Proulama semua menang

SUBKY LATIF | .

SEBAGAI yang diduga mana-mana yang mentakwil kepimpinan ulama khususnya pimpinan Presidennya PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang tidak akan menang dalam pemilihan pimpinan PAS di Muktamar 61-nya. Yang sedia ada dalam pimpinan akan  gugur dan yang menyertai pertandingan tidak akan berjaya.
      
Kemungkinan itu dikongsi oleh penyokong tegar terhadap gerakan yang mengaku mahukan perubahan. Yang memasyghulkan dia ialah ia akan merangkum sama Salahuddin Ayub, Naib Presiden yang dirasakan sebagai bintang parti itu yang disenangi oleh semua. Tetapi itulah akibat mencetuskan mahu mengubah pimpinan TG Haji Hadi dan menolak konsep kepimpinan yang mahukan ia merangkumi Presiden dan Timbalan Presiden mesti ulama.
      
Gara-gara melayan tuntutan itu, maka natijahnya akan tempias kepada sekalian yang tiada didikan formal pengajian Islam termasuklah yang dikelaskan bintang. Itulah risiko yang terpaksa dilalui. Memanaskan perbezaan itu telah meletakkan PAS seolah-olah tidak boleh menerima pejuang Islam yang tidak ulama. Itu malang yang PAS Terima.
      
Akan tetapi saya tidak menduga kemungkinan itu melanda Muslimat dan Dewan Pemuda sama. Keputusan muktamar itu menakjubkan. Suka atau tidak suka keputusan itu tidak mahu PAS mempertikai ulama sebagai pemimpin. Sekalipun calon yang menentang Presiden adalah seorang ulama, tetapi ia termasuk dalam gelombang mentakwil kepimpinan ulama.
      
Rata-rata puas hati atas keputusan, tetapi ramai juga yang murung. Ia terpaka dilalui justeru perbezaan itu tidak dapat dibendung menjelang Muktamar.
      
Saya ditanya tentang keputusan itu. Jawab saya ialah sesiapa tidak berani menjelaskan sikap atas kewujudan PasMa telah menerima kecederaan. Sekalipun Siti Zailah Yusif, ketua Dewan Muslimat menegaskan bahawa Muslimat bebas daripada gejala PasMa, ia tetap tidak dapat mengelak daripada kecederaan.
      
Seperti yang saya selalu kata, pencabar TG Haji Hadi telah membuka sejarah tetapi sejarah itu berakhir pada hari pemilihan.
     
Ada yang menelefon saya kononnya gelombang itu belum berakhir. Sekalian yang cedera itu akan dianjurkan oleh sekumpulan orang berduit bagi meneruskan gerakan dalam parti baru atau mengambil satu parti yang sudah berdaftar.
      
Jika ini yang berlaku, maka PAS dengan sendirinya terdiri daripada pendukung pimpinan ulama saja dan penajaan parti lain itu saya kira cara Allah hendak mengambil duit orang kaya itu. Adalah lebih baik duit bagi pada saya supaya saya dapat agihkan kepada orang yang memerlukannya. Pernah wujud sebelum ini parti serpihan PAS. Satu daripadanya dipimpin oleh Datuk Asri yang diakui pintar tetapi ia mati sebelum penajanya mati.
      
Saya tertarik dengan nasihat ketua Dewan Muslimat yang baru memegang jawatan itu sekali lagi setelah dikalahkan. Katanya pada pengulungan muktamar agar setiap yang menang dan yang tidak menang, memujuk hati masing-masing supaya bertenang dan bersabar. Mungkin seperti kekalahannya empat tahun lalu.

Apa juga yang berlaku, terimalah sebagai takdir dan izin Allah. Tanpa izin dan takdir Allah tiada terjadi seperti yang terjadi itu. Dengan mengajak diri bersabar dan bertenang dia menjadi ketua Muslimat sekali lagi.
       
Pesannya itu dapat menyejukkan hati. Bagi menghormati pesannya, saya hendak menghadiahkan dia sepasang arnab. Dia boleh menghubungi saya bagi mendapatkan arnab itu. – HARAKAHDAILY 11/6/2015

Share on Myspace