Mengapa Ahmad Awang tak ketuai parti baharu?

SUBKY LATIF | .

JUSTERU tiada apa-apa kuasa pada PAS dan pemimpinnya untuk menghalang sesiapa hendak keluar parti dan menubuh parti lain atau masuk parti lain, seperti tiada kuasa dapat menghalang Ustaz Ahmad Awang bertanding sebagai calon Presiden mencabar TG Haji Abdul Hadi Awang, maka apa yang dapat dibuat bagi menghalang para pemimpinnya yang tidak terpilih dalam Muktamar untuk mmbentuk parti baru.
     
Islam ada peraturan ketat tentang murtad, itupun hampir tiada negara-negara Islam sekarang menguatkuasa peraturan itu. Apa lagi tiada fatwa membolehkan dihukum orang PAS keluar daripada PAS.
     
Maka sebagaimana PAS tidak dapat halang Datuk Mohd Nasir membentuk Berjasa dan Datuk Asri membentuk Hamim, maka semuanya terpaksa terima Mohamad Sabu dan Dr. Zulkifli Ahmad menubuhkan parti sendiri, suatu yang PAS tidak suka.
      
Cuma yang menarik perhatian ialah mengapa mereka tidak namakan Ustaz Ahmad Awang sebagai pengerusi penaja parti itu? Sedang mereka sebelumnya mencalonkan dia calon Presiden menentang TG Haji Abdul Hadi.
      
Sekalipun dia tidak mendapat pencalonan terbanyak, tetapi calon yang menerima lebih pencalonan secara rela memberi laluan kepadanya dengan alasan kelebihannya yang mereka kata setanding denan calon yang bertahan.
     
Sekalipun Ustaz Ahmad Awang hadir dalam pertemuan dan perbincangan bagi membentuk parti baru itu, tetapi disepakati Mohamad Sabu bakal dijadikan ketua penajanya dan Ustaz Ahmad tidak termasuk dalam senarai pimpinannya.
     
Sedang sebelumnya dia disepakati bagi menjadi calon menentang TG Haji Hadi. Tiada orang lain sedia jadi calon melainkan Ustaz Ahmad Awang.
     
Mungkin beliau menarik diri atas sebab-sebab syarie. Tetapi jika beliau sanggup menjadi calon Presiden, yang jika berjaya akan menggalas  tugas yang berat, maka tidak berbangkit keupayaannya memimpin parti baru sekalipun tanggungjawab yang digalas juga berat. Jika dia sedia menjadi Presiden PAS, maka dia juga tentu bersedia memimpin pati baru.
      
Mungkin beliau disediakan untuk menjadi Mursiydul Am dalam parti Islam yang didakwa pogresif itu. Seperti yang pernah diharapkan oleh Pasma ketika pelancarannya dulu. Namanya telah disebut untuk jadi Mursyidul Am, tetapi perkara itu kemudiannya senyap.
     
Jika kumpulan 18 itu mengira beliau adalah calon Mursyidul Amnya, ia tidaklah jadi halangan untuk  ketika yang sama menjadi Presidennya seperti yang pernah berlaku dalam PAS ketika Majlis Syura Ulamak mula dibentuk dulu.
     
Ketika majlis itu diwujudkan, Presiden PAS ialah Haji Yusof Rawa. Semua orang tahu kesihatannya sudah tidak baik, tetapi ia tidak menghalangnya untuk sekali gus menjadi Mursyidul Am dan Presiden. Kita tahu pimpinan jamaah adalah secara kolektif. Segala kekurangan yang ada pada Mursyidul Am dan Presiden akan jadi ringan justeru bantuan pimpinan yang kolektif itu.
     
Jika dia boleh dijadikan calon Presiden PAS tiada sebab dia tidak boleh menggalas pimpinan utama parti baru yang akan menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat yang baru.
     
Kecuali pencalonannya untuk jadi Presiden dalam Muktamar PAS dulu tidak dibuat secara bersungguh untuk menggantikan Presiden yang ada. Atau dalam kata lain bukan sangat diyakini penggantian itu boleh dilakukan, tetapi sekadar mahukan ada satu pertandingan dengan alasan tertentu.
      
Apapun Ustaz Ahmad Awang mesti mereka pertahankan dan jika boleh apabila parti itu dilancarkan, dia jadi ketua dan Mohamad Sabu jadi timbalan sekurang-kurang bagi peringkat awal penubuhan parti. – HARAKAHDAILY 27/7/2015

Share on Myspace