Negara sudah ada lanun kelas dunia

SUBKY LATIF | .

BETAPA kapal tangki minyak MT Orkim Harmony dirampas lanun di Laut China Selatan bukanlah satu kebanggaan negara kerana sudah bertaraf dunia.
     
Ia tetap satu kejadian bertaraf dunia tetapi jenayah dan maksiat bertaraf dunia. Maka lanun bertaraf dunia sudah tentu menghadapi tindakan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.
      
Perdana Menteri Najib dalam salah satu perhimpunan Agung Umno pernah menggesa supaya orang lokal berfikiran global dan bertindak selari dengan standard dunia.
     
Maka pada kekecohan kompeni 1MDB kepunyaan kerajaan Malaysia yang menjadikan kegiatan pelaburannya diperingkat dunia, boleh berhutang puluh bilion dan boleh hilang duit banyak bilion, lalu lanun negara juga tidak lagi merompak sampan nelayan kecil di sungai dan di pesisir pantai atau sekadar mat rempit meragut tas tangan wanita atau rantai emasnya, tetapi mereka sudah rampas kapal membawa minyak yang muatan berjuta-juta ringgit.
     
Mereka rampas tangki minyak MT Orkim Harmony yang sedang belayar di tengah laut dalam gelap malam. Tidak sekadar kapal itu mereka tunda hinga ke Teluk Siam di perairan Kampuchea dan Vietnam, bahkan kapal yang sebesar itu mereka tukar cat bahkan dikatakan ditukar nama.
      
Lanun-lanun itu ada kaliber yang tinggi, bukan sekadar dapat merampas kapal, tetapi ada idea bagi mengelirukan masyarakat antara bangsa.
     
Selama ini kita selalu disusahkan oleh mat rempit yang meragut di sana ini. Atau penyangak  amatur menggunakan pistol mainan kanak-kanak ketika menyamun. Ada penyamun itu yang tak berbaloi, rampasannya tak seberapa tetapi mereka dikepung dan ditangkap orang ramai, dipelupuh hingga tinggal nyawa ikan sebelum diserahkan kepada polis.
     
Rampasannya tidak seberapa, tetapi apabila tertangkap risiko hukuman berat. Tidak padan hukum yang dihadapi dengan barang yang dirampas.
     
Pernah juga satu masa dulu kita mendengar perompak antarabangsa dari Indonesia tiba siang dengan kapal terbang, merompak sebelah malam, awal siang esoknya pulang selamat ke Indonesia. Tetapi itu adalah perompak asing, bukan perompak lokal.
     
Dan pernah juga kita mendengar minyak yang dicari gali di tengah laut dirompak suka sama suka di tengah laut. Ada tangki menunggu di tengah laut dan minyak yang sepatutnya di bawa ke pantai, dijual di tengah laut. Minyak mentah dari tangki asal dicurahkan ke tangki yang menunggu tadi.
     
Bukan semua minyak yang digerudi itu dirompak tetapi setengahnya diniaga di tengah jalan.
     
Ketika rencana ini ditulis saya tidak pasti adakah lanun kapal Orkim Harmony itu orang Melayu dan orang Islam. Jika mereka orang Melayu dan Islam, maka mereka sudah mencapai kemajuan otak yang tinggi. Sudah ada orang Melayu yang sudah sepintar itu.
     
Saya mungkin boleh tabik mereka. Orang Malaysia sekarang sudah tidak sekadar merempit dan meragut di lorong-lorong tetapi sudah berupaya melarikan kapal tangki minyak yang muatannya puluhan juta ringgit.
     
Jika mereka tidak dikesan, nescaya lanun itu akan jadi jutawan sekelip mata, hasil rompakannya makan tak habis sepanjang hidup. Sekalipun mereka berdepan dengan risiko yang tinggi, lebih tinggi risikonya, maka lebih tinggi juga hasil dan pulangannya.
      
Sekalipun risikonya mati tertembak semasa melanun atau jika terperangkap mungkin dipenjara puluhan tahun atau sepanjang hidup, tetapi sekiranya rompakannya terselamat, mereka berbaloi hidup seumur hidup.
      
Maka kini lanun kita itu tidak lagi meragut beg tangan yang isinya kadang-kadang dua tiga puluh ringgit saja, tapi jika tertangkap terpenjara dua tiga tahun.
     
Memang kita ada mendengar, ada bapa berkata pada anaknya, jika hendak mencuri jangan curi sekotak rokok, apabila tertangkap memalukan ibu bapa, sebabnya mencuri sekotak rokok. Tidak padan hasil dengan nama busuk yang ditanggung keluarga.
     
Tetapi rompaklah kedai emas atau bank hingga dapat melarikan berkotak-kotak emas atau jutaan duit bank. Kalaupun tertangkap, malu juga keluarga, tetapi malunya berbaloi dengan jumlah rompakan besar, bapa malu kerana anak merompak bank, bukan malu kerana mencuri sekotak rokok.
     
Apapun rompakan mesti dikutuk dan dikeji. Sekalipun sekapal minyak kembali semula kepada tuannya, tapi dosa merompak tetap dicatit. Tetapi negara sudah ada lanun berfikiran tinggi mungkin setinggi fikiran Perdana Menteri. – HARAKAHDAILY 25/6/2015

Share on Myspace