1MDB, Najib belum ulas Muhyiddin

SUBKY LATIF | .

TIDAK kira sama ada TPM Muhyiddin Yassin dibuat secara tertutup atau terbuka, tetapi kemahuannya sudah diketahui betapa dia mahu semua pengarah 1MDB dipecat dan polis mesti menyiasat mereka serta-merta.
     
Ia satu kemahuan yang kuat dari Tan Sri Muhyiddin baik ia dibuat atas kapasiti peribadi atau sebagai pemegang jawatan awam yang tinggi.
     
Ia satu tuntutan kepada PM Najib supaya jangan tunggu lagi laporan Ketua Audit Negara tetapi Najib hendaklah bertindak segara sekalipun Muhyiddin tidak halakan desakannya kepada Najib secara berdepan tetapi apakah ia bukan tuntutan langsung kepadanya?
     
Najib belum ulas tetapi ada desakan supaya dicari orang membocorkan tuntutan Muhyiddin itu kepada umum sedang ia disampaikan Muhyiddin dalam perjumpaan tertutup yang dihadiri sama oleh beberapa orang kanan Umno.
     
Memang takjub bagaimana perjumpaan tertutup TPM boleh dibocorkan. Apakah ia gara-gara helah Muhyiddin sendiri atau memang ramai pemimpin tinggi Umno dan pegawai kanan kerajaan tidak mahu berketuakan Najib lagi?
     
Apapun ia tanda orang sudah suka pada Najib secara terang dan secara tersembunyi. Memang patut disiasat pembocor sesuau yang bersifat tertutup, tetapi jangan polis ulangi apa yang cuba disiasatnya tentang pembocoran pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji. Pengarah TH akui pembelian tanah itu tetapi buat aduan polis supaya cari pembocornya.
    
Polis pun betul bendul mula menyiasat mencari pembocor tanpa menghiraukan pembelian tanah secara senyap satu kecurangan. Kesalahan besar yang kecil dipeduli, kesalahan yang betul-betul besar tidak dipeduli. Apabila orang muntahkan marah cara pembelian tanah itu, polispun tenggelam dalam muntah lahar gunung berapi.
     
Jangan pembocor dua kali dalam sebulan tetapi yang penting ialah Najib mesti jelas apa yang Muhyiddin kata baik ia peribadi atau tidak, dan orang ramai termasuk Umno jangan berkecuali lagi atas isu yang Muhyiddin letupkan itu. Orang lain sudah letup dulu, tetapi apabila Muhyidin juga letup, retak sudah menunggu belah.
      
Najib boleh pergi jumpa puluh ribu orang setiap tempat di seluruh negara mengadu Mahahir hendak buang dia, tetapi dia kena bagitahu semua Muhyiddin paksa dia buang semua pengarah 1MDB. Patutkah atau tak patutkah Muhyiddin buat begitu?
     
Apakah yang Muhyiddin buat itu macam yang kedua-duanya buat kepada PM Abdullah Badawi dulu? Semua orang Umno dulu kata, patut mereka buat begitu pada Pak Lah. Dan apakah sekarang orang juga kata patut Najib dibuat begitu oleh Muhyiddin?
     
Muhyiddin mungkin tidak subahat dengan Mahathir tetapi Muhyiddin sudah tunjukkan dia tidak subahat dengan Najib, sedang ramai Umno bermuka-muka tunjuk subahat pada Najib. Apa Muhyiddin buat itu ialah dia tidak mahu pikul dosa Najib dan apakah Umno secara membuta tuli hendak pikul dosa Najib?
      
Muhyidin tidak suruh Najib berundur. Dia cuma suruh pecat sekalian pengarah 1MDB. Adik Najib pun kata pengarah 1MDB buat tidak betul Umno saja hendak tutup sikap Najib yang tidak betul itu.
      
Cuma Muhyiddin sehari selepas video itu bocor berdalih ia pandangan peribadinya. Diharapkan Muhyiddin jangan jadi baling batu sembunyi tangan. Jika dia tidak boleh bantu Najib pecat semua pengarah itu, nanti Muhyidin akan dihanyutkan sama oleh ledakan lahar gunung berapi yang akan  muntah bila-bila masa. – HARAKAHDAILY 28/5/2015

Share on Myspace