Ke makam Tok Guru

SUBKY LATIF | .

SUDAH banyak bulan Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia, baru pagi khamis lalu saya sempat menziarahi kuburnya di Pulau Melaka.
     
Tanah perkuburan itu tidak luas dan penghuninya pun tidaklah ramai, anggaran tidak sampai 200.
     
Tiada apa lebihnya tanah perkuburan itu dibandingkan dengan kubur yang lain. Tiada sebuah kubur pun ada tapak binaan sekelilingnya. Jika kita ke tanah perkuburan lain penuh dengan petak binaan indah di atas kubur – dari simen dan batu marmar indah atau sekurang-kurangnya ada hadangan papan yang tidak reput pada kubur masing-masing.
     
Kubur Tok guru seperti lain-lain makam di situ adalah atas tanah biasa dengan tanda batu nisannya hanya terdiri daripada ketul batu bulat sebesar bola yang orang sepak di mana-mana di dunia. Nisan sebelah kakinya batu asli yang kecil sedikit.
     
Lain-lain kubur ada nisan dari batu dan simen yang diukir dengan nama dari tarikh mati masing-masing. Kubur Tok guru hanya daripada batu bulat bujur asli yang belum berusik. Tiada ditulis apa-apa pada batu itu.
     
Amat sederhana dan jika ia terbiar asli seperti itu, 70 atau 80 tahun lagi mungkin tiada siapa tahu ia makam siapa.
     
Justeru kuburnya baru, bagi mengelak orang mengambil tanah perkuburannya bagi kerja-kerja khurafat, maka diserkup kuburnya dengan pagar besi sekitar empat kaki tinggi. Dan kata Nik Abduh, anaknya, ia akan buang sedikit masa lagi setelah dipastikan orang tidak membuat apa-apa karenah.
     
Ia mengingatkan saya pada makam emak dan bapa saya di Kampung Batu 10 Lekir, Sitiawan yang ada nisan batu pejal yang terukir. Tiada binaan penghadang di sekelilingnya.
      
Pesan bapa saya dulu, jangan dibina apa-apa pada kuburnya. Almarhum tidak gemar ada binan pada mana-mana kubur. Biarlah dibiarkan atas tanah rata yang ada batu nisan saja.
     
Padanya ia tidak disuruh sekalipun sebesar mana darjat orang awam itu. Di tanah perkuburan itu padanya semuanya sedarjat tidak kira ningrat, orang bergelar, tok guru besar atau pun tidak.
     
Kami adik-beradik tahu Apak tidak suka ada kuburan yang berbina itu. Kami pun tidak bercadang melanggarnya.
     
Kurang seminggu selepas kematiannya datang imam kampung ke rumah. Dia seorang yang berpengaruh di kampung dan amat mengormati Apak sebagai tok guru di daerah itu. Dia dan orang lain di kampung tahu pesan Apak itu.
     
Dia minta kebenaran kami sekeluarga membenarkan masyarakat kampung membuat binaan di makam Apak sebagai tanda penghomatan orang kampung pada tok guru mereka.
     
Menurutnya, mereka tahu ia tidak disuruh tetapi bagi makam orang dihormati seperti Apak ia tidak mengapa.
    
Mendengar permintaan tok imam itu, Emak dengan spontan kata, ‘Tidak boleh. Dia (Apak) tidak suka dan dia pesan kami jangan buat begitu.’
    
Imam itu cuba yakinkan. ia tidak mengapa. Emak tetap menolak kerana ia adalah pesan Apak. Maka biarkanlah kuburnya seperti kubur orang lain yang tidak terkenal itu. Generasi baru sudah tidak kenal Apak dan tidak ramai lagi orang yang mengetahuinya. Sama seperti kubur Hang tuah, tidak diketahui di mana.
      
Apabila saya tengok makam Tok Guru Nik Aziz, samalah ia dengan makam Apak yang hanya ada batu nisan, agaknya mereka seguru dan sefahaman.
      
Apabila khairat kematian di tempat saya mengeluarkan siaran keliling pihak kubur mewajibkan keluarga si mati menyediakan RM200 bagi bayaran binaan benteng kubur masing-masing, reaksi saya, biarlah kubur kami sekeluarga dikecualikan, biar kosong macam kubur Apak dan kubur TG Nik Aziz. – HARAKAHDAILY 19/6/2015

Share on Myspace