Tun Musa setuju Najib cuti

SUBKY LATIF | .

TUN Musa Hitam, bekas Timbalan Perdana Menteri adalah seorang yang jarang membuat kenyataan politik selepas berundur daripada politik juga setuju supaya Perdana Menteri Najib bercuti bagi memudahkan penyiasatan ke atasnya atas dakwaan media The World Street Journal.
       
Musa menyertai banyak pihak mahu Najib berbuat demikian. Kebanyakan mahu dia cuti adalah anti Najib dan musuh politik Najib.
       
Sekalipun Musa menyatakan demikian, tidaklah dia memihak kepada Dr. Mahathir yang lantang mahukan Najib berundur dari jawatannya. Mungkin seruan itu memberi kemenangan moral kepada Dr. Mahathir tetapi apa yang terbaik yang Musa boleh kata tentang masalah yang Najib hadapi sekarang?
       
Tun Musa memang tidak boleh tidak bercakap tentangnya sekalipun dia selama ini berdiam diri tentang persoalan Najib. Pembangkang tidak pernah memberi kepercayaan kepada Najib sejak sebelum jadi Perdana Menteri lagi. Yang mahu sangat dia jadi Perdana Menteri tidak lain dari Dr. Mahathir sendiri. Mahathir sendiri akhirnya jadi orang utama mahu dia berhenti.
      
Macam-macam orang tohmah Mahathir atas tindakannya itu. Mahathir adalah Perdana Menteri yang membuang semua Timbalan Perdana Menterinya kecuali Tun Abdullah Badawi yang menggantinya sebagai Perdana Menteri. Timbalannya yang awal yang dibuangnya ialah Musa Hitam. Selepas tidak jadi Perdana Menteri dia hendak buang pula Perdana Menteri selepasnya. Dia bejaya buang Pak Lah. Kini dia hendak buang Najib pula hingga banyak yang berkata, apa kena Mahathir?
       
Orang boleh kata dia gila dan nyanyuk. Tengah orang marahkan Mahahir itu meletup dakwaan atas Najib oleh WSJ yang menyebabkan semua tidak dapat telan dan tidak dapat luah. Dia mesti disiasat. Macam mana hendak menyiasatnya jika dia tercokoh di situ?
      
Orang bawah dagu Najib seperti Tan Sri Rahim Tamby Chik antara yang dulu mahu dia cuti. Rahim bukan sekadar sekutu Najib sejak sebelum jadi Ketua Pemuda Umno. Jika tiada Najib lagi belum tentu dia jadi ketua RRI – Institut Penyelidikan Getah – lagi.
     
Sekalipun Musa tidak makan gaji dengan Najib, tetapi Musa adalah seorang yang suka membantu dan memberi khidmat kepada siapa saja yang menjadi Perdana Menteri. Dia dipercayai tidak minta kerja dan jawatan daripada sesiapa. Justeru wibawa dan integritinya dia ditawarkan berbagai jawatan penting oleh semua Perdana Menteri hatta Mahathir yang membuangnya dari politikpun memaksanya menjadi Pengerusi Suhakam yang pertama.
      
Dr. Mahathir datang sendiri kepadanya menyerahkan surat perlantikan pengerusi Suhakam. Ditolaknya. Mahathir bawa pulang surat itu tetapi mengeposnya ke alamat Musa. Terpaksa dia terima. Demikianlah penghormatan semua kepadanya.
     
Musa cuma pernah terlibat bersama Dr. Mahathir menentang Tunku Abdul Rahman Putra selepas 13 Mei, 1969 hingga dia dipecat dari jadi Timbalan Menteri. Itulah saja dia ada masalah dengan orang yang jadi Perdana Menteri dan Presiden Umno. Ada pun dengan Dr. Mahathir tidak pasti apa masalahnya tetapi rasanya bukan berpunca daripada salah laku tetapi Dr. Mahathir tidak mahu kerajaannya dikenali dengan kerajaan 2M – Mahathir-Musa. Orang mungkin keliru siapa Perdana Menteri antara keduanya.
     
Adapun dengan Tunku, setelah Tunku bersara dan Musa jadi Menteri, dia baiki hubungan dengan Tunku hingga Tunku hilang marah padanya. Musa adalah dikira penasihat penting kepada PM Abdullah dan PM Najib.
     
Banyak keburukan yang dikatakan tentang Najib, dia diam dan terus berkhidmat dengannya terutama sebagai ketua Forum Ekonomi Islam Dunia.
     
Pernah saya tertanya mengapa dia membisu dan terus berkhidmat dengan Najib dalam suasana orang kata Najib semuanya buruk. Sekarang baru berbunyi. Cutilah! Itu nasihatnya. – HARAKAHDAILY 15/7/2015

Share on Myspace