Payah komen Umno kerana PAS krisis

SUBKY LATIF | .

SEPERTI biasa apa jua yang berlaku pada Umno, seperti penangguhan pimpinannya selama 18 bulan, ia wajar dikomen supaya masyarakat umum dapat pandangan pelbagai pihak.
      
Akan tetapi ada teguran supaya saya jangan komen hal ehwal Umno justeru PAS berkrisis, betulkan saja urusan PAS yang saya anggotai itu. Tak usah peduli krisis parti lain.
      
Memang payah memberi pandangan bebas tentang perkembangan Umno sekarang. PAS juga sedang dalam proses keluar daripada krisisnya yang tegang.
     
Diakui bahawa PAS menghadapi krisis terhebat sejak 35 tahun lalu menjelang Muktamarnya sebulan lalu dan kini menghadapi kesan pemilihan pimpinannya oleh muktamarnya. Sepatut ia sudah boleh keluar daripada krisisnya tetapi timbul pula isu baru ada kecenderungan hendak menubuhkan parti Islam baru.
     
Apapun isu besarnya telah selesai iaitu konsep kepimpinan ulama. Ia kembali kepada takrif asal yang dibuat awal tahun 80-an dulu iaitu kepimpinan ulama yang dimaksudkan tidak memadai sekadar Majlis Syura Ulamak tetapi meliputi sekurang-kurangnya Presiden dan Timbalan Presiden adalah ulama.
     
Malah hasil muktamar itu menyelesaikan kebimbangan Almarhum Ustaz Fadzil Noor semasa jadi Presiden dulu tentang kemungkinan konsep itu hendak dirombak. Bahkan yang terjadi sekarang hampir 100 peratus pimpinan adalah proulama.
      
Proulama tidak semestinya ulama tetapi yang tidak ulama itu adalah orang yang kasihkan ulama dan sedia berkawan/berkhidmat dengan ulama. Sekarang sedang hendak keluar daripada krisis itu. Jika terbentuk pula dari rusuknya parti lain, maka luaklah anggotanya yang baru mencapai bilangan kesejuta itu. Tetapi ia akan jadi parti seratus peratus pro ulama apabila yang lainnya berkumpul dalam jamaahnya sendiri.
     
Sekalipun ia berada di tengah krisis tetapi ia tidak menangguhkan pemilihan pimpinannya. Pemilihan itu adalah tuntutan perlembaagaan parti. Setegang mana sekalipun krisisnya tidak sama sekali ia mengabaikan tuntutan perlembagaan.
     
Semua pimpinan ada krisis, tetapi pemilihan diadakan sekalipun antara mereka ramai yang gugur. Meskipun tentangan terhadap TG Haji Hadi datang daripada segenap sudut, tetapi beliau sedia menyerahkan mandat kepada perwakilan baik terpilih semula atau pun tidak.
     
Dia tahu ramai yang tidak sukakannya dan dia juga tahu akan risiko pecah jamaah. Tetapi masing-masing berani menghadapinya, berserah kepada Allah dan memulangkan mandat kepada muktamar membuat ketentuan.
     
Itulah bezanya dengan Umno yang percaya ia penuh krisis dan diramalkan berada diambang perpecahan. Jika pemilihan tidak ditangguhkan, maka besar kemungkinan ia bertukar Presiden. Tidak mustahil pimpinan Najib dicabar dan kemungkinan dia kalah.
     
Apabila ada pemilihan maka ahli-ahli akan membuat pencalonan. Semua akan tahu banyak mana pencalonan untuk Najib dan banyak mana pula kepada yang lain. Tengku Razaleigh akan mencuba lagi. Kita akan tahu pengaruhnya. Mungkin Tan Sri Muhyuddin Yassin tidak akan mencabarnya, tetapi dia tidak menghalang ahli-ahli mencalonkannya.
    
Kemungkinan pencalonnya lebih besar daripada Najib bukanlah suatu yang mustahil. Mungkin Muhyiddin tidak mencabarnya, tetapi jika pencalonannya lebih popular daripada Najib akan tahulah orang akan sokongan yang tinggal padanya.
     
Bagi mengelakkan semua ini, atas nama mengelak perpecahan dan atas nama bagi mengekalkan kuasa dalam PRU sekali lagi, usah diadakan pemilihan tetapi apa jaminan anai-anai yang dalam Umno tidak menjalar ke seluruh tubuh dan apa jaminan yang kuasa dapat dipertahankan jika cacing sudah naik ke mata?
     
Sekalipun PAS berada dalam rumah yang ada masalah, tidaklah jadi pantang bagi orang-orang menegur Umno, sekurang-kurang boleh menyebabkan Umno berhati-hati. – HARAKAHDAILY 3/7/2015

Share on Myspace