Penyiasat setuju fail Altantuya dibuka semula

SUBKY LATIF | .

TAN Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara sebaik nyonya Altantuya Shaariibuu dibunuh tahun 2006, jadi ketua penyiasat polis atas kejadian itu – dibunuh dan mayatnya diletup.
     
Tidak pula disebutnya bahawa penyisatannya dulu sempurna, tetapi dia setuju fail si Altantuya itu boleh dibuka semula disebabkan ada tuntutan sedemikian kerana antara yang mahu dipastikan ialah siapa suruh pembunuh bunuh seperti yang disuarakan oleh Tun Dr. Mahathir.
      
Orang suruh ia disiasat semula memang ramai tetapi tiada siapa yang peduli. Cuma orang tak mungkin senang pejam mata apabila Mahathir yang tidak puas hati apabila timbul persoalan, orang yang dikatakan menyuruh bunuh tidak disiasat dulu dan belum pula disiasat sekarang.
       
Penyiasatan Musa dulu berpuas hati mendakwa dua pembunuh yang sudah disabitkan bersalah dan seorang lagi, Abdul Razak Baginda yang dibebaskan oleh mahkamah. Tiada disebutkan tentang siapa  yang menyuruh keduanya melakukan jenayah itu.
      
Adakah penyiasatan dulu sekadar hendak memastikan pembunuhnya saja dan tidak mengambil kira mengapa dia dibunuh?
     
Maka penyiasatan Musa Hasan dulu tidak sampai ke peringkat adanya sesiapa yang menyuruh mereka membunuh. Bukan saja ia berkemungkinan tidak dibangkit semasa penyiasatan, malah tidak dibangkit atau diambil kira semasa sepanjang perbicaraan.
       
Sepatutnya penyiasatan dulu mestilah sampai kepada kemungkinan bukanlah sekadar yang sudah didapati bersalah itu melakukan jenayah itu ada kehendak mereka saja tetapi patut ada rasa ingin tahu apa yang mendorongkan mereka melakukan pembunuhan itu.
      
Bagaimana orang-orang yang terlatih dalam kerja penyiasatan boleh terlepas pandang atas ada lagi orang lain yang terlibat?
     
Pabila Sirul yang disabitkan itu yang terlepas dari negara ini mendakwa dia membunuh atas suruhan orang lain dan tiada pula disebutkannya siapa penyuruh itu, maka terdedah betapa penyiasatan Musa dulu berkemungkinan tidak lengkap.
      
Sepatutnya polis yang berkuasa sekarang patut mengambil berat tentang dakwaan Sirul itu. Untung ada orang tua yang berani, Dr. Mahathir mengambil berat tentang keterangan Sirul, bertanya apa yang dibuat tentangnya?
     
Dia mahu perkara itu dijelaskan. Polis ada menyebut bahawa pihaknya telah mengambil berat.  Sekadar berkata mengambil berat tidak cukup, tetapi mesti ambil berat itu ada hasilnya. Adakah dakwa Sirul itu tidak berasas atau sebaliknya. Jika tidak berasas apa hujahnya. Jangan ambil berat itu berakhir dengan diam saja.
     
Musa juga yang memberi pandangan, fail mengenai Altantuya itu dihidupkan semula tidak sekadar terhenti dengan sekadar berkata demikian. Jika dia secara suka hati menyentuh perkara itu dalam sesawangnya, maka dia juga patut jelaskan mengapa isu yang berbangkit itu tidak dibangkitkan dulu?
     
Untuk kata orang terlatih dan berpengalaman seperti Musa terlepas pandangan atas perkara itu payah diterima. Musa mesti juga secara suka hati menjelaskan mengapa dia tidak bangkitkan hal itu dulu.
     
Mungkin ada dibangkitkan. Ia dikira lebih berkemungkinan memang ada dan mereka terlatih di bidangnya dan payah difikirkan mereka membangkitkannya. Jika tidak membangkitkannya mengapa? Dan kalau  pernah membangkitnya, mengapa pula seperti tidak membangkitkannya.
      
Dengan perkembangan yang terbaru, ada kepercayaan, penyiasatan Musa itu ada kekurangan. Musa boleh jelaskan dan kes ini tidaklah boleh didiam juga setelah Musa kata, ia boleh dibincang terus.
      
Pembunuhan Altantuya, dengan ini belum dikira selesai. Dan Dr. Mahathir tidak sekadar berpuas hati dengan menimbulkan keraguan tentang perkara itu, tetapi patut pastikan ada tindakan susulan atas hal itu. – HARAKAHDAILY 9/6/2015

Share on Myspace