Najib tunggu tindakan politik

SUBKY LATIF | .

GARA-gara siaran The World Street Journal tentang Perdana Menteri Najib memasukkan sekian banyak duit yang dikatakan kepunyaan 1MDB ke dalam akaun bank peribadinya meletakkan perdana menteri berada dalam krisis yang cukup besar.
       
Sama ada laporan akhbar itu tepat atau tidak akan bergantung kepada hasil siastan khas sistem keadilan kita apa kata mahkamah jika perkara itu sampai ke peringkat itu?
      
Akan tetapi penyelesaian muktamadnya terserah kepada tindakan politik. Tindakan undang-undang dipercayai akan mengambil masa yang lama, belum tentu ia dapat diselesaikan sebelum PRU14, sedang negara memerlukan pemerintahan yang stabil dan yang tidak dipersoal oleh semua pihak.
      
Jika mengambil tindakan undang-undang kepada WSJ, ia dipercayai akan melibatkan banyak akhbar lain yang terkemuka di dunia yang boleh dijadikan saksi justeru akhbar-akhbar itu juga menyiarkan skandal 1MDB.
      
Krisis pentadbiran dan kepimpinan Najib bukan sekadar diperkatakan selepas siaran WSJ itu saja, bahkan telah menjadi percakapan umum di mana-mana dalam dan luar negara, bukan sekadar masalah 1MDB saja, bahkan oleh banyak perkara lagi.
      
Politik Najib itu telah lama hangat tetapi pembabitan WSJ menambah hangat lagi dan menambah gawat kepada kerajaan dan negara.
      
Jika Najib dapat menepis semua fitnah yang dihadapinya, ternyatalah dia pemimpin terpintar dalam sebuah negara demokrasi di dunia sepanjang abad ini sehingga ini. Tetapi sekalipun kerajaan dapat dipanjangkan, kerajaan itu adalah paling bergelora dan paling malang ialah rakyat.
      
Bagi mengatasi malang rakyat itu Najib mesti dikenakan tindakan politik. Sekalipun krisis berat ini boleh menukar politik dalam PRU nanti, tetapi banyak masa rugi bagi rakyat justeru tidak berada dalam kerajaan yang stabil.
      
Tindakan politik segera diperlukan, bukan dengan membubarkan Parlimen tetapi dengan Umno mengambil tindakan mengadakan undi tidak percaya kepadanya. Jika Umno itu tahu politik dan betul berkuasa serta memang mengambil berat tentang kesentosaan rakyat, maka Majlis Tertingginya mesti meluluskan undi tidak percaya kepadanya dan kuasa yang ada Majlis Tertinggi itu ia berkuasa menamakan ganti Najib sebagai Perdana Menteri baru.
       
Sebagai sebuah wadah penting politik Umno mesti membuktikan yang berkuasa bukan seorang individu seperti dalam sebuah negara kuku besi tetapi kuasa itu terletak pada kolektif pimpinan pusatnya. Jika Najib bukan diktator seperti Hosni Mubarak, Ghaddafi atau Bashar Assad, dia mesti terbuka kepada pandangan Malis Tertingginya. Jika dia lebih terbuka daripada Dr. Mahathir, dia mesti memberi laluan kepada rakan dalam MT menunjukkan segala kepincangan selama ini dan tidak layak lagi memimpin partinya dan negara.
      
Angota MT Umno mesti terdiri dari orang yang merdeka, bukan hamba seperti menteri yang penjajah tunjuk dulu.
      
Umno yang mengaku demokrasi mesti malu kepada politburo Parti Komunis Soviet di bawah Nikita Khrushchev. Semua ahli politburo itu orang yang diangkatnya. Tetapi apabila dia menunjukkan kurang wibawanya, mereka undi tidak percaya kepadanya dan berakhirlah politik diktator itu.
       
Keburukan Tun Hussein On tidak seburuk keburukan Najib, tetapi Umno bersama Mahathir dapat paksa dia berundur. Apakah beberapa juta ahli Umno boleh dicucuk hidung oleh seorang ketua bernama Najib yang  lebih banyak membawa kerosakan kepada semua.
      
Jika rakyat Malaysia ada wibawa, mereka mesti menentukan nasib Najib, bukan menunggu WSJ
mencari orang terbaik bagi memimpin Malaysia. Dengan suasana yang ada, Najib boleh bertahan lebih lama. Dia mesti pilih pergi sendiri atau disuruh pergi. – HARAKAHDAILY 13/7/2015

Share on Myspace