Seolah-olah kabinet anti penyiasatan 1MDB

SUBKY LATIF | .

APA yang orang boleh kata pada kabinet yang baru dirombak itu?
      
Tidak salah kalau orang kata ia adalah idilfitri yang bersifat anti penyiasatan 1MDB yang sedang rancak menjalankan penyiasatan atas mala petaka syarikat kerajaan 1MDB yang juga satu mala petaka kepada negara.
      
Penyiasatan itu adalah suatu yang disarankan oleh Perdana Menteri Najib konon bagi menggambarkan ketelusannya dalam skandal terbesar itu.
     
Tiga tindakan diperkenan Najib. Pertama Penyiasatan Khas diketuai Peguam Negara Gani Patail yang publik tidak tahu dia sakit. Kedua, arahan audit oleh Juru Audit Negara dan ketiga siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam.
      
Pada pagi hari rombakan kabinet itu diumumkan, Gani Patail diberitakan ditamatkan khidmat serta-merta kerana sakit. Petang itu diumumkan rombakan kabinet menggugurkan Muhyiddin Yasin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan diumumkan juga perlantikan pengerusi PAC dan dua lagi anggotanya sebagai timbalan menteri.
      
Perkembangan serentak sehari itu dilihat seolah-olah hendak menggendalakan penyiasatan yang sedang rancak atas 1MDB itu.
     
Semua tahu sejak skandal itu terbongkar Muhyiddin tidak senang dengn kejadian itu dan dia mahu Najib menyelesaikannya segera mungkin kerana ia boleh mengalahkan BN dalam PRU akan datang. Dimulakannya pandangannya itu sebagai peribadinya, bukan Umno dan kerajaan.
     
Muhyiddin tiada kompromi atas semua yang berkait dengan 1MDB. Dia mahu lepas tangan tetapi tidak meletak jawatan. Sikap Muhyidin itu paling menyusahkan Najib membendung penyiasatan supaya pro kepadanya. Ia tidak sesenang mencairkan pembunuhan Altantuya dan peletupan mayatnya dan lain-lain termasuk skandal kapal selam Scorpene.
      
Jika Muhyiddin ada lagi dalam kabinet, maka dia akan beri pandangan kedua atas dalih Najib atas isu itu.
      
Di luar kabinet, Gani Patail yang mewarisi Hang Tuah setia tidak berbelah bagi pada Raja Melaka, adalah Peguam Negara yang tidak pernah derhaka kepada semua Perdana Menteri tidak kira Perdana Menteri itu betul atau tidak. Orang yang amat dipercayai oleh Najib itu dikatakan ada sikap lain dalam kes 1MDB ini. Dia dikatakan tidak lagi mengendalikan penyiasatan itu seperti dia menangani isu liwat 2 Anwar dan Saiful dan tidak lagi seperti menangani kes Razak Baginda.
      
Dia dikatakan betul-betul hendak menyiasat termasuklah atas Najib dan isterinya. Bahkan dikatakan Gabenor Bank Negara Zeti setia dengan amanah penyiasatan bersama Gani. Dia juga didesas desuskan dijadikan sasaran pejabat Perdana Menteri. Tidak siapa tahu tentang ketua SPRM yang terus mereman orang tertentu dalam 1MDB. Anggota penyiasat yang dirasakan tidak bermasalah dengan  Najib hanya Ketua Polis Negara.
     
Gani belum jadi Hang Jebat tetapi tidak lagi jadi Hang Tuah 100 peratus. Adakah JPM tidak tahu  Gani sakit sebelum diamanahkan mengepalai penyiasatan? Apa sakitnya hingga dia diberhentikan serta-merta. Dia tidak tahu dia dipecat. Tiba-tiba tak boleh jalan kerja Peguam Negara lagi.
     
Nur Jazlan sedang rancak menyusun jadual memanggil orang yang dikehendaki. Dia dan beberapa orang lagi ahli PAC tidak diangkat jadi timbalan menteri selama ini. Sedang mereka rancak menyiasat, mereka dijadikan timbalan menteri. Terhalang siasatan hingga ada ketua baru yang ditentukan oleh Parlimen.
     
PAC tidak minta kerja itu tetapi PM Najib arahkan. Sekarang Najib keluarkan mereka daripada PAC.
      
Dengan semua perkembangan itu tidakkah Najib boleh dilihat sebagai menghalang penyiasatan atau semua perkembangan itu adalah anti penyiasatan? – HARAKAHDAILY 2/8/2015

Share on Myspace