Permatang Pauh masih kubu Anwar

SUBKY LATIF | .

DR. Wan Azizah Ismail menang sekali lagi di Permatang Pauh sejak PRU 1999 kecuali PRK sebelum PRU13 dan PRU13 yang tidak ditandinginya. Pada PRK itu dia memberi laluan kepada suaminya, Anwar Ibrahim dan pada PRU itu pula menyambung lagi kerusi yang mula didudukinya sejak tahun 1982.
    
Sejak itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikira tuan punya mutlak kawasan itu sama ada dia dalam Umno atau di luar Umno. Kini Anwar dibanduankan sekali lagi, maka kerusi yang dikosongkan itu disambung semula oleh proksinya, isterinya yang banyak orang membahasakannya Kak Wan.
     
Tidak ramai orang yang dipanggil dengan ganti nama seperti Kak Wan bagi Dr. Wan Azizah. Antara yang tak ramai itu ialah Pak Lah bagi Tun Abdullah Badawi, Che Det bagi Mahathir, Ayah Cik bagi Ustaz Abdul Hadi Awang dan Ayah Mat bagi Datuk Asri. Dr. Wan Azizah dapat ganti nama mesra itu.
     
Sekalipun majoriti pemegang kawasan Permatang Pauh itu turun naik, biasalah dalam pilihan raya pasang surut berlaku atas sebab tertentu tetapi pada keseluruhannya Anwar berjaya menanamkan pengaruhnya dari orang seatas-atasnya hinggalah kepada ke serendah akar umbi.
     
Majoriti sekitar lapan ribu kali ini adalah yang terendah, tetapi ia belum menjadi isyarat pengaruh Anwar akan habis di situ selepas ini. Jika empat kali lagi selepas ini dia didakwa meliwat juga, belum tentu pengaruhnya pupus. Jika calon BN-nya Tun Dr. Mahathir, tidak perlu tunggu Anwar sendiri jadi calon, memadai calon proksinya Dr. Wan Azizah, Mahathir juga boleh kalah dengan majoriti paling kecil lapan ribu.
      
Dengan semua kepungan Perdana Menteri dulu dan sekarang buat terhadapnya, dengan semua peluru canggih Umno dan kerajaan halakan kepadanya, termasuk roket yang dinamakan Shafie Abdullah belum dapat memadamkan nama Anwar. Terperosok Anwar di penjara tetapi Anwar ada di mana-mana di luar penjara termasuk dalam hati majoriti penduduk Permatang Pauh, sebaliknya roket yang digunakan terhadapnya sudah tidak meletup lagi.
     
Jika selepas Anwar dipecat dari Umno tidak berbangkit kawasan itu milik keluarga Anwar kalau bertukar ganti Waibi Parlimennya antara pasangan suami isteri Anwar dan Wan Azizah. Orang tidak lihat Wan Azizah sebagai isteri Anwar tetapi orang melihatnya sebagai proksinya.
     
Jika Anwar restu isterinya menggantikannya, ia boleh dikira sebagai amalan pilih keluarga, nepotisma. Nepotisma itu antara yang Anwar tentang dalam gerakan reformasinya.
    
Tetapi tiada yang melihat tindakan Anwar itu suatu yang nepotis dan jika ada yang cuba membangkit dia pilih keluarga, nampaknya tidak laku. Nepotisma itu biasanya mewarisi yang membawa nikmat, kuasa, kebesaran dan keseronokan.
     
Yang diwarisi oleh isteri dan anak-anak Anwar ialah buruan polis, penjara dan macam-macam kesengsaraan yang tidak banyak orang suka mewarisinya.
    
Orang memberi undi kepada Wan Azizah kerana mereka rasa seperti mengundi Anwar. Sejak tahun 1982 Anwar jaga penduduk di situ dan dia ada di hati mereka. Tidak banyak yang percaya apa yang dikatakan kepada Anwar. Jika beberapa kali lagi selepas ini dia dituduh begitu juga, dipercayai mereka tetap tidak percaya.
     
Ia adalah kelebihan Anwar. Tidak ramai isteri dan anak-anak dapat jadi macam Anwar dan isteri dan anaknya, kesemuanya boleh diterima menggantikan Anwar. Di Pakistan dulu ada sepertinya. Ali Bhutto. Isteri dan anak-anaknya saja yang boleh menggantikan Bhutto. – HARAKAHDAILY 18/5/2015

Share on Myspace