Najib belum jawab

SUBKY LATIF | .

PERDANA Menteri Najib diminta menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh negarawan Tun Dr. Mahathir dan jika gagal menjawabnya, maka tukang soal menasihatkan dia berundur daripada kuasa.
     
Apakah pilihan berundur itu tidak sama dengan usaha menggulingkannya, terserah pada persepsi dan tafsiran masing-masing.
     
Isu utama Dr. Mahathir ialah soalannya mesti dijawab.
    
PM Najib telah membuat percubaan menjawabnya. Dia pergi ke stesyen TV. Dia pun menjawab beberapa soalan dari penanya TV. Soalan yang TV tanya itu adalah cabutan daripada soalan Dr. Mahathir. Apabila dikatakan cabutan soalan, maka ia bererti tidak semua soalan disoal.
     
Tukang buat soalan mendapati banyak soalan tidak berjawab. Ia sama dengan Najib tidak menjawab lagi soalan yang Mahathir kemuka.
     
Bukan Mahathir saja yang merasakan soalannya tidak dijawab. Sekalian yang prihatin tahu soalannya tadi tidak dijawab sekali pun dia sudah memberi masa menjawabnya. Najib mungkin rasa dia sudah jawab tetapi jawapannya bukan jawapan.
     
Betapa jawapannya dikira belum berjawab boleh dilihat daripada kenyataan TPM Muhyiddin Yasin yang mahu kesempatan kempen pilihan raya kecil di Rompin dan Permatang Pauh untuk menjawab semua soalan.
     
Kalau jawapan Najib di TV itu sudah menjawab soalan-soalan yang diminta jawab, tetapi Muhyiddin tidak berkata ia akan dijawab dalam kempen PRK. Apabila sekalian tukang kempen cuba jawab dalam kempen, maka ia tanda soalan itu belum  berjawab.
     
Dan Muhyiddin pula tidak memberi jaminan semua soalan itu akan dijawab dan dapat dijawab. Katanya, mereka akan jawab apa yang boleh dan dapat dijawab. Yang tidak boleh dijawab, logiknya biarlah dijawab oleh Najib sendiri.
     
Betulkah Najib belum jawab?
     
Betul. Apa buktinya?
     
Bekas PM Tun Abdullah Badawi juga berkata, dia mahu Najib jawab soalan yang dikemukakan. Ertinya Najib masih belum menjawab soalan-soalan itu.
     
Najib sekarang bukan saja mesti jawab apa yang Mahathir mahu, dan Najib juga mesti menjawab seperti Dolah Badawi suruh. Jawapan Najib itu pertama mestilah memuaskan hati Mahathir dan ia juga mestilah memuaskan hati seperti yang disuruh oleh Pak Lah.
     
Jawapan yang pertama dikira bukan jawapan, maka peluang perlu diberi sekali lagi untuk menjawabnya. Apabila jawapan yang pertama itu tidak memuaskan hati Dr. Mahathir, ia sama seperti tidak menjawab soalannya. Gagal menjawab soalan itu, Najib telah layak berundur.
   
Sekarang justeru Najib belum menjawab soalan, maka sudah ada kelayakannya berundur. Tiada lain yang patut dibuat oleh Najib melainkan berundur.
   
Najib hanya boleh mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri jika dia berjaya memberi jawapan sekali lagi. Sekarang dia sudah hilang kelayakan. Jika mahu kekal, dia mesti menjawab.
    
Mahahir tidak memberi tempoh berapa lama soalannya mesti jawab. Biasanya tidak ada tempoh, dan tidak patut bertempoh lama. Sebaik saja soalan dikemukakan, ia mesti dijawab semuanya. Apabila tidak  dijawab, maka dengan sendirinya secara teknikal, dia patut berundur.
    
Jika dia tidak  berundur, tidak bererti dia betul dan layak berkuasa terus.
    
Jika apa yang Mahathir itu dikira kayu ukur tempoh Najib berkuasa, maka dengan tidak menjawab itu, dia sudah hilang kelayakan meneruskan kuasa.
    
Sekarang Najib bolehlah dikira orang berkuasa yang sudah tiada kelayakan berkuasa. Maka sebelum dia benar-benar hilang kuasa, dalam masa kecederaan ini, dia mesti jawab apa yang ditanya. – HARAKAHDAILY 12/5/2015

Share on Myspace