Altantuya: Dolah Badawi bukan hujah

SUBKY LATIF | .

BETAPA Tun Abdullah Badawi dikatakan berkata bahawa PM Najib tidak bersalah dalam kes Altantuya, bukanlah hujah yang dapat membebaskan Perdana Menterinya. Ia tidak lebih dari satu dalih.
     
Apa kedudukan bekas Perdana Menteri itu dalam penyiasatan dan perbicaraan kes nyonya Mongolia yang didapati terbunuh dan mayatnya diletupkan?
     
Dia bukan hakim yang membicarakannya dan bukan juga seorang saksi yang dipanggil memberi keterangan. Dia tidak didapati ada apa-apa status undang-undang untuk membuat keputusan itu. Apatah lagi beliau bukan ahli dan pengamal undang-undang dan bukan juga diketahui sebagai penganalisis undang-undang.  
     
Maka salah satu daripada sandaran Najib dia tidak bersalah dalam kes itu ialah kerana Tun Abdullah Badawi dikatakan pernah berkata dia tidak bersalah.
     
Sekalipun misalnya Tun Abdullah menjelajah ke seluruh negara setiap hari berceramah mengatakan Najib tidak bersalah, selagi ia tidak dibuat di mahkamah dan tidak diputuskan oleh mahkamah, maka bukan suatu keterangan undang-undang. Sekalipun dia membuat kenyataan bersumpah, pun belum dapat jadi hujah betapa Najib tidak bersalah.
     
Kenyataan bersumpah adalah dokumen undang-undang yang kesahihannya ditentukan juga oleh mahkamah. Bahkan sehingga ini tidak diketahui Tun Abdullah Badawi ada bersumpah sebelum membuat kenyataan itu sama ada di mahkamah atau di masjid dengan memegang al-Quran seperti yang Najib akui melakukannya.
     
Setiap keterangan undang-undang yang direkodkan mesti dibuat di mahkamah di depan hakim selepas mengangkat sumpah. Hanya hakim seingat saya tidak bersumpah sebelum membuat keputusan dan menjatuhkan hukum.
    
Di mahkamah mana dan depan hakim mana Tun Abdullah membuat keterangan itu?
    
Bahkan Ketua Hakim Negara sekalipun, jika membuat kenyataan seperti itu tetapi tidak di mahkamah, tidaklah terpakai sebagai satu keputusan undang-undang.
     
Surat sumpah sekalipun, jika tidak ada cap pesuruh jaya sumpah dan bagi surat perjanjian yang tidak dimatikan setem tidak laku. Apa lagilah kenyataan yang dibuat di hadapan media melalui sesawangnya seperti yang Najib buat atas yang Abdullah dikatakan berkata.
    
Biasanya sesuatu perkara yang dikatakan tidak bersalah atau didapati tidak bersalah mesti berlaku dulu atau ada aduannya dan ada pendengarannya. Yang diadu/dituduh mengaku tidak bersalah, maka hakim mendengarnya, barulah hakim membuat keputusan bersalah atau tidak bersalah. Tiada ada sesuatu yang tidak ada, tiba-tiba dikatakan tidak bersalah.
     
Jika Tun Abdullah berkata Najib tidak bersalah, tentulah dia mendengar dulu keterangan tentang Najib sama ada daripada Najib sendiri atau orang yang tahu tentang Najib atas perkara itu. Maka barulah ada sebab dan musabab Tun Abdullah kata Najib tidak bersalah. Dia dengar dulu Najib terlibat atau tidak, baru ada logik dia memberi pendapat yang Najib tidak terlibat. Tidak mungkin goyang angin tak ada, tiba-tiba dia kata Najib tidak terlibat.
    
Seolah-olah Tun Abdullah telah adakan pendengaran sebelum dia dikatakan berkata seperti yang Najib kata.
    
Dengan adanya Tun Abdullah dikatakan berkata begitu, maka Tun Abdullah selayaknya dipanggil untuk memberi keterangan, apa hujahnya dia berkata begitu. Dia patut jadi saksi penting dan peguam boleh tanya dia macam-macam atas perkara itu. Apabila dia jadi saksi penting, tidak betullah kejaksaan kita jika tidak minta kesaksiannya.
    
Selagi dia siuman, dia layak jadi saksi. Jika kelayakkannya hilang, maka tidak laku lagi Najib menjadikannya hujah. Apabila saksi penting tidak tampil, perbicaraan atas kes itu dulu boleh dikira tempang. Selagi ia tempang, selagi itulah Najib ditakwil. – HARAKAHDAILY 26/5/2015

Share on Myspace