Indonesia tiru ketegasan Kuan Yew

SUBKY LATIF | .

AKHIRNYA Indonesia menjalankan juga hukuman bunuh ke atas dua warga Australia atas kesalahan mengedar dadah sekalipun kerajaan Australia dan PBB merayu agar ia jangan dijalankan.
     
Indonesia bertegas menolak semua rayuan mengenainya dan bersedia menghadapi kritikan antarabangsa.
     
Mungkin ramai yang tidak senang dengan sikap Indonesia itu tetapi bukanlah negara yang pertama menolak rayuan negara asing supaya jangan melaksanakan hukuman bunuh ke atas warga asing dan Indonesia juga bukan negara pertama di dunia yang melaksanakan hukum bunuh atas kesalahan dadah kepada warga Australia.
     
Yang dibuat oleh Indonesia itu sama dengan apa yang pernah dibuat oleh Lee Kuan Yew ke atas dua perisik tentera Indonesia gara-gara konfrontasi Sukarno dulu dan ia tindakan yang Malaysia buat apabila hukuman mati mula diperkenalkan di dunia lebih 30 tahun dulu.
     
Pada zaman konfrontasi Indonesia terhadap pembentukan Malaysia dulu, kerajaan Singapura telah menangkap dua orang perisik tentera Indonesia yang menyusup ke Singapura. Hukuman atas kesalahan itu ialah bunuh.
     
Kesalahan itu berlaku pada zaman Sukarno. Apabila Suharto berkuasa, konfrontasi ditamatkan, hubungan baik Indonesia dan Singapura dipulihkan, Suharto merayu supaya Singapura tidak melaksanakan hukuman bunuh itu dan memulangkan keduanya kepada Indonesia.
    
Banyak pihak menyokong rayuan Indonesia itu kerana bukan asing bagi sesebuah negara tidak menjalankan hukuman bunuh atas kesalahan seperti itu. Tetapi Perdana Menteri Lee Kuan Yew bertegas. Perisik itu dihukum mati.
    
Indonesia mengenakan tindakan diplomatik ke atas Singapura. Permintaan Lee Kuan Yew untuk  melawat Indonesia hanya disetujui jika Kuan Yew sedia mengadakan kunjungan hormat ke atas pusara perisik yang dikenakannya hukuman mati itu. Kuan Yew tidak bersedia.
     
Lama-kelamaan Kuan Yew hendak juga berkunjung ke Jakarta, maka dia setuju untuk melakukan penghormatan atas pusara orang yang dilaksanakan hukuman bunuh itu.
     
Indonesia dan Singapura atau Suharto dan Lee Kuan Yew mencatit hubungan dan kerjasama yang baik antara keduanya.
    
Apapun prestasi keseluruhannya, Lee Kuan Yew dikira oleh dunia sebagai pemimpin yang tegas sekalipun dia pernah dimalukan oleh Suharto yang memaksanya menabik pusara orang yang dikenakannya hukuman bunuh.
     
Apabila dadah dikira ancaman keselamatan bahaya menyamai jenayah bunuh dan penyusupan perisikan, Malaysia adalah negara yang pertama mengenakan hukuman bunuh ke atas kesalahan dadah. Ia satu undang-undang yang ditolak oleh semua negara di dunia termasuk jugalah Australia.
     
Antara orang awal dikenakan hukuman mati atas kesalahan itu ialah dua warga Austrlia juga. Masa itu belum ramai orang yang peka betapa kesalahan itu dikenakan hukuman mati.
     
Kerajaan dan pemimpin Australia membuat rayuan supaya kerajaan Malaysia jangan melaksanakan hukuman itu ke atas warganya kerana undang-undang itu belum diketahui ramai. Warga Australia mengancam untuk bertindak balas termasuk tindakan di luar undang-undang kepada Malaysia.
     
Tunjuk perasaan dan bantahan dibuat di hadapan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia dan tidaklah aman bagi pelajar kita di sana, bimbang diancam keselamatan. Mereka ketakutan keluar rumah.
      
Akan tetapi kerajaan Malaysia bertegas mempertahan undang-undang dan tidak tunduk atas tekanan antarabangsa dan ancaman oleh sesiapa jua.
   
Yang menariknya, banyak negara di dunia mengadakan undang-undang yang serupa. Malah ada yang membuat undang-undang tetapi tidak bertegas dalam pelaksanaannya. Mereka batalkan hukuman atas apa kesalahan jua.
     
Lama juga Indonesia menangkis tekanan Australia hingga menangguhkan hukuman itu beberapa ketika. Tetapi jika lebih cepat hukuman itu dilaksanakan, mungkin lebih cepat isu itu reda. – HARAKAHDAILY 14/5/2015

Share on Myspace