Mat Sabu boleh redakan DAP

SUBKY LATIF | .

APAPUN usul Dewan Ulamak yang tidak dibahas Muktamar tetapi diserahkan kepada kebijakan Majlis Syura Ulamak, tentang hubungannya dengan DAP memberi peluang yang baik kepada DAP bagi menyalah PAS mengenai kedudukan Pakatan Rakyat.
       
Mungkin itulah kesempatan yang terbaik baginya untuk membebaskan diri daripada PAS yang dikira masalah baginya sejak lebih  setahun lalu.
       
Tiada apa yang kita dapat kata lagi tentang PAS dan DAP justeru DAP membuat pendirian yang tegas tentang usul itu dan tidak selesa PKR mengambil sikap yang lunak dengan PAS atas kejadian itu.
       
Kiranya ada sedikit ruang dalam hati DAP, mungkin Pakatan Rakyat boleh diselamatkan sekalipun PAS boleh diajak berunding lagi, maka usul memutuskan PAS dengan DAP yang diserahkan muktamadnya pada Majlis Syura, masih memberi ruang bagi menjadikan Pakatan medan penting bagi menggantikan BN dalam PRU 14 nanti.
      
Jika masalah DAP dengan PAS atas keberadaan Presidennya TG Haji Abdul Hadi Awang saja, maka PAS mungkin berguna lagi pada pakatan politik itu. Bukan semua pemimpin itu tidak digemari DAP. Ada tokoh dalam PAS yang dipercayai disenangi oleh DAP dan mereka senang dengan pimpinan DAP.
       
Mohamad Sabu, Salehudin Ayub, Khalid Samad, Dr. Mujahid Yusof, bahkan Mahfuz Omar adalah pemimpin PAS yang dilihat setakat ini digemari oleh pemimpin DAP. Sekalipun dalam muktamar lalu mereka tidak berjaya mempertahankan jawatan mereka, tetapi mereka adalah orang yang masih banyak pengaruh dalam PAS dan masyarakat Malaysia umumnya.
      
Mereka adalah pemimpin yang tidak gembira dengan usul seperti itu dan dalam keadaan apapun bagi mereka DAP  amat diperlukan. Sehingga selepas muktamar dan selepas pimpinan yang menang sudah membentuk pasukan baru, mereka tetap mengira DAP penting dan perlu terus dikawani dalam Pakatan.
     
Mereka mengkritik usul itu dan tidak seronok dengan apa yang terjadi dalam muktamar. Adalah dipercayai jika Pakatan ada ganti bagi ketiadaan PAS, maka DAP suka nama-nama yang disebut tadi adalah dalam sekutu baru itu nanti.
      
Kita yakin mereka dipercayai DAP dan mereka percaya DAP dan saling perlu memerlukan.
      
Dengan hubungan baik malah istimewa, jika DAP masih sedikit ruang tidak menolak PAS sepenuhnya serta merta, maka Mat Sabu dan beberapa rakannya lagi tentu boleh mengendurkan reaksi DAP itu.
      
Mat Sabu adalah dikenali rakan rapat Lim Guan Eng sejak mereka sama mula jadi MP tahun 1990. Mat Sabu dan Khalid Samad akan rakan Lim Kit Siang, Tan Seng Giaw dan Karpal Singh dalam tahanan Operasi Lalang di Kamunting dulu.
      
Jika pandangan positif mereka tentang DAP dan DAP juga mengira meraka positif dalam mengekalkan muafakat, apa juga yang terjadi pada Muktamar, maka keistimewaan yang ada pada mereka boleh dan patut digunakan memujuk DAP tidak terlalu tegas dalam reaksinya, kerana jaminan yang muktamar buat, usul tanpa bahas itu diserahkan pada Majlis Syura menentukannya.
      
Kita suka mengambil semangat yang terbaik, bahawa usul Dewan Ulamak itu belum muktamad. Ketua Dewank Ulama Dr. Mahfudz mengakui kepada Muktamar, jika Majlis Syura menolak usulnya, dia akur.
      
Jika peluang diberi kepada Mat Sabu dan beberapa orang lagi membincangkan isu itu dengan pimpinan tinggi DAP dan DAP patut tidak terus tutup pintu sementara Majlis Syura membuat keputusan, mungkin DAP dapat diredakan. Tetapi kiranya ia dikira satu peluang bagi menamatkan muafakat tiada apa dapat dibuat. – HARAKAHDAILY 24/6/2015

Share on Myspace