Giliran Mara pula

SUBKY LATIF | .

GARA-gara skandal 1MDB dan Tabung Haji belum reda, sekarang meletup pula pembelian apartmen di kota raya Melbourne, Australia oleh Mara dengan harga yang menjolok mata.
     
Kes itu tidak pecah di negara ini tetapi pecah di Australia dulu. Akhbar The Age melaporkan, sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya terlebih bayar sebanyak Australia Dolar 4.75 juta (atau RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu dalam tahun 2013.
    
Bangunan yang dikenali Dudley International House itu bagi menjadi asrama kepada pelajar Malaysia di sana dibida daripada AD17.8 juta kepada AD22.5 juta atau RM65.3 juta.
    
Memang ia suatu yang menjolok mata, amat asing bagi amalan masyarakat Australia sendiri.
    
Benda yang menjolok mata seperti itu adalah satu skandal juga dalam masa kurang dari dua bulan ini kita dengar satu lagi skandal. Jika ia skandal, maka tepat seperti yang ditunggu oleh sekalian rakyat Malaysia  apa pula skandal baru selepas 1MDB dan Tabung Haji?
     
Yang semua tunggu itu lubuk kewangan mana yang akan menjadi mangsa bagi menampung petaka yang menimpa 1MDB. Mangsa yang ditunggu belum timbul tetapi ada pula mengsa lain yang membariskannya satu skandal iaitu duit Mara.
     
Skandal yang terbaru ini bukan bagi menimbus bala 1MDB kerana ia sudah diserkup lama sebelum pekung 1MDB diketahui. Ertinya Mara sudah sudah tersenarai sebagai satu sasaran rompakan.
     
Cara Mara disembelih kira-kira sama modus operandinya dengan bayaran pembelian kapal selam dari Perancis yang kena terlebih bayar sekitar RM500 juta. Pihak berkuasa Perancis juga mengambil berat atas curang pihaknya tetapi hingga ini skandal kapal selam seolah-olah ditenggelamkan.
      
Reaksi atas pekung di Melbourne itu, Perdana Menteri berjanji hendak menyiasat. Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa yang memegang jawatan selepas skandal itu berlaku, dikatakan menjelaskan bahawa ia diluluskan oleh Perdana Menteri.
     
Perdana yang satu itu juga yang dibabitkan. Beli kapal selam dia disebut, hutang 1MDB namanya dikaitkan dan Tabung Haji beli tanah 1MDB dia juga disebut. Namanya saja ada di mana-mana dalam urus tadbir yang negatif itu.
     
Polis Australia sebaik tahu skandal itu telah membuat serbuan. Polis Malaysia selalu berhati-hati atau tak berhati.
      
Ulas Perdana Menteri atas penjelasan Pengerusi Mara ialah telah diputar belit oleh media. Selalu benar kita mendengar daripadanya segala yang negatif tentangnya, dia kena putar belit oleh media. Apakah dia sentiasa diputar belit dan tiadakah kemungkinan segala yang mengira putar belit itu adalah satu putar belit juga.
     
Kita seolah-olah berada dalam alam putar belit.
    
Seolah-olah apa yang dikatakan pemerintahan transformasi selama lima tahun mungkin boleh bertukar menjadi era pentadbiran dan politik putar belit.
     
Hitler semasa puncak kekuasaannya berkata, segala pembohongan yang terus-menerus diulang, nescaya dipercayai orang. Yang palsu jika terus dimainkan akan diterima benda yang tidak palsu.
    
Jika satu isu dikatakan putar belit, lama-kelamaan orang kira ia betul putar belit. Tetapi kalau apa saja yang meletup dikira putar belit belaka, maka orang akan tanya apa yang tidak putar belit.
     
Skandal Mara ini sedang bergelut antara putar belit dan bukan putar belit. Dapatkah ia terlepas daripada amalan putar belit yang ada di mana-mana? – HARAKAHDAILY 2/7/2015

Share on Myspace