Larangan bercakap tentang 1MDB

SUBKY LATIF | .

KERAJAAN dikatakan hendak mengadakan larangan kepada orang ramai bercakap tentang 1MDB termasuk melalui media baik maya ataupun tidak.
      
Kita tidak tahu cara mana ia hendak dilaksanakan dan apa hukum jika larangan itu dilanggar.
      
Justeru pentadbiran Najib adakah kerajaan serba mungkin, yang tak masuk akal pun boleh masuk akal.
      
Ada gelinya jika larangan itu hendak diperundangkan. Ia mengingatkan saya kepada sindiran Munsyi Abdullah dalam hikayat pelayarannya ke Terengganu.
     
Semasa di negeri itu dia mendapati terdapat larangan berpayung di hadapan istana. Saya tidak tahu apa hukumnya jika peraturan itu dilanggar. Tetapi siapa yang berjalan di depan istana terpaksalah menguncupkan payungnya.
     
Maka komen Munsyi Abdullah, mengapa tidak diadakan peraturan melarang burung terbang melintasi ruang udara istana. Setakat itu hikayat itu yang saya ingat.
     
Tidaklah payah peraturan itu dilaksanakan. Kuncup saja payung apabila melintasi depan istana.
      
Tetapi masalahnya apakah keperluan payung. Dalam keadaan biasa tidak perlu payung ke mana-mana. Tetapi ia perlu ketika cuaca panas terik dan hujan. Yang berjalan tanpa payung ketika itu terdedah kepada serangan penyakit. Kalau Raja dalam suasana redup pun mesti dipayungi, apa salahnya rakyat berpayung bagi mengelakkan hujan atau panah terik matahari?
     
Tetapi itulah peraturan yang tidak masuk akal.
     
Jika dikuatkuasakan larangan bercakap tentang 1MDB, bagaimana rakyat hendak melepas perasaan mereka? Perkara yang semua rasa patut dicakapkan, jika tidak pecah dimulut nescaya ia pecah di perut. Jika ia pecah di perut masing-masing, nescaya ramailah yang terkena penyakit radang. Radang boleh menyebabkan kena darah tinggi, naik darah atau serangan jantung.
      
Ketika kita hendak mewujudkan masyarakat dinamik dan tahan lasak bagi merancakkan pembangunan, rakyat Malaysia akan jadi masyarakat yang murung.
      
Akan tetapi larangan itu dikatakan terhadap 1MDB saja. Banyak lagi isu yang boleh dicakapkan selain daripada isu 1MDB. Belum ada cadangan untuk melarang bercakap tentag Altantuya, tentang skandal pembelian kapal selam dari Perancis, tentang pembelian bangunan mahal di Melbourne, tentang pembelian jet eksklusif baru.
     
Hal-hal itu saja tidak cukup masa unuk disembangkan dan tidak cukup masa untuk dimuat dalam laman web.
     
Banyak lagi perkara yang orang hendak dengar daripada Dr. Mahahir dan beliau boleh tulis apa saja yang lain tentang kelemahan pemerintahan dan perdana menteri.
    
Yang saya masyghulkan ialah cara mana larangan ia hendak dikuat kuasa supaya kes 1MDB dapat digelapkan. Mungkin media dapat disekat. Permit Penerbitan boleh dibatalkan atau akaun facebook boleh ditutup.
      
Tetapi orang boleh bercakap di kedai kopi dan di jalanan. Sembang di tempat seperti ini lebih bahaya kerana cerita seinci boleh ditambah jadi sedepa.
     
Bahkan ia akan mengembalikan semula masyarakat menyebarkan surat layang. Surat layang itu khas atas 1MDB saja. Yang lain mereka boleh gunakan saluran biasa.
      
Atau orang boleh jadi lebih kelakar dengan menyebarluaskan isu kepada umum dengan menggunakan dalam muqadimahnya Haji Bakhil Tidak Tulis Surat Ini. Tetapi isinya penuh tentang hal ehwal 1MDB. – HARAKAHDAILY 14/7/2015

Share on Myspace