DAP kata hudud hanya politik, bukan agama

SUBKY LATIF | .

ROMBONGAN DAP pimpinan Lim Kit Siang mengembara ke Timur Tengah dan singgah di beberapa kota negara Islam sambil meninjau politik hudud.
     
Dari tinjauan ringkas dan pengembaraan singkat itu ia dapati kononnya hudud yang PAS utarakan itu bukan justeru tuntutan agama bahkan politik.
     
Tidak diketahui sarjana mana yang ditemui dan ulama mana yang dirujuk kerana di Mesir dan Jordan sekarang ini adalah sarang Yahudi dan orientalis. Mungkin lebih ramai orientalis di Kaherah dan Amman daripada di Tel Aviv.
      
Jika Kit Siang hendak mengetahui hudud yang hakiki, dia tidak perlu pergi dua tiga hari ke sana, memadai mengkajinya di dalam negeri kerana hampir di semua universiti terdapat sarjana Islam.
     
Orang belajar bertahun-tahun di al-Azhar dan Madinah pun balik ada yang tidak beriman dengan hudud, apa lagilah singgah dua tiga hari.
    
Pujangga Islam Asia Tenggara yang masyhur dua abad lalu Hamzah Fansuri bermadah, dia mengembara ke Baitullah untuk bertemu Allah, tetapi jumpa dalam kelambu di kampungnya. Ia adalah menggambarkan mengaji tentang Islam tidak semestinya ke Mekah dan Mesir, di negeri sendiri pun cukup.
     
Kit Siang ke Timur Tengah tidak mengosongkan kepala dan hatinya seperti Salman Parsi yang menggembara ke Mekah/Madinah untuk mencari Islam daripada Rasulullah. Sebelum Kit Siang ke Mesir dan jordan, dia sudah ada persepsi tentang hudud. Dia tidak jumpa apa-apa di sana melainkan mengesahkan persepsinya.
     
Salman Parsi mengosongkan kepalanya dulu. Apabila dia berjumpa Rasulullah dia jumpa apa yang dicarinya iaitu Allah dan Islam.
     
Dengan beberapa malam di Mesir dan Jordan itu dia pun balik dan membawa pulang hudud yang PAS utara lama sebelum penubuhan DAP itu adalah politik, bukan tentutan agama.
    
Jika Kit Siang yang mengaku tidak anti Islam, tidak membuat apa-apa pendirian tentang Islam termasuk hudud, apabila berkawan dengan PAS dan menerima Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang dan jurucakap Pakatan, memberi masa mendekati Islam dan mengkaji hudud dengan pimpinan PAS dan lain sarjana Islam, nescaya ia dapat apa yang dicarinya.
     
Tetapi pengembara ke Asia barat itu adalah untuk menghalalkan cara. Ia tidak dapat suatu yang baru tetapi terbelenggu sebagai seorang dulu juga.
    
Hudud memang ada dalam Islam. Cuma ada antara orang Islam itu mengaku beriman dengan Allah dan rasul, tidak beriman dengan hudud.

Adakah PAS mengutarakan hudud kerana Islam atau kerana politik?
     
Jawapannya ialah kedua-duanya sekali. Kerana Islam ialah kerana mereka orang Islam. Kerana politik ialah kerana politiknya ialah siasah syariyah, politik tidak terpisah dengan agama. PAS bukan sekular yang memisahkan politik daripada agama, doktrin politik yang dipegang oleh DAP.
    
Jika ia justeru politik, maka sudah lama PAS abaikan hudud kerana majoriti pengundi sebelum merdeka dan selepas merdeka menolak hudud. Memandangkan bukan Islam menolak hudud, PAS patut jadi Umno lupakan hudud. Kerana hudud adalah ajaran Islam, PAS tetap bersamanya sekalipun dari segi poliiknya ia menongkah arus.
     
Apabila berkawaan dengan DAP dan PKR, ia tahu sekutunya itu menentang hudud. Politik yang PAS ambil seperti bunuh diri. Ia diserang oleh semua kawan. Jika sekadar berpolitik, gugur saja hudud, tetapi  gugurlah akidahnya kerana hudud itu kehendak Allah.
     
Jika sekadar politik, Rasulullah SAW terima tawaran musyrikin Quraisy untuk jadi raja. Selepas jadi raja tentu senang Islam dikuat kuasa. Tetapi jadi raja bersyarat menyalahi dakwah. Boleh jadi raja tanpa mengabaikan dakwah. – HARAKAHDAILY 2/6/2015

Share on Myspace