Siapa percaya lagi janji Najib?

SUBKY LATIF | .

PERDANA Menteri Najib menyelar dan menempelak sekalian orang yang tidak sabar menunggu janjinya untuk menyelesaikan semua hutang 1MDB hujung tahun ini. Mungkin orang itu termasuk TPM Muhyiddin Yassin yang digugurkannya 28 Julai lalu.
       
TS Muhyiddin dan Tun Dr. Mahahtir bukan lagi dikira tidak sabar, bahkan tidak percaya lagi dengan janji Perdana Menteri.
      
Yang terbaru Najib dan pengerusi Tabung Haji berkata sudah banyak yang mahu membeli tanah yang Tabung Haji beli daripada 1MDB degan harga yang amat tinggi itu. Pihak yang hendak membelinya sedia membelinya dengan harga yang lebih tinggi. Tabung Haji dikatakan akan beroleh untung banyak pula.
      
Tetapi sudah berapa bulan sekarang, tanah itu masih belum terjual. Dan mungkin tidak ada yang sedia membelinya?
     
Jika janji ia hendak dijual masih belum terjual, maka bagaimana orang hendak mempercayai semua hutang 1MDB itu dapat diselesaikan hujung tahun ini? Jika hutang itu dapat diselesaikan dalam masa kurang daripada enam bulan, maka selama lebih daripada lima tahun jadi Perdana Menteri hutang negara yang berlambak itu tidak nampak  dapat diselesaikan, bahkan bertambah dan bertambah.
     
Banyak lagi yang dijanjikan olehnya sejak jadi Perdana Menteri tidak ditunaikan, maka bagaimana orang dapat mempercayai hutang 1MDB boleh diselesaikan dalam waktu yang singkat?
     
Orang ramai termasuk ahli Umno yang tak tahu apa boleh percaya dengan janji kosong, tetapi Muhyidin telah lama dan banyak mendengar janji-janji manis, tidak lagi dia percaya.
     
Mungkin Najib boleh dapat duit dari mana-mana. Jika dari dalam negeri duit dari badan mana pula yang akan dipelekuhnya? Felda dan Tabung Haji sudah terkena. Badan mana pula akan jadi korban.
      
Maka pilihannya dari luar khususnya negara-negara Arab yang duit berlebihan itu. Kononnya pembesar-pembesar Arab berminat untuk membeli tanah TRX yang luar yang asalnya tanah kerajaan. China juga berminat.
      
Mungkin saudagar-saudagar Arab tidak berkira sangat dengan duit senang yang diperolehnya dari minyak. Memang  ramai daripada mereka suka bermewah. Tetapi China  tidak membelinya dengan suka-suka saja dan mereka tidak akan biarkan mereka boleh tertipu sekadar hendak menolong Najib  saja.
      
Kita telah jual tanah kita di Singapura. Atau Singapura itu dulu asalnya dijual kepada British. Sebelumnya Raja Melaka jual tanah kepada Feringgi. Tanah Melayu pernah hilang tanahnya di Melaka dan Singapura kepada kuasa asing. Rusia amat menyesal menjual Alaska kepada Amerika. Pejuang nasionalis di mana-mana di dunia tidak sedia menjual buminya dengan mudah kepada orang asing.
     
Tanah TRX yang amat berharga dan strategik itu hendak dijual kepada kuasa asing semata-mata kerana hendak menyelesaikan hutang 1MDB yang difaraid mereka.
       
Jika tanah itu dijual kepada kuasa asing dengan harga yang tinggi bagi membangunkan negara mungkin adalah logik ditimbangkan, tetapi negara dan rakyat akan hilang tanah semata-mata untuk menyesaikan hutang 1MDB yang orang bawa lari.
      
Sudah lama kita kata kerajaan BN sanggup jual negara. Dan sekarang dengan menjual tanah TRX itu kepada orang asing, adalah bukti besar sebahagian daripada negara ini hendak dijual.
     
Hutang pun sudah bertambah banyak. Amerika bila-bila masa sedia membida negara kita bagi menyelesaikan hutang yang bertimbun. Perjanjian TPP yang jika disertai oleh Malaysia, adalah satu cara negara boleh dijual bagi jadi wilayah Amerika terakhir selepas Hawaii.
     
Macam mana Najib dapat dipercayai? – HARAKAHDAILY 5/8/2015

Share on Myspace