Mesir jadi Congo mula merdeka dulu

SUBKY LATIF | .

MESIR sebagai lembah tamadun awal dunia - pra Islam dan pasca Islam – adalah tempat tumpuan manusia umumnya belajar hidup, belajar berdikari dan belajar.
      
Ketika dunia luar putus bahan makanan pada zaman Nabi Yusuf a.s., Mesirlah tempat orang mendapat bekalan. Ketika dunia buta huruf dan pengetahuan belum terbuka, Mesir tempat belajar justeru ia sudah ada Universiti Azhar sedang Eropah masih separuh telanjang. Ketika dunia masih terbelenggu dengan selaput penjajahan, Mesir di bawah Nasser muncul sebagai sumber berdikari orang baru belajar merdeka dan berdikari.
      
Hampir 60 tahun dulu Congo merdeka daripada Balgium. Ia dapat kemerdekaan yang tidak merdeka. Satu wilayah pentingnya Katanga, kaya logam, memberontak dipimpin Moise Tshombe yang ditaja bekas penjajahan Balgium dan sekutu baratnya.
     
Presidennya Joseph Kasa-Vubu orang lurus tidak mahir politik. Perdana Menteri Congo Patrice Lumumba. Lumumbalah sasaran Tshombe dan Balgium. Tentera nasional Congo tiada jeneral. Anak watan paling kanan ialah Koperal Mobutu Sese Seko. Negara itu berperang saudara. PM Lumumba, pimpinan rakyat mengangkat Koperal Mobutu jadi Jeneral Mobutu diberi kuasa mematahkan pemberontak yang mahu memisahkan Katanga daripada Congo.
     
Setuausaha Agung PBB, Dag Hammarskjold menghantar tentera PBB bagi menyelamatkan Congo dan membantu Lumumba. Pemimpin rakyat yang sah itu dikhianati oleh Kasa-Vubu dan Jeneral Mobutu bersekongkol dengan Tshombe. Mereka tangkap PM Lumumba dan diserahkan kapada Tshombe dan dibunuh. Kapal terbang yang membawa Dag Hammarskjold dibedil di Congo. Dia mati. Jeneral Mobutu akhirnya menggulingkan Kasa-Vubu, menjadi diktator.

Dunia pilu dengan pembunuhan Lumumba, Mesir mengambil tanggungjawab menyelamatkan balu dan anak-anak Lumumba dan memberi mereka perlindungan di Mesir. Mesir dipuji kerana peranannya.
     
Sekarang Mesir pula masuk ke alam yang Congo lalui 60 tahun dulu. Rakyat telah berjaya membebaskan Mesir daripada belenggu diktator Hosni Mubarak. Rakyat Mesir yang dipenjara Mubarak termasuk Mohammed Mursi memecah tembok lari dari penjara.
    
Mesir masuk alam demokrasi, pertama kali sejak Raja Farouk dibuang memilih Mursi sebagai Presiden. Mursi mengangkat Jeneral yang tidak kanan sangat jadi Menteri Pertahanan. Dia jadi orang kuat Mesir seperti Jeneral Mobutu di Congo.
     
Mobutu mengkianati Lumumba, Jeneral Abdul Fatah al-Sisi pula mengkhianati Presiden Mursi. Mobutu bersekongkol dengan Tshombe menangkap dan membunuh PM Lumumba, al-Sisi bersekongkol dengan saki baki daki Hosni Mubarak.
     
Sekarang al-Sisi betul-betul jadi macam petualang politik Congo dulu memutuskan hukuman mati kepada Dr. Mursi. Ia menjadi mahkamah Mesir yang sepatutnya lebih maju daripada Congo dan lain-lain negara Afrika sekarang tetapi ia seperti 60 tahun ke belakang.
     
Rakyat Mesir mengambil masa 60 tahun lebih bagi membebaskan diri daripada belenggu kekejaman regim tentera Mesir. Banyak tamadun Mesir termasuk kecemerlangan pusat pengajiannya juga separuh musnah di bawah sistem kuku besi tentera Mesir.
     
Sepas 60 tahun dibelanggu, baru Mesir bebas daripada Mubarak. Tidak sampai dua tahun bebas, kebebasan itu dirampas balik. Selepas separuh abad ia tertinggi dan apabila Mesir kembali semula kepada pentadbiran rimba, Mesir mungkin akan tertinggal 100 tahun di belakang Congo.
    
Mesir bukan lagi jadi lembah manusia mencari sumber kemajuan dan tamadun. Ia bukan lagi tempat belajar orang-orang yang hendak belajar. – HARAKAHDAILY 24/5/2015

Share on Myspace