PR, tiada banyak yang dapat dibuat

SUBKY LATIF | .

APA yang terjadi pada Pakatan Rakyat – di ambang berakhir – tepat seperti yang diramalkan oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang, dua minggu menjelang Muktamar PAS.
     
Masa itu banyak yang kira Kit Siang gila, kerana PAS selama-lamanya berkata, tidak akan keluar Pakatan Rakyat. Malah ucapan dasar PAS di muktamarnya menyebut akan kekal dalam Pakatan.
     
Bahkan ramalan Kit Siang itu tepat gara-gara usul Muktamar Dewan Ulamak yang sekadar hendak memutuskan hubungan PAS dengan DAP.
     
Sekalipun usul itu buat Muktamar parti masih dalam peringkat teknikal, tetapi ia diambil sebagai penyebab ramalan Kit Siang berlaku.
     
Sama ada kita kata Pakatan Rakyat masih ada atau tidak, ia sudah jadi satu lembaga yang tidak berguna.
     
Saya tidak bercadang menuding mana-mana pihak dalam rencana ini, tetapi sudah tidak banyak yang dapat dibuat bagi menyelamatkan Pakatan Rakyat dalam bentuk kewujudannya selepas PRU 2008.
     
Tiada apa yang dapat dibuat di Pulau Pinang sekalipun Majlis Syura yang bersidang selepas ini mentawakufkan usul tanpa bahas Muktamar itu kerana kerajaan Pulau Pinang telah melaksanakan semangat resolusi itu.
    
Semua kedudukan PAS dalam kerajaan melalui perkara politik berakhir sama ada tindakan mengosongkannya dibuat oleh penjawat berkenaan atau khidmat mereka ditamatkan. Yang tinggal sementara ini ialah perkhidmatan yang dibuat atas nama Yang Dipertuan Agong. Kita akan saksikan perkembangan dalam kedudukan dalam jabatan agama Pulau Pinang yang perlantikannya dari Istana negara itu.
     
Perhatian sekarang tertumpu kepada kerajaan Selangor yang dipimpin oleh PKR. Tidak dapat diagak apakah PAS dan DAP yang secara teknikalnya sudah tiada hubungan dapat diselamatkan. Bolehkah DAP dan PAS yang tiada hubungan boleh berada dalam majlis yan sama seperti PBB yang Malaysia tiada hubungan dengan Israel dapat kedua-duanya jadi  anggota PBB.
     
Atau Singapura yang ada hubungan dengan Israel tidak menjejaskan hubungan dengan Malaysia yang tiada hubungan dengan Israel?
     
Apa jadi dengan kerajaan Selangor kiranya ia tidak memuatkan PAS sama. Kerajaan Selangor masih ada majoriti tanpa PAS tetapi kedudukan kerajaan tidak terjamin tanpa DAP. Kekuatan PAS jadi  lemah disebabkan dua Adunnya dipercayai akan besama PKR.
     
Kedudukan tidak menentu itu mengundang pilihan raya negeri. Itulah pilihan yang ada. Pilihan raya baru dalam krisis politik yang ada tidak menjamin kerajaan dapat mempertahankan kuasa.
    
DAP dan BN mungkin dapat mengekalkan kerusinya, tetapi PAS dan PKR tidak dapat mejamin semua kerusi  yang mereka menang dapat dipertahankan.
    
Semua kerusi PAS adalah dari kawasan Melayu, jika PAS tidak lagi dapat menarik pengundi DAP, maka memberi selesa kepada BN. Dan kebanyakan kerusi PKR adalah dalam kawasan campur. Undi DAP tidak cukup untuk membantu PKR jika PAS tidak membantunya.
     
Mungkin pengundi PAS sedia menyokong calon PKR kerana ia lebih baik daripada memberi keselesaan kepada BN kerana BN pada masa ini bagi pembangkang adalah tidak berguna. Tetapi pengundi Islam atas pagar yang memberi undi kepada Pakatan dulu tidak dijamin justeru wujudnya isu hudud.
    
Jika orang Islam atas pagar itu mahu hudud, Umno akan memainkan isu ia mahu hudud. Ia akan dakwah, daripada mengundi PKR tak mahu hudud, baiklah sokong Umno yang mahu hudud. Betulkah Umno suka hudud tidak diketahui. Tetapi ia gunakan isu itu.
    
PAS tentu tidak suka BN kembali berkusa. Maka dari pilihan raya baru yang risikonya tinggi, baiklah biarkan Azmin terus jadi MB. Jika PAS tidak lagi dengan kerajaan, ia boleh menjamin menyokong kerajaan Azmin daripada mengadakan pilihan raya baharu yang berisiko. – HARAKAHDAILY 23/6/2015

Share on Myspace