Najib dikata pengecut

SUBKY LATIF | .

ADA orang dikatakan tergamak kata Pedana Menteri Najib adalah seorang pengecut.
      
Kesnya bukan apa! Najib dijadualkan bersetuju bertemu dengan Dr. Mahathir bagi menyelesaikan perbezaan antara mereka. Itulah harapan banyak orang supaya krisis antara keduanya tidak berpanjangan. Semuanya percaya, jika ia tidak diselesaikan, yang rugi, negara, rakyat terutama umat Islam.
      
Justeru Mufti Perak sedia menjadi orang tengah bagi menemukan mereka.
      
Najib dikatakan telah bersetuju. Tiba-tiba dia tidak datang kerana konon dinasihatkan oleh polis.
     
Maka ramai yang kecewa marah hingga dikatakan ada yang kata Najib pengecut. Itulah orang marah, depa boleh kata semua.
      
Apabila saya diberitahu dia dikatakan pengecut, maka reaksi saya betulkah dia pengecut? Mungkin betul dan mungkin tidak, justeru yang kata demikian adalah dipengaruhi marah.
      
Tetapi reaksi dan persepsi itu ada kemungkinannya dengan apa yang saya dengar sekitar 40 tahun ketika Perdana Menteri Tun Razak berdepan dengan krisis keyakinan dalam kalangan setengah pimpinan Umno ketika itu.
     
Krisis besar Umno itu adalah antara Tun Razak Presiden Umno dan Datuk Harun Idris ketua Pemuda Umno. Ia juga dikira Umno di satu pihak dan Pemuda Umno di satu pihak lagi.
      
Almahum Tan Sri Jaafar Albar, satu-satunya pemimpin Umno yang bergelar Singa Umno adalah rakan karib Datuk Harun. Penyokong kuat Pemuda Umno dan kemudiannya menggantikan Datuk Harun sebagai ketua Pemuda Umno.
     
Saya selalu dengar daripada Almarhum tentang Tun Razak dikatakan seorang pengecut. Dalam kalangan orang-orang Umno yang berkumpul mempertikai Tun Razak itu selalu menyebut Tun Razak seorang yang pengecut. Cuma Datuk Senu Abdul Rahman, Setiausaha Agung Umno yang rapat dengan kedua belah pihak kata, kata mereka itu mengarut.
      
Kata mereka, antara yang Tun Razak paling takut ialah Dolah Ahmad, Setiausaha Politik Tun Razak dan semasa Tun Razak jadi Perdana Menteri, Tan Sri Abdullah Kok Lanas jadi Timbalan Menteri.
      
Saya tidak tahu betulkah dia ditakuti Tun Razak dan kalau betul apa yang menyebabkan dia takutkan pembantunya?
      
Tetapi itulah yang Tan Sri Albar dan rakan-rakannya kata.
      
Tan Sri Dolah Kok Lanas itu masih ada, seorang kolumnis harian tabloid di Shah Alam boleh jelaskan jika dia tahu mereka kata dia dan Tun Razak begitu dan kalau betul tentu dia boleh tulis dalam tulisan mingguannya.
     
Memang saya tahu kolumnis itu adalah orang politik yang paling berpengaruh pada masa itu, bahkan lebih berpengaruh daripada Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh. Najib masa itu adalah seorang jejaka di kota London.
      
Apabila sekarang ada orang kata Najib pengecut, maka teringatlah saya akan apa orang kata padahnya dulu. Jika apa yang didakwa itu sekadar tuduhan dan persepsi, apa persepsi dan tuduhan diwarisi dari ayah kepada anak.
     
Memanglah antara sifat seorang ayah secara bialoginya diwarisi oleh anaknya. Jika ayah berani, anak juga berani. Jika ayah pintar, anak juga patut pintar. Satu yang sudah pasti Tun Razak diwarisi Najib ialah Perdana Menteri. Ayah Perdana Menteri anak pun Perdana Menteri. Tetapi pengecut itu betul atau tidak perlukan siasatan saintifik.
     
Apabila Najib dikatakan pengecut dan ayahnya juga ada yang kata pengecut, ahli psikologi mungkin wajar menakan kajian biologi. Kaji adik-beradik Tun Razak dan adik-beradik serta anak-anak Najib tentang warisan itu. Memang ajaib juga anak dan ayah dikatakan ada sifat yang sama. – HARAKAHDAILY 23/7/2015

Share on Myspace