Ganjaran Ramadan lebih dari 1,000 bulan

SUBKY LATIF | .

JANJI ganjaran bagi orang sempurna puasa Ramadannya akan dilimpahi Allah rahmat ke atasnya lebih setara seperti ibadat seribu bulan.
     
Seribu bulan yang dijanjikan untuk satu malam iaitu Lailatul Qadr itu adalah kira-kira 86.6 tahun. Jika tahun itu tahun dunia langkah banyaknya limpahan pahala itu. Jika pahala itu seperti keping emas, penerimanya nescaya tenggelam dalam timbunan emas itu. Jika ia makanan nescaya tak termakan-makan.
     
Jika tahun itu tahun akhirat yang lamanya jauh lebih lama dari tahun dunia. Lagilah banyaknya timbunan pahala itu.
     
Tidak ramai orang yang usianya 86.6 tahun. Kebanyaknya hidup  antara 50 hingga 60 tahun saja. Bagi yang berusia 86 tahun jika penuh ibadatnya adalah sekitar 70 tahun ditolak masa kanak-kanak dan remajanya serta tempoh keuzurannya selepas melebih 70 tahun.
     
Pembahagian masa ibadat sempurna bagi orang awam biasa ialah lapan jam selain dari lapan jam untuk tidur dan lapan jam lagi mencari nafkah.  Dikumpulkan masa solat waib dan sunat, puasa wajib dan sunat, zakat, zikir, umrah dan lain-lain, maka ibadat itu tidak penuh, Masih banyak masa lagi yang tidak diisi dengan ibadat.
     
Tetapi ganjaran Lailatul Qadr itu padat seribu bulan atau 86 tahun. Itu ganjaran satu malam Lailatul Qadr. Jika ditaksirkan pula lain-lain ibadat dalam bulan Ramadan, seperti puasa setiap hari, solat sunat tarawih yang tidak ada dalam bulan lain, pahala berbukanya, pahala sahurnya, zikirnya, membaca al-Quran/tadarusnya, zakat fitrah, qiaamulail, iktikaf di masjid, tidak terhinggalah pahalanya.
   
Ini belum masuk menjamu makan orang yang berpuasa dan segala sedakah kepada fakir miskin dan lain-lain.
    
Apa juga yang dinamakan ibadat, baik ibadat khusus dan segala perbuatan yang baik-baik semua mendapat ganjaran pahala yang banyak, berganda-ganda lebihnya daripada ibadat dalam bulan-bulan yang lain.
    
Mungkin malaikat tahu ganjaran pahala daripada semua ibadat itu kerana mereka yang mencatitnya. Tetapi ganjaran pahala daripada puasa masing-masing tidak diketahui oleh malaikat. Allah sendiri yang menilai pahala puasa itu. Malaikat tidak tahu. Ikut kehendak Allahlah banyak mana ganjaran yang hendak diberi-Nya. Mungkin sebanyak yang diberi untuk sekali Lailatul Qadr atau lebih.
     
Memang pahala ibadat dalam bulan puasa itu berat-berat belaka. Tidak luar biasa kiranya semua menyamai ibadat 1,000 bulan itu.
    
Apa pun dengan limpah kurnia Allah itu adalah melimpah-limpah. Rahmat Allah itu memang banyak.  Jika Allah naikkan pahala Lailatul Qadr itu sampai seribu dan enam ribu bulan, tidak miskin Allah dan tidak luak segala kekayaan-Nya yang maha kaya itu.
    
Itulah pemurahnya Allah mengadakan Ramadan setiap tahun. Tidak lain tujuannya adalah untuk memberi sebanyak-banyak nikmat dan rahmat kepada manusia dan terserah kepada manusia yang berfikiran saja untuk merebutnya atau tidak.
     
Ada pun rahmat Allah untuk bulan Ramadan iatu bukan sekadar hendak memberi sebanyak-banyak pahala kepada hamba-Nya tetapi yang lebih besar dari itu ialah menganugerahkan taqwa kepada semua. Lailatul Qadr dan lain-lain itu adalah rahmat kedua. Rahmat utamanya adalah anugerah taqwa.
     
Pada bulan itu ditawarkan anugerah taqwa itu kepada orang berpuasa bergantung kepada mutu puasanya. Rahmat taqwa itu tidak nampak banyak mana pahalanya. Tapi ganjaran Lailatul Qadr, orang tahu banyak pahalanya iaitu lebih daripada ibadat seribu bulan. Allah tawarkan taqwa kepada orang berpuasa, dan sesiapa mahukan taqwa puasalah dan peliharalah puasanya.
    
Moga-moga Allah jadikan kita penerma tawaran taqwa itu. Amin! – HARAKAHDAILY 20/6/2015

Share on Myspace