Dengar dulu kata Kit Siang

SUBKY LATIF | .

KITA tidak boleh tempelak dulu Lim Kiat Siang, ketua DAP di Parlimen dikatakan mencadangkan supaya BN dan Pakatan Rakyat membentuk sebuah kerajaan besar bagi menyelamatkan Malaysia.
      
Tentulah pandangannya itu yang disampaikan kepada pelajar di Mesir memeranjatkan, suatu yang tidak pernah difikirkan oleh sesiapa sejak sekitar 50 tahun dalam politik.
      
Sekutunya mungkin tidak setuju dan mungkin demikian juga penyokongnya, tetapi cakap-cakap menarik seperti ini elok didengar dulu. Mungkin ada yang kita tidak nampak tetapi Kit Siang mungkin nampak.
      
Sekalipun hal itu tidak dirundingkan dulu oleh pemimpin DAP itu dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat, tetapi pandangan tidak rasminya itu perlu mendapat penjelasan lanjut.
      
Sebelum Kit Siang ada parti sendiri, sebagai penyokong muda PAP semasa Singapura berada di Malaysia, Lee Kuan Yew yang sudah menjadi Perdana Menteri Singapura telah bertindak sebagai sekutu Perikatan yang penting sekalipun partinya belum menjadi anggota Perikatan yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman Putra.
     
Kuan Yew begitu rapat dengan Tunku dan berbincang bagi menjadikan PAP kerabat Perikatan. Tetapi Kuan Yew hanya mahu mengantikan MCA dalam komponen itu. Dia melobi Tunku supaya mengeluarkan MCA daripada Perikatan supaya PAP boleh menjadi parti tunggal mewakili masyarakat Cina dalam parti yang memerintah Malaysia itu.
     
Tunku tidak setuju dengan syarat Kuan Yew. Yang dia mahu ialah PAP dan MCA sama-sama duduk dalam perikatan. Perbincangan itu putus apabila dalam PRU 1964, PAP meletakkan 13 calon yang berlawan dengan Perikatan.
     
Jika PAP pernah bercadang untuk menjadi sebahagian daripada Perikatan yang memerintah Malaysia, maka tidak pula suatu yang pelik bagi DAP bersama Pakatan Rakyat membentuk sebuah kerajaan dengan BN tanpa meletakkan syarat MCA mesti keluar dari BN.
     
Dan jika DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan, dan ada peranan yang penting dalam kerajaan, bukan suatu yang mustahil MCA dan Gerakan perlahan-lahan hilang daripada peta BN. Mungkin MCA dan Gerakan ada panglima, tetapi ia hilang soldadu dalam waktu yang singkat.
     
Mungkin ini yang Kit Siang nampak yang lebih memudahkannya lebih berperanan dalam politk negara dan kerajaan.
      
Apakah PAS  dan PKR suka, dengar dulu  dan bincangkan bagaimana sekutu Pakatan itu boleh dapat keuntungan politik daripada cadangan Kit Siang itu. Dipercaya dia mungkin dapat menarik minat Umno jika Umno mengira ia tetapi dijadikan sekutu utama dalam muafakat itu. Tetapi rintangan kiranya Pakatan bersetuju dengan Kit Siang ialah Dr. Mahathir. Mahathir tidak akan suka                                    jika ada gagasan yang boleh mendekatkan Anwar Ibrahim dengan kerajaan.
      
Kita boleh anggap berita yang Kit Siang letup itu suatu yang payah terjadi, tetapi ia dengan sendirinya boleh mencairkan tabu dalam kalangan Pakatan terhadap apa yang dikatakan politk UG – kerajaan perpaduan – yang dikatakan dipelopori PAS.
       
Betapa PAS dikatakan bermatian politik UG untuk berbaik dan bersekutu dengan Umno. Setiap kali ada perbezaan PAS dengan rakan-rakan Pakatannya, maka politik UG ini telah digunakan untuk memerangkap PAS hingga PAS kelu dibuatnya.
      
Apakah PAS benar gian dengan UG atau mahu mempermainkan Pakatan Rakyat, dengan cadangan Kit Siang, boleh dikira satu UG baru versi DAP. Bolehkan politik Kit Siang itu menguasai isu baru negara, boleh kita beri perhatian, tetapi PAS sudah ada peluang terbaik bebas daripada momokan UG. – HARAKAHDAILY 5/5/2015

Share on Myspace