Syarat Najib berundur

SUBKY LATIF | .

DALAM mesej yang disampai dari Tawau, Sabah yang ramai keturunan Bugis, suku nenek moyang Perdana Menteri Najib, dia  tidak tunduk atas desakan berundur kecuali rakyat dan partinya Umno menolaknya.
     
Mesej itu menjawab saranan Tun Dr. Mahathir yang menasihatkannya berundur bagi memastikan Umno dan Barisan Nasional tidak dikalahkan dalam PRU akan datang.
     
Populariti PM Najib dalam masa beberapa tahun 2015 ini dirasakan amat rendah baik dalam kalangan rakyat dan kalangan  partinya sendiri – Umno. Kedudukannya sebagai pimpinan negara mulai banyak dibincangkan terutama setelah adanya cabaran daripada Dr. Mahathir.
     
Selepas menyampaiken mesej itu Najib segera mendapatkan sokongan Majlis Tertinggi. Mungkin ia pertama kali dia minta mandat dan kepercayaan majlis itu.
     
Apa perlunya mesej itu dibuat masa ini? Mungkin krisis kepercayaan seperti sekarang tidak pernah dihadapinya sebelum ini.
     
Ia adalah usaha Najib bagi memastikan Umno tidak mengubah kesetiaan kepadanya. Partinya saja tempatnya bergantung sekarang.
     
Ada pun rakyat yang Najib cuba jadikan tempat bersandar tidak dijamin memberi penuh sokongan seperti yang diharapkannya. Adakah dia benar percaya rakyat bersamanya apabila dia menyebut dia tidak akan berundur kiranya rakyat tidak menunjukkan isyarat tidak mahu lagi kepadanya.
     
Apabila dia terang-terang menyebut dia tidak berundur jika rakyat tidak mintanya berundur, adakah dia yakin  rakyat bersamanya sekarang?
    
Apa kayu ukur rakyat bersamanya?
    
PRU13, pada Mei 2013 dulu parti pimpinan Najib tidak dapat undi popular. Ia dapat kurang daripada 48 peratus. Ia kembali berkuasa bukan kerana ia dapat majoriti rakyat dalam pilihan raya umum, tetapi sekadar daripada undi minoriti itu ia bernasib baik dapat lebih kerusi.
    
Inilah bukti yang Mahathir pegang bahawa Najib sudah kalah dalam PRU lalu. Dua tahun dulu Najib sudah ditolak rakyat. Prestasi dalam PRU itu lebih buruk daripada prestasi Tun Abdullah Badawi dapat ketika PRU 2008.
     
Berdasarkan keputusan PRU13 itu jelas Najib sudah tidak disokong oleh rakyat. Sejak itu dia bergantung kepada sokongan Umno saja. Sokongan Umno tidaklah sesakti sokongan rakyat. Yang keramat dalam demokrasi ialah sokongan rakyat.
    
Satu daripada syarat yang Najib harapkan iaitu rakyat sudah terlepas daripadanya. Harapannya daripada rakyat kena tunggu dua tahun lagi apakah dia akan dapat undi popular semula? Dr. Mahathir agak bimbang dengan segala kepincangan yang Najib lakukan sejak PRU 13 memang menjolok mata, tidak diyakinkan dia dapat undi popular di tengah prestasi pimpinannya yang bertambah pincang.
     
Ada pun sokongan Umno terhadapnya tidaklah dapat dikira sama seperti yang ada padanya ketika dia mengambil alih kuasa dari Tun Abdullah dulu.
      
Hari ini sekalian Umno yang berjawatan tidak menyatakan sikap yang jujur kepada Najib. Mereka tidak setumpat ketika Najib mula jadi Presiden dulu.
     
Banyak desas-desus mengira Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tawar hati dengan keadaan yang ada.  Selepas mesejnya di Tawau itu, Najib bersungguh mengatakan dia amat yakin kepada sokongan timbalannya. Mengapa kenyataan itu dibuat? Apakah selama ini Muhyiddin tidak tumpat bersamanya?
     
Dia berjanji akan membuat banyak perbincangan dan memberi keyakinan kepada timbalannya lagi. Apa perlunya diberitahu orang ramai dia akan lebih kerap berbincang dengan timbalannya? Ia adalah satu usaha bagi memastikan sokongan Umno terhadapnya diteruskan setelah dia tahu masa ini dia memerintah tanpa undi popular rakyat. Dia sudah jadi buah ranum, dijolok atau tidak dijolok ia akan gugur jua. – HARAKAHDAILY 21/5/2015

Share on Myspace