Usul ulama patut ditawakuf dulu

SUBKY LATIF | .

PAGI usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan antara PAS dan DAP, saya dimaklumkan ia diluluskan tanpa bahas. Reaksi saya ialah ia bercanggah dengan saranan ucapan Dasar Presiden betapa PAS kekal dalam Pakatan Rakyat.
     
Saya dimaklumkan bahawa PAS kekal dalam Pakatan, Cuma tiada sebarang hubungan dengan DAP. Cuma saya tidak takwil cara praktikal, duduk dalam Pakatan tetapi tidak berurus dengan salah satu kerabatnya.
     
Saya juga dimaklumkan akan natijah usul itu, bahawa semua ahli PAS mesti melepaskan semua kedudukannya dalam kerajaan Pulau Pinang dan kemudian diikuti oleh Selangor.
      
Saya tidak dapat memberikan reaksi segara kerana terpaksa bergegas ke dewan Muktamar.
       
Sebelum Dewan Ulama membentangkan usul itu, saya dimaklumkan, mungkin ada usul tentang kedudukan dalam Pakatan itu. Reaksi saya ialah ia tidak selari dengan beberapa kenyataan pimpinan PAS bahawa ia kekal dalam Pakatan.
     
Saya maklumkan kepada ulama, keputusan seperti itu hanya boleh dibuat oleh Majlis Syura Ulama. Amalan dalam PAS sejak Majlis Syura dibentuk, setiap hubungan/kerjasama dengan  parti lain hanya dibuat oleh Majlis Syura, dan keputusan untuk menambatkan kerjasama juga mesti ditentukan oleh Majlis Syura.
     
Hubungan dengan Parti Semangat 46, kerjasama dalam Barisan Alternatif/Angkatan Perpaduan Ummah diputuskan oleh Majlis Syura. Saya tidak merujuk pada Perlembagaan PAS. Oleh sebab PAS ramai ahli undang-undang dalam pimpinan tertingginya, saya kira ia praktikal. Tidak pernah peguam-peguam itu mentakwil perkara itu.
     
Apapun ulama telah meluluskan usul itu untuk dibahawa ke Muktamar. Sebelum dibawa ke Muktamar, ia ditentukan dulu oleh jawatankuasa  penapis usul.
      
Jawatankuasa usul telah menyedari usul itu dan ia tahu akan kesannya dan ia memutuskan usul itu tidak dibahas dan sebaliknya diterima tanpa bahas. Ia tidak memberi pandangan kedua atas usul itu, mentawakufnya dulu atau mengambil pandangan semua ahli jawatankuasa yang semuanya ada di Kuala Selangor.
     
Keputusan Dewan Ulama wajar dihormati tetapi mereka boleh diberi pandangan kedua, menangguhkan pembentangan pada muktamar itu, justeru kesannya besar, patut Jawatankuasa Pusat mengadakan mesyuarat tergempar malam itu sekali pun larut malam.
     
Peguam Asmuni Awi, masih Bendahari lagi boleh diminta nasihat guamannya, apakah betul caranya ditujukan kepada Majlis Syura saja atau apa nasihat undang-undang yang terbaik. Asmuni masih di Kuala Selangor lagi.
      
Ada masa untuk menasihatkan apa yang patut dibuat atas usul itu.
      
Mungkin ulama tidak berpandangan jauh, tetapi ia tentu boleh menerima nasihat yang baik.
     
Perwakilan ada mentakwil usul itu diterima tanpa bahas. Jika ada yang boleh memberi pandangan yang tepat pada masa itu, usul itu boleh tidak diteruskan.
     
Apakah usul itu wajar diketengahkan juga hari itu atau ia patut ditawakuf, tetapi yang jelas tiada percubaan untuk tidak meluluskannya hari itu. – HARAKAHDAILY 16/6/2015

Share on Myspace