Niat Najib tadbir negara sebaik dan seadil mungkin

SUBKY LATIF | .

KATA PM Najib di Santubung, Sarawak selepas solat Jumaat lepas, adalah dia mentadbir negara sebaik mungkin dan seadil mungkin.
     
Jika ia niat, ia adalah niat yang baik untuk berniat baik sebaik mungkin dan untuk berbuat adil seadil mungkin. Itu jualah azam setiap yang memberi amanah kepada pemimpin, demi berbuat baik sebaik mungkin dan memberi keadilan seadil mungkin. Tiada yang lain yang diharapkan oleh sekalian rakyat jelata daripadanya selain daripada mendapat pentadbiran yang sebaik mungkin dan seadil mungkin.
      
Seseiapa pun hamba Allah itu dikehendaki Allah untuk berbuat baik seadanya dan berbuat keadilan seadanya.
    
Setiap orang dikehendaki berniat begitu dan bertindak begitu. Bagi setiap orang Islam dikehendaki Allah solatlah sekhusyuk mungkin dan beribadatlah seikhlas mungkin. Itulah solat dan ibadat yang terbaik yang diterima Allah.
     
Mungkin tiada orang solat yang tidak mahukan khusyuk dan beribadat tidak mahu setulus dan ikhlas kepada Allah. Tetapi yang tahu khusyuk dan ikhlas itu ialah Allah. Ramai yang solat penat saja, ramai yang puasa lapar dan dahaga saja.
     
Seperti Najib yang berniat unuk berbuat sebaik mungkin dan seadil mungkin, tiada adil mentakwil  dan mempertikai niat Najib. Bukan kerja sesiapa bagi mentakwil niat seseorang tetapi setiap orang mesti memastikan niatnya betul, baik dan adil.
     
Sekalipun kita sudah memasang niat yang baik dan kita sudah cuba dan percaya kita sudah laksanakan apa yang kita rasa baik dan adil, tetapi bukan kita yang layak dan mampu mengesahkan kita telah berbuat baik dan adil.
    
Setinggi gunung manapun niat Najib untuk memberi pentadbiran dan keadilan yang baik, tidaklah Najib sendiri layak mendakwa dia sudah buat yang terbaik dan teradil sekali pun dia sudah berbuat baik dan berbuat adil
     
Yang layak menilai apakah Najib sudah adil dan benar-benar baik bukan Najib sendiri, bukan isteri dan anak-anaknya bahkan bukan ibu dan adik-beradik sendiri tetapi orang lain. Sekalipun ada pendapat, nak tahu elok seseorang tanyalah kawannya dan hendak tahu hodohnya tanya musuhnya.  Akan tetapi ada benarnya jika yang mengata baik itu adalah musuh sendiri dan yang mengata buruk itu adalah kawan sendiri.
      
Justeru si cerdik pandai tidak kata kritik itu buruk tetapi berlapang dada mengiranya ia teguran membina.
    
Betapa kita kurang diyakini yang kita baik bila kita kata kita baik, apabila kita berhadapan dengan mahkamah keadilan. Mahkamah mengelak hakim sesuatu kes mengadili kes yang melibatkan keluarganya dan/atau yang ada hubungan baik dengannya. Seboleh-bolehnya hakim itu dikira elok apabila dia tidak kenal orang yang dihakimi.
     
Biasanya orang berkeluarga dan berkawan rapat apabila jadi saksi, dia dikira saksi ke lutut, dan bila jadi hakim berkemungkin jadi hakim beruk.
     
Islam amat berhati-hati tentang keadilan. Saksi dan hakim yang adil itu bukan kerana dia kata dia adil, tetapi dia adil dan dilihat adil oleh orang ramai. Justeru dalam kes tertentu sekadar seorang dua saksi yang adil masih tak terpakai, hingga cukup empat saksi yang adil baru keadilan itu diyakini dapat ditegakkan.
    
Sekadar Najib kata dia hendak berbuat sebaik mungkin dan seadil mungkin, belum boleh diterima tindakannya adil dan baik hinggalah sekalian ahli Umno kata dia baik dan adil. Kalau orang Umno termasuk setengah pemimpin Umno ragu akan kebaikan dan keadilannya, dia belum jadi orang yang baik dan adil. Semua Khibti kata Firaun adil dan baik, tetapi Nabi Musa kata dia tidak baik. Semua Jerman dulu kata Hitler baik dan adil, tetapi sekalian orang Eropah kata  dia teruk dan gila, semuanya betul-betul gila. – HARAKAHDAILY 15/5/2015

Share on Myspace