Pertandingan lebih pada timbalan

SUBKY LATIF | .

RATA-rata orang memerhatikan pemilihan pimpinan PAS Jun ini pada pertandingan presidennya justeru ada cabaran buat pertama kali.
     
Tetapi pertandingan sebenarnya dan sepatutnya diperhatikan ialah timbalan presidennya terutama antara penyandang Haji Mohamad Sabu dan pencabar Tuan Ibrahim Tuan Man. Mat Sabu adalah orang jutaan ringgit bagi PAS, manakala Tuan Ibrahim berada di depan dalam pencalonan oleh kawasan-kawasan.
     
Pertandingan timbalan itu kali ini boleh dikira isyarat pada pimpinan masa depan PAS. Faktor usia dan kesihatan presidennya TG Haji Abdul Hadi Awang menjadikan semua pihak di dunia – dalaman dan luar negari – memberi perhatian kepada calon-calon timbalan presiden itu.
     
PAS sebagai satu-satunya parti Islam yang stabil dan tersohor di Asia Tenggara adalah menarik perhatian semua – Pantagon, Tel Aviv, China dan terutama Singapura.
      
Pertandingan presiden tidak dikira susah kerana TG Haji Hadi dilihat sebagai Muhammad Ali di gelanggang tinju berdepan peninju bukan pilihan. Orang masuk membeli tiket bukan untuk melihat pertandingan presiden tetapi hendak melihat perlawanan timbalan presiden.
     
Sekalipun ada calon lain tetapi pertandingan sebenar adalah antara dua yang utama itu.
     
Saya tidak bercadang dan tidak pernah mempromosikan Tuan Ibrahim, dia telah membina kedudukan tanpa memburu jawatan itu, tetapi dari segi pencalonan dia telah memintas lawannya. Tetapi Mat Sabu adalah calon popular yang diharapkan oleh banyak pihak untuk perubahan. Tuan Ibrahim tidak dilihat bercakap tentang perubahan dan tidak bercadang untuk mengalih arah tuju PAS, cuma mahu membantu memperkukuhkan apa yang sudah dalam parti, meneruskan tafsir kepimpinan ulama seperti yang difikirkan oleh pimpimanan ulama sejak konsep itu dicetuskan tahun 1982 dulu.
     
Mat Sabu adalah penglima dan pendekar PAS yang keluar masuk ISA, jadi seperti Khalid Ibni Walid dan Saidina Hamzah Abdul Mutalib di medan tempur. Jika mati dalam tempur itu mungkin boleh dinobatkan sebagai penghulu orang syahid Melayu. Kalau PAS mahu satu lagi Panglima Jihad selepas Hassan Adli, Mat Sabu calon terbaik.
     
Tuan Ibrahim ada ilmu tapi tidaklah alim sangat seperti Haji Yusuf Rawa, Ustaz Fadzil Noor, TG Nik Abdil Aziz dan TG Haji Hadi. Jika orang PAS selepas ini mahu jenazah diimamkan dan ditalkinkan oleh pemimpin PAS, orang suka dia menyempurnakannya. Bukan Mat Sabu tak boleh tapi orang suka biar Tuan Ibrahim buat kerja itu.
     
Kehebatan politiknya mungkin tidak sepintar Husam Musa dan Mustafa Ali, tetapi mengikut ukuran Sir Winston Churchil, kelayakan politik seseorang ialah apabila dia bercakap, orang dengar. Ceramah Tuan Ibrahim orang suka dengar. Kalau bagi kuliah orang tak faham, orang ngantuk dan tak berminat, untuk jadi ketua cawangan pun kurang sesuai.
     
Sebelum akif dalam PAS dia sudah jadi Datuk. Apa kelebihannya. Agaknya Sultan Pahang pun minat dengan ceramahnya. Jika cakap Sir Winston dijadikan ukuran, Tuan Ibrahim ada kelayakan. Tetapi Mat  Sabu pun diminat ramai. Pemuda India dan belia Cina yang tidak faham sangat dengan perjuangan PAS, tak bergerak mendengar ceramah Mat Sabu.     
    
Tuan Ibrahim adalah ulama lulus UKM saja, tetapi lebainya belum tentu kurang daripada orang lulusan Mesir. Seperti Almarhum Datuk Haji Ibrahim Said bekas Mufti Sabah dan Imam Masjid Negara. Dia memondok di Semenanjung dan di Jambi saja. Tetapi dia boleh betul baris dan nahu lepasan Azhar dan Mekah.
      
TG Haji Hadi sudah berusia dan selalu ada gangguan kesihatan. Pencabarnya pula lebih tua daripadanya dan dipercayai ada masalah kesihatan juga. Maka, masa depan PAS bergantung pada pemilihan timbalan presiden, antara Mat Sabu dan Tuan Ibrahim. Siapa yang Allah pilih antara keduanya? – HARAKAHDAILY 26/5/2015

Share on Myspace