Azeez patutnya ke Nepal

SUBKY LATIF | .

JUSTERU sibuknya dengan tugas sebagai Pengerusi Tabung Haji, maka Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim tidak dapat memberikan khidmat kecemasannya kepada gempa bumi yang melanda Nepal sekarang.
      
Biasanya apabila ada malapetaka seperti itu di mana-mana di dunia, maka Azezlah antara orang awal tiba bagi membantu mangsa bencana itu.
     
Mengikut berita yang lazimnya disiarkan mengenai semua bencana itu, bahawa seolah-olah jadi ketua misi bantuan bencana dari Malaysia dan ketua Kelab Putera Umno seolah-oleh menjadi duta bencana dari Malaysia yang berjaya.
     
Sebagai pemimpin Umno tidaklah dikira sebagai ahli fikir bagi parti itu, bahkan bukan juga sebagai ahli strategik atau pemimpin kemasyarakatan yang menonjol. Akan tetapi dia lebih membawa imej hulubalang atau gurkha, dan jika dalam era Pemuda Umno Tahan Lasak sebelum 13 Mei, 1969 dulu kiranya Azeez sudah dewasa ketika itu, dia boleh menjadi panglima hebat kepada kegiatan seperti itu.
      
Sepatutnya sebagai gurkha parti dia patut berada di negara Gurkha yang dilanda gempa bumi yang teruk itu. Nepal bukanlah negara yang sudah terbuka pembangunannya. Banyak tempat yang payah didatangi oleh pembantu kecemasan sama ada dari dalam dan luar negara. Sekalipun bantuan dari luar telah berlambak tiba, yang memerlukan bantuan lambat menerima bantuan justeru sukarnya prasarana untuk tiba bagi mengagihkannya.
      
Kalau orang tahan lazak seperti Azeez ada di situ, banyaklah akalnya unuk menyampaikan bantuan itu.
     
Jika Azeez diberi galakan dan kemudahan menguasai bidang kegiatan seperti itu, nescaya Malaysia dapat melahirkan tenaga handal dalam kerja dan perkhidmatan seperti itu.
     
Sepatutnya PM Najib selepas PRU13 yang dikira berjaya tidak menjadikannya penerusi Tabung Haji yang memerlukan imam korporat dan pakar ekonomi atas kewangan dan pelaburan yang penting itu.
     
Tabung Haji tidak ada di setiap negara Islam bagi menguruskan keperluan haji rakyatnya. Ia adalah model terbaik bagi semua negara Islam. Ia tidak sekadar memikirkan tentang kemudahan menunai haji bagi rakyat, bahkan ia contoh pelaburan dan pelaksanaan perbankan Islam. Kerja seperti ini orang jarang beri kepada panglima.
      
Dalam penyertaan Azeez dalam misi bantuan kecemasan di banyak tempat, dia dilihat telah banyak menjalankan kerja para duta ke negara asing. Dia boleh berinteraksi dengan pemimpin negara tersebut. Negara boleh jadi kasturi dengan kehadirannya. Malah boleh gerhana menteri luar dengan kehadirannya. Negara-negara yang didatanginya ada yang tidak kenal dengan Anifah Aman, Menteri Luar, tapi mereka kenal Azeez.
     
Sepatutnya dia boleh ditempatkan di satu bahagian dalam Wisma Putra dan menjalankan kerja kecemasan dan diplomasi. Apabila ada bencana alam teruk dia boleh memikir dan menyelaraskan bantuan sukarelawan yang negara kerap adakan. Dia boleh fikir dan sediakan segala keperluan bantuan yang hendak dikirim.
     
Bagi mendirikan rumah, orang kirim tukang atau arkitek, bukan tukang masak atau jurukira. Guru matematik tidak dihantar memberi kuliah maghrib di surau. Jika dia disuruh mengajar di surau, macam mengharapkan tikus membaiki labu.
     
Jika Azeez dihantar ke Kathmandu semuanya dipercayai baik dan beres. Apabila dia dihantar ke Tabung Haji, gempa bumilah Tabung Haji. Itu yang semua rasa apabila dihantar ke situ. Yang orang rasa itu nampaknya betul. – HARAKAHDAILY 20/5/2015

Share on Myspace