Memang PAS bukan agama

SUBKY LATIF | .

DARIHAL seorang ADUN Selangor yang saya tidak kisah partinya berkata betapa PAS bukan agama seperti Islam, bahkan sebuah parti politik.
     
Memanglah PAS sebuah parti politik. Tiada pemimpin PAS mengata ia agama atau ia addin, kecualilah ahlinya yang mustakjilun. Orang mustakjilun tidak dikira jurucakap kumpulannya.
     
Akan tetapi PAS adalah parti siasah yang oleh ulama terkemudian menamakannya siyasah syariyah, yang berpolitik mengikut jalur Islam. Ulama yang demikian adalah ulama haraki – gerakan Islam. Ulama yang tidak haraki seperti Abu Zar. Rasulullah SAW dan khalifah tidak beri jawatan politik padanya. Ulama politik itu contohnya Saidina Umar al-Khatab, Khalifah Umar Abdul aziz.
      
Ulama yang tidak haraki kata Imam Khomeini ialah ulama haid dan nifas.
     
Ulama haraki mengira gerakan Islam adalah antara jamaah Islam. Hadis yang bersumber daripada Huzaifah al-Yaman bermaksud kira-kira seorang Islam hendak berada dalam jamaah Islam. Jika tiada jamaah Islam dalam masyarakatnya hendaklah dia mencarinya. Jika tidak jumpa, hendak dia membentuknya.
     
Jika tidak ada, membentuknya tidak upaya, maka orang Islam itu lebih baik menggigit perdu kayu, tidak layak sama sekali menyertai jamaah yang tidak beraliran Islam.
     
Maka PAS bukan ganti agama Islam tetapi ia adalah jamaah Islam yang kewujudannya amat dituntut oleh Islam.
     
Maka sebagai jamaah Islam PAS bergerak atas dwi fungsi – politik dan dakwah. Sebagai parti Islam ia hendak mendaulatkan Islam dalam negara dengan melaksanakan aturan dan peraturan serta hukum-hukumnya.
    
Itulah sebabnya ia memandang hudud itu penting dilaksanakan, berbeza dengan politik orang Islam yang mengira hudud ada tak apa, tak ada hudud pun tak apa.
     
Sebagai badan dakwah ia berhasrat memperkenalkan Islam dan menegakkan ajaran pada diri seseorang, pada masyarakat dan bangsa dan pada negara mengikut jalur bukan politik.
     
Sebagai jamaah Islam berjalur politik ia tidak sama dengan parti-parti politik yang lain kerana ia berdakwah di samping berpolitik. Sebagai gerakan dakwah, ia tidak sama degnan badan-badan dakwah yang lain kerana ia berdakwah sambil berpolitik. Parti-parti politik lain tidak berdakwah dan badan-badan dakwah lain tidak berpolitik.
     
Sebagai jamaah Islam, ia tidak membuat syariat baru dan tidak bernabi baru. Ia berpegang kepada mazhab Syafie sambil meraikan fekah mazhab lain daripada ahli sunnah wal jamaah, sama seperti pegangannya dalam kebebasan beragama berpegang teguh kepada Islam sambil mengakui hak agama lain mengamalkan kepercayaannya.
     
Tentang orang PAS yang tidak ikut sangat apa yang partinya anjurkan, sama dengan ramai juga orang Islam yang mengaku nabinya Muhammad tapi tak solat, tak zakat dan tak puasa.
   
Sebagai orang Islam kita ikut apa yang Nabi ajar, buat apa kita ambil dan kira perbuatan orang maksiat sebagai perbuatan Islam. Sebagai orang PAS kita teladanilah orang-orang patuh pada apa yang parti dan ketuanya anjur, buat apa kita ambil tindakan ahli yang mustakjilun sebagai contoh dasar PAS.
     
Akan tetapi apabila menyertai seseorang akan PAS, banyaklah akhlaknya mengikut acuan jamaah dan pimpinannya. Yang mustakjilun adalah minima.
     
Kita akui kerja iblis adalah untuk menyesatkan sekalian anak Adam termasuk yang jadi PAS. Ramai yang tergoda dengannya. Tetapi ramai juga orang yang tidak dapat digodanya. Mengapa kita tidak mahu jadi orang-orang yang tidak terikut dengan godaan iblis? Jadilah seperti orang yang tidak dapat digoda iblis dengan menyertai PAS yang menjadi sebahagian daripada perjuangan Islam dan PAS bukan agama yang lain tetapi jamaah yang tidak terpisah daripada Islam. – HARAKAHDAILY 19/6/2015

Share on Myspace