seronok dengan sikap rasmi PKR tentang usul persendirian PAS di Parlimen mengenai hudud tetapi tiada reaksi negatif PAS terhadap pendirian PKR itu sama ada suka atau tidak suka.
     
Hinggalah Dewan Pemuda PAS Kawasan membangkitkan reaksi negatif mereka terhadap kenyataan rasmi PKR tentang rang persendirian PAS di Parlimen itu dan sikap PKR itu dibuat atas nama Presiden PKR Datin SeriWan Azizah Ismail yang disebut-sebut pula sebagai calon PRK itu.
     
Apabila ia meletup suasana jadi berubah dan semua jadi serba susah.
     
Dari segi prinsipnya pendirian pimpinan PAS pusat tidak berubah atas perkembangan terbaru di Permatang Pauh. Eloklah ia terus menzahirkan sikap positifnya justeru setiakawannya dengan Pakatan Rakyat khususnya PKR.
     
Tetapi tidaklah mudah bagi PAS pusat meleburkan apa yang dirasai oleh warga akar umbi PAS kawasan yang berdepan terus dengan PRK itu. Mereka yang berada terus di kawasan kempen sepanjang kempen dan mereka yang diharapkan menjaga benteng pertahanan dan bendera perjuangan. Lebih-lebih lagi mereka wajib mengundi.
      
Memang PAS pusat berdepan denan kepayahan menuntut kepatuhan akar umbi terhadap yang mereka  tidak seronok. Jika mereka tidak patuh pada zaman ramai orang PAS tidak patuh kepada pimpinannya sekarang, apa yang dapat dibuat? Tidaklah dilihat mudah dan bijak bagi PAS menurunkan perintah wajib atas perkara yang khilaf itu. Dan semuanya ada hujah.
     
Bukan senang bagi mengatakan yang di bawah itu silap. Semuanya ada kitab dan rujukan.
     
Rasulullah SAW tidak memaksa Ali Abu Talib memadam kalimah Rasulullah dalam perjanjian Hudaibiyyah yang dibantah oleh musyrikin Quraisy. Baginda sendiri memadam rangka perjanjian itu.
     
Baginda memerintahkan sekalian rombongan umrah yang tertangguh itu bertahalul apa persetujuan tercapai dengan musyrikin bagi memenuhi rukun umrah sekalipun ditangguhkan. Tiada yang sedia bertahalul kerana meraka mengira perjanjian yang dicapai itu berat sebelah. Perintah Rasul tidak boleh dibantah.
      
Baginda tidak keluarkan kata dua sama ada patuh atau tidak. Baginda atasi suasana keliru itu dengan baginda memotong rambutnya. Lalu ia diikut oleh sekalian. Maka inilah kaedah yang PAS mesti cari bagi menyenangkan semua warga PAS itu.
      
PAS Pulau Pinang pernah menghadapi sedikit sebanyak kecederaan apabila ia menyertai muafakat Pakatan Rakyat dulu. Dan kita tidak mahu ada lagi barang seorang yang tercicir dalam menangani khilaf PRK itu.
       
Bukan PAS saja yang payah. PKR juga payah gara-garanya tidak menyokong usul persendirian PAS. Ia pun tidak pasti apakah kenyataannya atas usul itu telah mengambil kira PRK yang dihadapi itu. Ia juga terpaksa juga menerima risiko atas sebarang keputusannya supaya bukan saja PAS yang susah, tetapi susah semuanya.
      
Lebih teruk yang PAS hadapi ialah bagi menjawab serangan Umno untuk menyokong calon Umno yang sudah menyokong pindaan kanun di Kelantan dan mendakwa berjanji utuk menyokongnya di Parlimen atau menyokong calon yang menentang usul itu. Tidaklah mudah bagi PAS untuk keluar daripada dilema terhadap persepsi orang awam yang mengundi sama ada dalam PRK ini mahupun PRU yang akan datang.
       
Sesunguhknya manusia itu sentiasa dalam kerugian dan kepayahan, kecuali mereka yang berpesan dengan kebenaran dan kesabaran. – HARAKAHDAILY 29/4/2015

Share on Myspace