Islam pun serang ulama

SUBKY LATIF | .

SAYA sangka dulu musuh Islam termasuk penjajahan yang anti ulama. Dan apabila kita merdeka tidaklah lagi ada yang tidak senang dengan golongan ulama.
      
Rupanya tidak. Malah anasir ulama itu bukan saja ada dalam negara umat Islam. Ia ada dalam kalangan orang Islam sendiri, bahkan antara pejuang Islam – parti Islam.
      
Hatta yang kecoh dalam PAS hingga ia pecah sekarang, kesnya ialah mempertikai pimpinan ulama.
       
Saya masyghul selama ini ulama dibunuh bukan saja dalam masyarakat yang Islam ada minoriti, tetapi biasa kita dengar ulama di bunuh di negara Islam seperti Iraq, Syria, Mesir dan lain-lain.
     
Dunia tahu Mesir pernah dikira negara Islam contoh sebab ia ada kilang menghasilkan ulama untuk dunia. Tapi semua tahu bapa politik Islam moden yang membentuk Ikwanul Muslimin, Imam Hassan al-Banna dibunuh dan sahabat karibnya yan menghasilkan tafsir Fizilalil Quran, Sayyid Qutb mati digantung oleh kerajaan Mesir.
      
Kita ingat ia berlaku semasa demokrasi tidak merata di dunia. Sesudah dunia berada pada zaman pro demokrasi sekarang, Mesir menjatuhkan hukum bunuh terhadap Sheikh Yusuf Qardawi sedang beliau adalah ulama tersohor  dihormati di dunia.
      
Bagi umat Islam Malaysia, Dr. Qardawi seolah-olah ganti Imam Syafie dan Imam Ghazali dan lain-lain. Tetapi dia dibenci oleh semua pemimpin demokrasi barat dan dia diusir oleh tanah airnya Mesir. Jika dia pulang, hukum bunuh menunggunya. Malaysia menghormatinya dan ilmunya.
      
Apabila dia membentuk dan memimpin badan ulama sedunia, dia dan ulama-lain lain terkemuka di dunia, memilih TG Haji Abdul Hadi Awang jadi timbalannya. Tetapi ramai orang Melayu antinya bahkan ada orang PAS membencinya hingga keluar parti.
      
Di mana-mana saja penjajah barat masuk negara Islam sejak 600 tahun dulu selain menyerang Islam, mereka musnahkan maruah dan wibawa ulama hingga orang  Islam yang terjajah bencikan ulama.
     
Tidak henti-henti para ulama mempelopori kemerdekaan dari satu zaman ke satu zaman. Apabila penjajah tidak dapat bertahan mereka upah boneka Islamnya bagi menjadi pemimpin kemerdekaan di negara masing-masing hingga jasa ulama sebagai pelopor kemerdekaan hilang dalam bakul sampah kemerdekaan.
      
Kita kutuk penjajah dan bonekanya kerana merampas mahkota pelopor kemerdekaan daripada golongan ulama.
       
Tanpa disedari antara waris pejuang ulama dalam PAS kadang-kadang tidak meletakkan ulama di tempat selayaknya justeru ulama rata-rata jadi rendah diri gara-gara ratusan tahun serangan penjajah. Menyedari kekurangan ulama itu maka bangkit Pemuda PAS mempelopori kepimpinan ulama bagi membangun semula wibawa institusi ulama.
      
Anggota PAS semua lapisan berdiri di belakang ulama, maka PAS bangun daripada kelemahan dalam era kepimpinan ulama hingga ia muncul sebagai alternatif bagi menggantikan Umno.
     
Sama seperti boneka penjajah datang merampas tempat ulama di ambang kemerdekaan, berlaku dalam PAS angin mempertikai tafsir kepimpinan ulama, suatu yang tidak dipertikai sejak awal tahun 80-an. Ia memadai setakat Majlis Syura Ulamak. Presiden dan timbalannya tidak semesti ulama. Ia boleh dikira percubaan mengambil alih pimpinan PAS ketika PAS berada di pintu masuk Putrajaya.
      
Ia mencetuskan pertempuran sengit dalam PAS antara proulama dan golongan mendakwa properubahan. Sekalipun proulama mengatasi lawannya dalam pemilihan tetapi atmosfera sejak pertikaian beberapa tahun terakhir  ini telah mencederakan imej ulama.
      
Seoleh-olah anti ulama itu bukan terhad kepada penjajah dan bonekanya dalam kalangan orang Islam, cakap-cakap antara orang PAS sendiri terperangkap dalam mentakwil ulama/tok guru. – HARAKAHDAILY 21/7/2015

Share on Myspace