Membalas jasa Tun Razak

SUBKY LATIF | .

TUN Dr. Mahathir dalam kritik seterusnya terhadap kelembapan dan kekecewaannya terhadap kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri Najib bahawa peluang dan sokongan yang diberikannya kepada Najib sebelum ini adalah demi membalas jasa dan kepercayaan Tun Razak kepadanya.
     
Tanpa menyebut betapa pemecatannya daripada Umno dulu dilaksanakan oleh Tun Razak atas kemahuan Tunku Abdul Rahman Putra, yang disebutkannya ialah Tun Razak telah membawanya balik ke dalam Umno dan memberi peluang yang seluasnya kepadanya untuk berperanan dalam politik hingga menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri.
     
Saya tidak bercadang di sini untuk mengulas kerjasama antaranya dengan Tun Razak dalam menggulingkan Tunku tetapi untuk melihat pembinaannya terhadap kerjaya Najib sebagai seorang pemimpin politik.
     
Tidak disebutkannya tentang nilai kepimpinan dan bakat serta potensi Najib bagi menjadi pemimpin negara. Tetapi semua peluang yang diberikannya kepada Najib adalah atas rasa terutang budi dan mengenang segala kesempatan dan peluang yang diberikan oleh Tun Razak kepadanya.
     
Memilih dan menyokong Najib atas wibawa dan kupayaan Najib memimpin masyarakat adalah suatu yang wajar, tetapi jika keutamaan itu diketengahkan justeru mengenang jasa dan apa yang Tun Razak dan Tun Hussein Onn beri kepadanya, ia adalah satu sikap yang kurang tepat.
      
Ia mencerminkan adanya bau dan ciri pemikiran fuedal dalam memilih waris perintahan. Dalam cara berfikir begini raja-raja amat jarang memilih waris takhta berdasarkan merit puteranya, siapa lebih berwibawa, lebih pintar dan lebih berpelajaran. Tetapi mengguna amalan tradisi biasa terhadap putera sulung. Keutamaan tidak terhadap siapa yang terbaik.
      
Mungkin Korea Utara yang kepimpinannya sudah menyerupai sistem dinasti, pemimpinnya yang sekarang bukanlah anak sulung Presiden sebelum ini. Ramai lagi adik-beradiknya, tetapi dia terpilih kerana dirasakan oleh bapanya terpintar daripada anak-anak yang lebih tua.
     
Sebagai bapa kepada Umno semasa, Maahthir boleh memberi peluang sama rata kepada sekalian orang yang berpotensi dalam Umno untuk meraih peluang dan membuktikan bakat dan wibawa masing-masing.
     
Peluang yang diberi oleh seorang bapa itu ialah tidak menyekat seseorang yang berpotensi dan tidak pandang lebih antara satu sama lain. Mungkin bapa ada kecenderungannya terhadap seseorang, tetapi pilihan majoriti adalah lebih baik daripada seorang yang hendak menentukan siapa penggantinya.
     
Perdana menteri diberi peluang oleh sistem pemerintahan utuk menentukan timbalannya dan anggota kabinetnya. Ia adalah kaedah terbaik bagi melicinkan kerjasama dan persefahaman pentadbiran dan pemerintahan.
      
Biasalah timbalan menggantikan perdana menteri tetapi pemilihan yang lebih cermat ialah ganti perdana menteri itu ditentukan oleh majoriti partinya.
     
Sekalipun Mahathir memilih Abullah Badawi sebagai gantinya, tetapi tidak memberi peluang kepada Abdullah bagi menentukan timbalannya. Dia menentukan Najib, kerana bagi memastikan dia dapat membalas jasa Tun Razak kepadanya.
     
Banyak lagi yang dia mesti perhatikan tentang Najib. Contohnya fitnah isu atas Altantuya berlaku semasa Najib masih Timbalan Perdana Menteri. Jika Mahathir peka tentang fitnah dan buruknya fitnah, dia mesti memastikan pimpinan sebaiknya paling tiada fitnah. Isu skandal pembelian kapal selam Perancis dan pesawat pejuang Rusia berlaku masa itu. Mahathir patut halang negara dipimpin oleh orang-orang terlalu banyak desas-desus.
       
Mahathir tidak peka semua kelemahan dan kekurangan Najib yang ramai orang sudah nampak, tetapi keutamaannya untuk membalas jasa Tun Razak kepadanya. Cara itu adalah balas jasa yang tidak tepat. Menjaga kepentingan dan kesejahteraan umat dan negara adalah lebih aula daripada mengenang jasa orang yang berjasa. Bukan jasa tidak wajar dibalas tetapi yang mana lebih aula. – HARAKAHDAILY 11/5/2015

Share on Myspace