Kabinet DAP jangan jadi kulub besar!

SUBKY LATIF | .

APA yang dikatakaan kabinet DAP yang diumumkan oleh Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng sedikit hari lalu adalah urusan dalaman DAP dan ia bukan satu isu nasional yang patut menggegarkan politik negara.
      
Maka orang di luar politik termasuk sekutu DAP dalam Pakatan Rakyat, apabila mengulasnya, jangan jadi macam Kulub Besar sedang DAP tidak menjadikan dirinya seperti Kulub Kecil apabila mengumumkan apa yang dikatakan Kabinet DAP itu.
      
Ia adalah urusan biasa dalaman bagi mana-mana parti politik dunia yang tidak memerintah, menamakan jurucakapnya atas tiap-tiap kementerian, dan biasanya anggotanya adalah dari anggota Parlimen parti.
      
Bagi mana-mana pati pembangkang akan ada gilirannya menggantikan kerajaan, jurucakap parti itu dinamakan oleh ilmu sains sosial sebagai kabinet bayangan. Setiap anggota jurucakap itu akan menumpu dan membuat kajian atas kementerian yang diuntukkan kepadanya supaya dalam perbahasan dan mengemukakan soalan, ia akan lebih berkesan, mendalam hujahnya dan ia akan menjadikan kerajaan lebih bersedia untuk berdepan di parlimen.
      
Jurucakap itu termasuk tugasnya menyediakan pelan dasar partinya tentang satu-satu kementerian untuk jadi dasar kerajaan menunggu itu.
      
Apa yang dibuat oleh DAP itu tidaklah sama sekali menjadi jurucakap kepada Pakatan Rakyat di Parlimen, kerana Pakatan Rakyat belum sempat memutuskannya. Saya percaya DAP telah mengadakan sistem itu sejak sekian lama kerana ia sudah banyak kali punyai anggota parlimen yang ramai.
     
Saya tidak pasti apakah PAS apabila ia punya 13 MP tahun 1959 mengadakan sistem jurucakap seperti itu. Tetap saya percaya Front Sosialis ada jurucakap itu, kerana Ahmad Boestamam yang jadi Whipnya kali itu banyak menumpukan isu pertahanan.
     
Dan ketika saya ditugaskan menyusun urusan Parlimen MP PAS tahun 1990, maka sistem ini digunakan. Setiap MP ditanggungjawabkan untuk memantau beberapa kementerian dan menyediakan dasar tertentu bagi setiap kementerian supaya boleh dijadikan panduan oleh ahli-ahli yang apabila menyentuh masalah kementerian tertentu.
      
Sistem itu berkesan jika MP itu ada wibawa dan menguasai isu semasa. Parti amat beruntung jika calonnya yang menang itu ada keupayaan. Justeru calon berwibawa tidak menang, yang tidak berwibawa pula menang, tidak banyak PAS dapat dibantu dan membantu rakan yang lain.
      
MP yang ditugaskan memantau kementerian tertentu, tidak bererti tidak boleh menyentuh isu dalam kementerian lain. Sistem itu diadakan supaya MP tertentu dalam menumpukan perhatian pada kementerian yang diserahkan kepadanya.
     
Inilah yang dibuat  oleh DAP yang tidak menyenaraikan orang dari PAS dan PKR dalam kabinetnya. Ia pun tidak menamakan kabinet Pakatan. Ia namakan kabinet DAP kerana ia urusan DAP saja.
   
Orang lain mungkin keliru kerana DAP menggunaka kalimah kabinet, seolah-olah ia saja yang memerintah bersendirian nanti.
     
Rasanya kalau ada unsur Kulub Kecil dalam urusan dalaman DAP itu ialah kerana ia menggunakan kalimah kabinet.
     
Biarlah Kulub Besar saja yang boleh dibuli oleh Kulub Kecil dalam dongeng atau cerita rakyat Melayu. Orang politik yang sudah menempah kedudukan di Putrajaya, tidaklah membiarkan dirinya jadi Kulub Besar berkata begitu dan begini atas kabinet DAP itu. Orang akan tertawakan jika ada yang memilih untuk jadi Kulub Besar. – HARAKAHDAILY 27/5/2015

Share on Myspace