Tidak sukar mercun dicegah

SUBKY LATIF | .

AWAL Ramadan ini seorang kanak-kanak cedera tangan gara-gara mercun. Demikianlah setiap bulan Ramadan ada saja kanak-kanak diberitakan cedera bermain mercun sama ada buatan sendiri atau mercun yang dibeli.
      
Jika tiada bulan Ramadan jarang kedengaran kemalangan seperti itu.
      
Mengapa?
      
Bulan Ramadan adalah sebahagian daripada musim perayaan. Biasa selepas berbuka ibu bapa membiarkan anak mereka bermain mercun sebagai meraikan anak-anak yang berpuasa siangnya.
     
Itulah dunia yang kita semua alami semasa dilatih berpuasa dulu. Dan adalah biasa berhampiran setiap surau dan masjid, terutama menjelang akhir Ramadan, solat Tarawih tergganggu dan hilang khusyuk justeru pesta kanak-kanak dan remaja bermain mercun.
      
Bukan perayaan orang Islam saja pesta bermain mercun, Gong Xi Fat Cai dan Deepavali juga pesta main mercun. Pesta ini tidak dapat dihalang.
      
Padahal ada peraturan main mercun itu dilarang, tetapi larangan itu tidak lebih dari satu hiasan dalam undang-undang, tetapi ia tidak pernah jadi satu kerja polis untuk menghalangnya.
     
Apa guna ada undang-undang tetapi ia tidak dipakai? Jadilah seperi Bani Israil, ada hudud dalam Taurat dan Injil, tetapi ia tidak dikuatkuasakan. Ia adalah sebab kaum Bani Israil termasuk ulamanya dikutuk. Jika Bani Israil terkutuk, apakah tidak mungkin ada penganut syariah lain yang menggantung undang-undangnya terlepas daripada kutukan?
     
Kita ada peraturan larangan bermain mercun tetapi tidak dipedulikan. Peraturan itu elok kerana setiap tahun ada saja kanak-kanak Islam cedera, tetapi kerana kejadian tidak sampai satu peratus dari yang tidak cedera, maka ia tidak dipedulikan. Akan tetapi gangguan pencemaran bunyi bagi ibadat tarawih dan beramal malam terutama menjelang Idilfitri tidak pernah masyarakat fikirkan sedang ia adalah gangguan.
      
Ia peraturan yang tidak patut diabaikan. Ia bukan sukar dicegah seperti sukarnya mencegah salah guna dadah. Mungkin kerajaan segan menguatkuasanya kerana bermain mercun seperti kebiasaan bagi masyarakat Cina. Maka mungkin hendak mengelakkan bantahan bagi kaum tertentu mengamal kebebasan biasa.
      
Tiada satu peraturan dan kepercayaan agama yang mengira main mercun itu satu adat yang penting. Jika kita segankan bantahan masyarakat Cina, mengapa Cina yang majoriti  besar di Singapura tidak membantah Lee Kuan Yew melarang pembakaran mercun?
     
Memang pelik Malaysia tidak melarang sesuatu kerana mengira ia budaya bagi kaum tertentu. Ada yang tidak melarang judi kerana ia dikatakan budaya Cina, tetapi rombongan rasmi pertama Amerika ke Beijing kerana formalisasi hubungan diplomatiknya pada zaman Mao Zedong awal tahun 70-an dulu, orang Amerika tak dapat cari daun terup di negeri China. Demikian tegasnya kerajaan China mencegah judi.
      
Mungkin main mercun tidak berat tetapi ia terlarang. Ia boleh dikuatkuasakan. Maka kerajaan boleh mulakan dengan mengenakan tindakan keras kepada pemain mercun dalam bulan puasa dan hari raya Idilfitri. Kemudian tindakan dikenakan pada lain perayaan.
     
Jika dapat ketegasan untuk orang Islam, nescaya tidak dipersoal oleh mana-mana pihak tegasan itu dilaksana kepada semua.
     
Mungkin polis tidak cukup unuk mencegah main mercun di setiap kampung, taman-taman perumahan di kota-kota. Bukankah kita ada rukun tetangga dan lain-lain persatuan komuniti di setiap lokaliti bersama untuk bertindak mencegah dan mengenakan hukuman kepada ibu bapa yang membiar anak main mercun. Setiap ayah/ibu dihukum jika  anaknya cedera.
     
Penjualan dan pengedaran mercun haram. Lesen premis niaga boleh digantung jika menjual mercun.
     
Ia bergantung pada Kementerian Dalam Negeri hendak bertegas atau tidak. Jika yang senang tidak dapat dicegah, yang payah lagi payah. – HARAKAHDAILY 6/7/2015

Share on Myspace