Kerajaan yang patut jadi buah mulut pelancong

SUBKY LATIF | .

ADALAH benar layanan yang baik, harga tidak cekik darah, keindahan alam semula jadi, bebas pencemaran, keharmonian kaum dan lain-lain adalah produk penting bagi pelancongan yang boleh menarik orang datang seperti yang Perdana Menteri Najib kata kepada para promoter pelancongan.
     
Tetapi tidak kurang pentingnya kerajaan yang baik, adil dan pemimpinnya bebas rasuah adalah antara produk pelancong yang perlu ditonjolkan. Ketika menjaja negara kepada orang luar supaya melancong ke sini, PM patut juga masukkan urus tadbir kerajaan yang baik sebagai satu produk utama.
      
Switzerland dan Singapura adalah contoh pentadbiran kerajaan baik dan bebas rasuah, menarik ramai orang datang, bukan sekadar orang banyak duit datang untuk berehat tetap para saudagar dan pemodal juga suka membancuh kekayaannya bagi mendapat pulangan yang baik.
     
Apa lagi kalau pentadbiran kerajaan itu dapat mencapai status yang Khalifah Umar Abdul Aziz laksana seperti yang Ketua Menteri Lim Guan Eng ingin contohi, sudah tentu dunia ingin tengok dan pelajari. Jika Guan Eng dapat ambil model itu untuk Pulau Pinang, nescaya yang ke Malaysia berdahulu-dahulu bertumpu ke Pulau Pinang.
      
Tetapi ada payahnya status dicapai kerana model Umar Abdul Aziz itu memasukkan hudud dalam pekejnya sedang ia dibenci oleh kebanyakan kerajaan.
      
Barakah daripada pelaksanaan pentadbiran Umar Abdul Aziz itu membuka pintu hati orang yang sukakan kebaikan ziarah ke wilayahnya.
     
Meskipun urus tadbir Indonesia ada produk Pulau Balinya dan Mesir yang khemah tari geleknya, menyebabkan berbondong-bondong pelancong ke sana, tetapi ia bukan contoh yang baik betapa kerajaan boleh cincai menguruskan negara.
     
Produk pelancongan seperti itu tidak mengajar orang untuk menjadi baik, tetapi ia menambah rosak sakit sosial pada kebanyakan dunia kapitalis, yang masing-masing mengira pelancongan adalah industri mengaut untung sambil berseronok dan berpelesir. Ke destinasi pelancongan seperti itu tidak akan mengajar manusia jadi baik, tetapi melahir dunia sebagai panggung hiburan.
     
Saya pernah menginap di chalet Langkawi yang diurus oleh Islam. Terpampang iklannya tiada arak di situ. Tidak rugikah dia dan tidak takutkah orang tidak datang ke situ? Jawabnya, ramai Mat Saleh mahu menjauhkan arak, malah ada yang benci. Tetapi jika mereka tengok ada arak, mereka tidak dapat menahan nafsu.
     
Pelancong seperi ini juga ramai di dunia. Tapak merosakkan akhlak memang banyak di negara mereka. Jika itu yang mereka mahu, memadai mereka jahat di tempat mereka saja. Mereka keluar negara, jenis seperti ini adalah bagi mempelajari sesuatu yang baik untuk kehidupan. Jika Langkawi dan Pulau Tioman diiklankan sebagai kawasan bebas arak dan judi, tahulah Allah membuka pintu hati orang mencari kebaikan datang ke situ.
     
Najib bercakap tentang maqasid syariyah. Apakah produk pelancongan bebas daripada maqasid syariyah? Kita jangan munafik terhadap konsep kebaikan Islam itu. Maqasid itu sebagai satu agenda negara, mestilah memasukkan sama bidang pelancongan. Biar pelancongan ada syiar dakwah.
     
Pelancongan yang ada syiar dakwah adalah datang daripada kerajaan prodakwah dan kerajan yang baik antimaksiat dan antidosa. Jika 10 peratus saja daripada jumlah pelancong di dunia tertarik pada pelancong dakwah, Malaysia tidak cukup tempat dan masa untuk melayannya. – HARAKAHDAILY 4/6/2015

Share on Myspace